Thursday, July 14, 2011

Sejarah Kemerdekaan Malaysia

 

Persetujuan Dan Tolak Ansur Antara Kaum Tahun 1956 Sebagai Asas Kemerdekaan (Satu Fakta Yang Perlu Diketahui)

Setelah kejayaan Perikatan memenangi pilihan raya Persekutuan 1955, Tunku Abdul Rahman telah menubuhkan sebuah kerajaan Perikatan yang diketuai Tunku sendiri sebagai Ketua Menteri dan dibantu oleh jemaah menteri seramai 9 orang yang mewakli UMNO (5), MCA (3) dan MIC (1). Pada 19 Ogos, 1955, Lennox Boyd, Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan telah datang melawat Kuala Lumpur untuk menyaksikan sendiri perubahan-perubahan yang sedang berlaku di negara ini. Kedatangannya telah membuka peluang kepada kerajaan Perikatan menemuinya dan menyampaikan hasrat kerajaan Perikatan. Tunku Abdul Rahman telah mengadakan satu perjumpaan dengann Lennox Boyd yang disertai oleh Jemaah Menteri pada 22 Ogos 1955. Dalam perjumpaan tersebut, Tunku telah menyerahkan satu memorundum yang mengandungi lima perkara penting mengenai soal perlembagaan dan darurat. Perkara tersebut ialah:

1. Pegampunan beramai-ramai penganas komunis secepat mungkin.
2. Mengadakan sebuah Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan yang kesemua ahlinya terdiri daripada ahli-ahli yang dipilih.
3. Melantik sebuah suruhanjaya istimewa untuk mengkaji perubahan-perubahan perlembagaan.
4. Menyelenggara soal kerakyatan, dan
5. Dasar pelajaran dan ekonomi.

Ringkasnya, lima tuntutan yang diserahkan oleh Tunku kepada Lennox Boyd adalah perkara yang telah dijanjikan oleh Perikatan dalam Pilihan raya Persekutuan 1955. Dalam memorundum tersebut terdapat dua perkara penting yang dituntut, iaitu kerajaan sendiri dan penubuhan suruhanjaya bebas untuk merangka perlembagaan Tanah Melayu yang merdeka. Perkara ini disebutkan oleh akhbar Straits Times pada 23 Ogos 1955. Menurut akhbar tersebut:

Handed to Mr. Alan Lennox Boyd the Alliance Goverment plans for leading the Federation to self-goverment and eventual independence within the Commonwealth and an ammnesty to the terrorist, the establishment of an independence commision to make recommendation on constitutional reform, nationality and economic and taxation policy.
Dalam pertemuan tersebut, Lennox-Boyd enggan membincangkan kesemua perkara yang dibangkitkan oleh Tunku dan menjemput Tunku ke London untuk membincangkan isu tersebut termasuk isu lain seperti pertahanan, keselamatan dalam negeri, kewangan dan masa depan perkhidmatan awam. Perikatan akhirnya bersetuju dengan cadangan Lennox-Boyd untuk membincangkan isu-isu tersebut di persidangan di London pada bulan 18 Januari hingga 6 Februari 1956. Ia dihadiri oleh wakil-wakil dari delegasi dari kerajaan Persekutuan yang terdiri dari wakil Raja-raja Melayu dan Ketua Menteri dan tiga Menteri Perikatan. Pada peringkat awal persidangan London pada Januari 1956, pihak British tidak bersedia memberikan kemerdekaan kepada negara ini seperti yang dicadangkan oleh Perikatan, iaitu 31 Ogos 1957. Mereka hanya ingin memberikan taraf “full internal self-government” atau “kerajaan dalaman sendiri penuh”. Perikatan bagaimanapun tetap dengan pendirian mereka untuk merdeka pada 31 Ogos 1957 dan Tunku menegaskan bahawa delegasinya tidak akan pulang ke Kuala Lumpur tanpa mendapat persetujuan daripada British mengenai tarikh pengisytiharan kemerdekaan. Dua hari selepas persidangan tersebut, Pejabat Tanah Jajahan mengubah pendirian mereka dan bersetuju memberi kemerdekaan pada bulan Ogos 1957. Persetujuan tersebut dinyatakan dalam Report of the Federation of Malaya Constitutional, 1956 dengan menyebutkan:

We have further agreed that, in view of the Malayan Delegation’s desire that full self-government and independence within Commonwealth should be proclaimed by August, 1957, is possible, a constitution so providing shall be introduced at the earliest possible date consistent with the important of the task before the Constitutional Commission and that every effort will be made by Her Majesty’s Government and the Federation Government to achieve this by the time proposed.

Menurut catatan Ibrahim Mahmood, Persidangan tersebut telah diadakan dalam suasana persefahaman dan persahabatan. Kerajaan Inggeris di dalam rundingan tersebut mengambil sikap terbuka dan bersedia menimbangkan segala tuntutan rombongan tersebut. Sikap kerajaan Inggeris tersebut berasaskan kepada kesedaran bahawa rombongan merdeka yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman adalah mewakili seluruh rakyat Tanah Melayu. Kejayaan rombongan tersebut kerana wujudnya perpaduan dan kerjasama antara rakyat dan Raja-raja Melayu yang memperkuatkan kedudukan rombongan kemerdekaan tersebut.


Sebagaimana yang dituntut oleh Perikatan dalam manifesto Pilihan raya Persekutuan 1955 dan tuntutan yang termuat dalam Memorundum yang diserahkan kepada Lennox Boyd pada 22 Ogos 1955 sertai diikuti dengan Perjanjian Kemerdekaan yang ditandatangani di Lancaster House pada 8 Februari 1956 maka satu Suruhanjaya bebas telah dibentuk oleh kerajaan Inggeris pada bulan Mac 1956 bagi membuat cadangan merangka perlembagaan masa depan Tanah Melayu. Penubuhan satu Suruhanjaya bebas ini telah disebutkan dalam Kertas Putih Persekutuan Tanah Melayu No. 15, 1956 yang menyebutkan:


The approval of Her Majesty the Queen and The Conference of Rulers has now been signified to the recommendations of the Constitutional Conference for the appointment of an independent Commission to make recommendations for a form of constitution for a fully self-governing and independent Federation of Malaya within the Commonwelth.
Pembentukan satu Suruhanjaya bebas tersebut telah dipersetujui bersama oleh Majlis Raja-raja, bahawa ia hendaklah dalam sebuah badan yang kecil, di mana Pengerusi dan satu daripada ahlinya dipilih oleh United Kingdom, manakala ahli yang lain masing-masing satu dipilih oleh Kanada, Australia, India dan Pakistan. United Kingdom telah memilih Lord Reid dan Sir Ivor Jennings, manakala kerajaan Australia telah memilih Sir William McKell, India Hakim B. Malik dan Hakim Hamid dipilih oleh kerajaan Pakistan. Terma rujukan suruhanjaya ini dalam menjalankan tugas mereka ialah “untuk memeriksa aturan perlembagaan yang wujud di seluruh Tanah Melayu, mengambilkira kedudukan dan martabat Ratu Inggeris dan Raja Melayu” dan “untuk memberikan cadangan terhadap perlembagaan berbentuk persekutuan untuk seluruh negara sebagai unit tunggal, bebas dan bekerajaan sendiri dalam lingkungan Komanwel berdasarkan demokrasi berparlimen dengan dua dewan perundangan yang turut merangkumi peruntukan:

1. Penubuhan kerajaan pusat yang kuat dengan negeri dan tanah jajahan mempunyai sejumlah kebebasan
2. Memelihara kedudukan dan martabat Raja sebagai Raja Berperlembagaan di negeri masing-masing
3. Seorang Yang di-Pertuan Besar (Yang di-Pertuan Agong) untuk Persekutuan akan dipilih daripada Raja
4. Kewarganegaraan yang sama untuk seluruh Persekutuan
5. Menjaga kedudukan istimewa masyarakat Melayu dan kepentingan masyarakat yang sah”.

Pengerusi Suruhanjaya, iaitu Lord Reid telah memulakan tugas mereka dengan melawat Malaya pada bulan Mei 1956, dan diikuti dengan kedatangan ahlinya yang lain pada bulan Jun. Suruhanjaya ini telah menjemput rakyat di negara ini menghantar pandangan mereka terhadap isu yang berkaitan dengan perlembagaan. Pihak Suruhajaya Reid telah menerima 131 memerondum dari orang perseorangan dan organisasi yang mewakili semua komuniti dan kepentingan semua rakyat di negara ini. Menurut Ibrahim Mahmood (1981), yang banyak sekali menghantar memorandum dan pandangan mereka kepada Suruhanjaya Reid ialah orang Cina yang berada di luar MCA dan kaum bukan Melayu. Manakala badan-badan atau pertubuhan Melayu selain UMNO kebanyakannya tidak mengindahkan atau memulaukan Suruhanjaya tersebut. UMNO sendiri telah menubuhkan Jawatankuasa Siasah yang diketuai oleh Datuk Razak bagi menyemak dan mengkaji segala pandangan daripada ahli-ahli UMNO termasuk pandangan Bahagian dan Cawangan UMNO, kemudiannya dibawa ke dalam Jawatankuasa Sementara Perikatan (Alliance Ad Hoc Political Comitte) untuk dihalusi dan disesuaikan dengan pandangan parti-parti dalam Perikatan. Setelah itu dibawa ke dalam Jawatankuasa Pusat atau Majlis Tertinggi parti masing-masing untuk penapisan yang akhir. Selepas penapisan tersebut barulah dibawa ke dalam Majlis Kebangsaan Perikatan untuk persetujuan muktamad. Persetujuan yang telah dicapai terkandung dalam Memorandum yang telah dipersetujui oleh Majlis Kebangsaan Perikatan (Alliance National Council) yang disebut sebagai “Testament “Amanah” Politik Perikatan” yang mengandungi cadangan Perikatan mengenai susunan negara baru, nama bagi negara yang baru, ketua negara, kedudukan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja, Persidangan raja-raja, Majlis Undangan, Pilihan raya, kuasa bagi kedua-dua Dewan, kuasa pemerintah, kuasa kehakiman, kerajaan-kerajaan negeri, hak-hak asasi, asas-asas bagi dasar-dasar kebangsaan, kebangsaan yang tunggal, syarat-syarat rakyat Persekutuan Tanah Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu, kedudukan bahasa Melayu dan agama Islam.


Testemen Politik Perikatan merupakan bukti yang sangat jelas kewujudan persetujuan dari tiga parti Perikatan, iaitu UMNO,MCA dan MIC untuk berjuang di bawah satu platform memperjuangkan kemerdekaan negara dalam jangka masa empat tahun. Perikatan mendakwa bahawa mereka mewakili sebahagian besar rakyat Tanah Melayu. Justeru, Testemen Politik Perikatan (Memorandum) yang dihasilkannya adalah “reflects the firm desire of the majority of the peoples of this country for a form of government which will ensure freedom, equality and unity of the new nation”.


Usaha Perikatan untuk menyediakan satu cadangan memorandum yang sama kepada pihak Suruhanjaya Reid bukan sahaja mendapat tekanan dari parti lain (seperti PAS, Parti Negara dan Parti Rakyat Malaysia) tetapi juga dari dalaman parti komponen dan ahli parti masing-masing. Pandangan kaum Cina yang disuarakan melalui berbagai organisasi dan pertubuhan telah menuntut supaya kerakyatan menggunakan prinsip jus soli , hak sama rata di kalangan rakyat di Malaya dan bahasa Mandrin turut diangkat sebagai bahasa rasmi. Umpamanya dalam soal kedudukan istimewa orang Melayu, orang Cina inginkan kedudukan itu diberi kepada orang Melayu hanya dalam masa 15 tahun selepas merdeka dan bahasa Melayu serta bahasa Inggeris kedua-duanya hendaklah diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan. Para pemimpin MCA memohon kepada para pewakilan UMNO dalam Jawatankuasa Kerja Perikatan supaya hak keisitimewaan orang Melayu disemak kembali selepas 15 tahun kemerdekaan dan akhirnya nanti dihapuskan. Bagaimanapun pemimpin UMNO menyakini bahawa tindakan sedemikian tidak akan mendapat sokongan orang Melayu. Bagaimanapun, delegasi UMNO dalam Jawatankuasa Kerja Perikatan telah memutuskan bahawa pembatasan tahun hak keistimewaan orang Melayu tidak boleh dimasukkan ke dalam Memorandum Perikatan kepada Suruhanjaya Reid. Pemimpin MCA bersetuju dengan keputusan tersebut. Mereka menyakini bahawa hak keistimewaan orang Melayu adalah polisi yang bersifat sementara waktu setelah Tunku Abdul Rahman secara lisan memberitahu bahawa hak keistimewaan itu meskipun UMNO menentang pembatasan waktu mengenainya tetapi Perikatan boleh menyemak kembali polisi tersebut selepas 15 tahun kemerdekaan negara.


Dalam proses pembentukan perlembagaan dari tahun 1956 – 1957, MCA telah menghadapi tekanan yang hebat dari kaum Cina. Misalnya, pada 27 April 1956, satu konfrensi Pan-Malaya Chinese Associations telah diadakan di Kuala Lumpur. Perhimpunan ini telah dihadiri lebih 1000 orang delegasi dari 711 pertubuhan Cina. Mereka menuntut empat perkara; (1) jus soli (2) Mereka yang dilahirkan di Malaya tanpa mengira kaum dan mereka yang tinggal di negara ini selama lima tahun dan setia pada negara ini layak mendapat kerakyatan ; (3) Kesaksamaan- tanggungjawab dan keistimewaan warganegara Malaya yang merdeka mestilah sama, dan (4) Kepelbagaian-kepelbagaian bahasa seharusnya diterima dan setiap bahasa dari pelbagai bangsa mestilah dijadikan sebagai bahasa rasmi .


Tuntutan yang diputuskan melalui konfrensi ini akan diserahkan kepada Suruhanjaya Reid. Mereka juga mencadangkan supaya diwujudkan satu pertubuhan politik Cina lain sebagai saingan kepada MCA, namun cadangan ini telah digugurkan apabila Pertubuhan Cina Selangor menentang cadangan tersebut. Bagaimanapun Tan Sri T.H. Tan memberi amaran kepada Majlis Perikatan Kebangsaan supaya menyokong tuntutan mereka mengenai prinsip jus soli sekiranya mereka mahu MCA kekal di dalam Perikatan[. Sementara itu, Lau Pak Khuan, bekas Presiden MCA Perak dan merupakan salah seorang pemimpin Cina yang berpengaruh telah mengisytiharkan jika MCA gagal untuk memasukkan empat perkara dalam memorandum bersama Perikatan kepada Suruhanjaya Reid, maka Cina Perak akan keluar dari MCA dan menghantar memorandum mereka bersendirian kepada Suruhanjaya yang juga mengandungi empat perkara di atas. Lau Pak Khuan bersama delegasinya telah pergi ke London berjumpa dengan Lennox Boyd, Setiausaha Tanah Jajahan, bagi mengemukakan tuntuan di atas tetapi tidak mendapat respon dari kerajaan British (Rajeswary 1981, 198).
Secara umumnya, reaksi dan tuntutan masyarakat Cina, khusunya MCA terhadap Memorandum Perikatan dan Laporan Suruhanjaya Reid dapat dibahagikan kepada dua puak. Puak pertama ialah golongan konservertif yang mempunyai latarbelakang pendidikan Inggeris yang diketuai oleh Tan Cheng Lock, H.S. Lee, Leong Yew Koh, T.H. Tan dan Tan Siew Sin. Puak radikal pula terdiri dari Lau Pak Khuan (pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Perak dan bekas pengerusi MCA Perak), Leong Chee Leong ( Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Selangor, Cho Yew Fai (Timbalan Presiden Dewan Perhimpunan Cina Selangor) dan Lim Lian Geok (Presiden Kesatuan Guru-guru Sekolah Cina). Mereka ini dikenali sebagai “Big Four” yang mempunyai latarbelakang pendidikan Cina. Walaupun mereka mempunyai pendekatan perjuangan yang berbeza dalam memperjuangkan tuntutan kaum Cina, tetapi mempunyai titik persamaan dalam isu memperjuangkan prinsip jus soli, tetapi berbeza dalam isu bahasa dan kesaksamaan hak. Dalam isu bahasa, golongan radikal mahukan bahasa Mandarin turut diiktiraf sebagai bahasa rasmi setaraf dengan kedudukan bahasa Melayu. Manakala golongan konservatif lebih bersifat sederhana dalam tuntutan mereka, iaitu mereka ingin bahasa Mandirin tidak dihalang penggunaannya dalam bidang yang lain sambil mengiktiraf kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang tunggal. Kenyataan ini diperkukuhkan melalui undian yang dijalankan oleh Jawatankuasa Pusat MCA yang membahaskan Memorandum Perikatan kepada Suruhanjaya Reid yang diadakan pada tahun 1956. Dalam undian tersebut, undian minoriti diperoleh ke atas cadangan yang menuntut bahasa Mandarin dijadikan bahasa rasm.
Manakala MIC pula telah menuntut supaya diadakan sekatan terhadap hak keistimewaan orang Melayu, terutama dalam permerolehan tanah dan pelantikan ke dalam perkhidmatan awam serta menuntut supaya Malaya menjadi sebuah negara sekular tetapi bersetuju dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Bagaimanapun golongan radikal Tamil dari Pulau Pinang bermula dari bulan September 1955 telah membuat kempen supaya bahasa Tamil diberikan status yang sama dengan bahasa Melayu dan Inggeris. Pada bulan Ogos 1956, konfrensi Pan Malayan Tamil telah meluluskan satu memorandum yang berasingan kepada Suruhanjaya Reid berhubung isu bahasa tetapi tiada tindakan dilakukan terhadap memorandum tersebut[23]. Kemenangan Sambanthan dalam pemilihan Presiden parti ke atas K.L. Devaser (pemilihan Presiden MIC pada Mei 1955) menyebabkan parti itu berubah ke arah mengamalkan dasar yang lebih sederhana. K.L. Devaser dianggap lebih menyokong prinsip kerakyatan jus soli. Sebaliknya pentadbiran Sambanthan tidak mahu mengambil tindakan yang boleh mengaibkan Parti Perikatan seperti yang dilakukan oleh sekumpulan ahli MCA berhubung isu jus soli [24]. Pendekatan sederhana Sambanthan telah mendapat kritikan dari beberapa puak di dalam MIC terutama mengenai dasar kompromi parti terhadap memorandum Perikatan yang dihantar kepada Suruhanjaya Reid. Sambanthan didakwa gagal mendesak berhubung prinsip jus soli, dasar multi-bahasa dalam pendidikan dan gagal membuat pindaan terhadap peruntukan mengenai hak keistimewaan orang Melayu yang diputuskan dalam memorandum Perikatan. Kecewa dengan tindakan Sambanthan tersebut, mendorong G.V. Thaver dari MIA (Malayan Indian Association) telah menghantar memorandum berasingan yang mengandungi cadangan asal kaum India kepada Setiausaha Tanah Jajahan[25]. Sambanthan juga enggan turut serta dalam rundingan Perlembagaan di London pada bulan Januari 1956. Tindakan ini telah dikritik oleh K.L. Devaser yang melihat keengganan Sambanthan mewaklili MIC dalam rundingan London akan menyebabkan beberapa hak kaum minoriti India akan diketepikan. Bagi Sambanthan, rundingan Perlembagaan tersebut tidak memerlukan perwakilan orang India kerana beliau yakin bahawa ia akan memfokuskan isu-isu penting yang dihadapi oleh negara dan tidak bersifat perkauman atau berpihak kepada orang Melayu sahaja. Sambanthan tidak mahu sebarang masalah timbul daripada orang India yang boleh mengagalkan rundingan kemerdekaan tersebut[26].

Polimik yang hangat dan berterusan di kalangan orang Melayu dengan bukan Melayu mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan penggunaan prinsip jus soli dalam mendapatkan kerakyatan telah mendorong Tunku Abdul Rahman membuat ucapan ke seluruh Malaya melalui radio pada 22 April 1956. Melalui ucapannya itu Tunku telah menegaskan bahawa orang Melayu bersedia memberikan apa juga hak mereka kepada orang lain yang taat setia mereka curahkan seluruhnya kepada negara ini. Namun Tunku meminta orang bukan Melayu supaya bersikap adil, bertimbang rasa dan tuntutan mereka biarlah berpatutan. Tunku menegaskan;
Saya harap janganlah hendaknya dilupakan bahawa tidak ada putera bumi mana-mana negeri pun di dunia ini yang telah menyerahkan banyak haknya kepada orang lain seperti yang telah dilakukan oleh orang-orang Melayu. Tidak ada putera bumi negeri lain yang menunjukkan sikap berbaik-baik kepada orang-orang yang masuk ke negerinya sebagai yang ditunjukkan oleh orang Melayu[27].

Kepada orang Melayu pula, Tunku telah merayu:
Tidak ada sebuah negeri pun di dunia ini yang telah mencapai kemerdekaannya dengan tidak memberikan banyak pegorbanan. Saya tidak menyangkal sedikit pun bahawa saudara-saudara semua akan sanggup berkorban dan terus menjaga nama baik saudara-saudara sebagai satu bangsa yang bersopan santun, bertimbang rasa dan sentiasa ingin bersahabat..Saya menyeru kepada semua rakyat supaya mengamalkan sifat toleransi dan menjaga semangat saling bekerjasama yang telah diamalkan oleh Perikatan dengan jayanya dalam usaha untuk mencapai kemerdekaan[28].

Menurut Miller, hasil daripada ucapan Tunku tersebut, suasana tegang yang ditimbulkan oleh perasaan curiga oleh orang Melayu menjadi kendur dan masalah jus soli terus lenyap dari halaman akhbar-akhbar Melayu selama beberapa minggu berikutnya[29].
Parti Perikatan akhirnya telah berjaya mengharungi cabaran dalam menyediakan satu memorandum yang disepakati bersama dengan membuat penyelarasan dan kompromi dalam memenuhi tuntutan kaum masing-masing dalam masa empat bulan. Parti Perikatan bersetuju untuk menerima prinsip jus soli tertangguh yang membawa makna bahawa seseorang yang dilahirkan pada atau selepas Merdeka boleh diterima sebagai warganegara[30] dan penerimaan cadangan hak keistimewaan orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan[31].

Sementara itu, Suruhanjaya Reid telah mengeluarkan laporan mereka pada 21 Februari 1957. Wakil kerajaan Inggeris, Majlis Raja-raja dan kerajaan Perikatan telah dilantik menganggotai Working Party di Persekutuan untuk membuat semakan yang detil terhadap kandungan Laporan Reid[32]. Rujukan utama dan proses penyediaan laporan yang disediakan oleh Suruhanjaya Reid telah dirumuskan oleh Joseph M. Fernando, katanya;
the Commission, taking cognizance of local sensitivities historically associated with the provisions relating to the communal issues, sought to “conform” to the submissions of the Alliance to ensure that they would be acceptable and practicable. Nevertheless, the Commission, at the same time, attempted to strike a just balance between the principal demands of the Malays and the non-Malays...[33].
Apabila Laporan Reid dikeluarkan, maka ia telah menimbulkan pelbagai reaksi dari orang Melayu, orang bukan Melayu, parti-parti politik, media dan berbagai pertubuhan, terutamanya mengenai isu-isu yang ada hubung kaitnya dengan isu komunal. Akhbar Utusan Melayu, telah mempersoalkan kewajaran Suruhanjaya yang memasukkan semakan terhadap hak istimewa orang Melayu setelah tempoh 15 tahun. Akhbar Cina, Kwong Wah Jit Poh bertarikh 21 Februari 1957, pula telah mengkritik Suruhanjaya kerana mewujudkan dua darjat kerakyatan dengan merujuk kepada hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan[34]. Manakala Parti PAS (Parti Islam se-Malaya) pada 17 Mac 1957, telah mengadakan satu rapat umum di Padang Malaya, Kuala Terengganu yang dihadiri kira-kira 2,000 orang penyokong membantah Laporan Reid. Dalam rapat umum tersebut, Dr. Burhanuddin al-Helmy (Yang Dipertua Agung PAS) telah menyatakan bahawa syor-syor dalam Suruhanjaya Reid tersebut merugikan bangsa Melayu dan terbabas dari keadilan. Nama bangsa Melayu telah terhapus dan jaminan kedaulatan bangsa Melayu dan agama Islam telah ditinggalkan[35]. Rapat umum yang dihadiri oleh pemimpin Parti Negara, Parti Rakyat dan Pas bersama dengan orang Melayu juga telah diadakan di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 10 Mac 1957, dan diikuti rapat umum di padang Muar Club pada 16 Mac 1957 . Dalam rapat umum di Padang Muar Club, Dato’ Onn telah berucap (ucapannaya disiarkan dalam Majalah Kritik pada 20 Mac 1957) yang menzahirkan kebimbangannya dan kebimbangan bangsa Melayu berkenaan implikasi Laporan Reid terhadap nasib masa depan bangsa Melayu. Dato’ Onn menegaskan bahawa matlamat rapat umum yang diadakan bertujuan untuk “umat bangsa Melayu berkehendak tahu apakah akan jadinya kepada negeri-negeri Melayu dan umat bangsa Melayu di Semenanjung Tanah Melayu ini... khasnya selepas 31 haribulan Ogos hadapan ini”. Dalam ucapannya, Dato’ Onn telah mengimbas kembali perhimpunan keramat orang Melayu pada 12hb. Mac 1946 di mana anak-anak Melayu telah merayu dan memberikan satu pesanan kepada ibu bapa mereka yang berbunyi:

“Ayuhai bapa-bapa dan ibu-ibu, sementara kami besar-sementara kami remaja-sementara kami menjadi umat yang bertanggungjawab di atas negerinya sendiri-maka dengan hati yang suci murni-dengan menyusun jari sepuloh-kami pohonkan belalah hak kami sementara kami besar-pertahankan pusaka kami sementara kami remaja-kawalah kehormatan dan maruah kami sementara kami menjadi umat yang bertanggungjawa atas negerinya..dan kepada Tuhan kami memohon-Ya Allah-berkatilah oleh Mu dan kabulkan oleh Mu akan sebarang niat baik yang sedang ditaja oleh bapa-bapa dan ibu-ibu kami bagi membela dan mempertahankan hak-hak kami-perkenan oleh Mu akan sebarang langkah bagi membina sebuah kota untuk mengawal hak-hak kami sekelian”[36].

Dato’ Onn melalui majalah Kritik yang menjadi wadah menyalurkan perjuangannya telah meminta orang Melayu supaya mengkaji sedalam-dalamnya Laporan Reid sebelum menerima Laporan tersebut. Kebimbangan dan kegelisahan terhadap masa depan bangsa Melayu selepas keluarnya Laporan Reid telah ditimbulkan oleh rencana Pengarang Kritik. Menurut rencana Pengarang Kritik, “..nampaknya pada hari nyatalah umat Melayu sedang gelisah dan terharu-haru fikirannya menanti-nanti sahaja penerangan dan keterangan daripada pihak kerajaan dan dari pihak Perikatan sendiri dan dari pihak yang lain-lain juga supaya dapatlah dibandingkan sesuatu penerangan dan keterangan itu”[37]. Kebimbangan orang Melayu itu ada asasnya kerana menurut Dato’ Onn; “the Malays would undoubtedly go astray and some might get the blessing in haven as dreamt by Chief Minister, Tengku Abdul Rahman”. Manakala kaum bukan Melayu menurut Dato’ Onn, akan menyetujui cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Laporan tersebut kerana mereka mengharapkan perkara tersebut, sebelum penubuhan Perikatan lagi[38]. Ahmad Boestamam, pemimpin parti Rakyat turut tidak menyakini keupayaan Laporan Reid dalam memenuhi hasrat bangsa Melayu. Justeru itu, menurutnya, parti Rakyat tidak menghantar apa-apa pandangan kepada Suruhanjaya Reid. Bagi Ahmad Boestaman, perlembagaan sesuatu negeri itu tidak patut dibentuk oleh orang dari luar negeri yang tidak tahu keadaan tanah air melainkan hendaklah dibentuk sendiri oleh rakyat negara ini. Apa yang telah ditegaskan oleh parti Rakyat itu memang berasas sebagaimana penolakan Dato’ Onn dan Dr. Burhanuddin terhadap keperluan pembentukan Suruhanjaya Reid atau pihak luar bagi mengubal perlembagaan negara ini[39].
Tunku Abdul Rahman memang menyedari kebimbangan orang Melayu terhadap kesan Laporan Reid terhadap survival masa depan mereka dan lebih menguntungkan kaum bukan Melayu. Tunku kerap kali telah meminta orang Melayu dan semua pihak bertenang dan mengkaji serta memahami sedalam-dalamnya Laporan tersebut sebelum membuat sesuatu tindakan. Gesaan Tunku itu telah disiarkan banyak kali oleh akhbar-akhbar di Tanah Melayu sejurus Laporan Reid dikeluarkan dan diedarkan kepada umum. Tunku juga meminta orang Melayu supaya berani, bersatu dan sedia membuat pengorbanan[40]. Akhbar The Malay Mail telah menyifatkan Laporan Reid sebagai “The Foundation For A New Malay” yang memberi kesan kepada semua orang tanpa mengira kedudukan seseorang. Manakala menurut Ong Yoke Lin, jika Laporan tersebut diluluskan, maka beribu-ribu orang yang tinggal di Persekutuan akan dapat kerakyatan, di mana pada masa lepas mereka tidak layak mendapatkannya[41]. Tan Cheng Lock pula menyifatkan Laporan tersebut adalah “satu dokumen yang boleh diterima”, manakala Tan Siew Sin lebih berterus terang dengan menyifatkan Laporan itu sebagai “nothing that the report was fair because neither the Malays nor the non-Malays were completely satisfied”[42].
Kebimbangan itu bukan sahaja melanda orang Melayu pada umumnya tetapi turut dirasi oleh ahli-ahli UMNO. Mereka merasakan sekiranya cadangan-cadangan yang terdapat dalam Suruhanjaya Reid jika diterima, ia akan membawa bencana besar yang boleh menimpa orang Melayu. Kegusaran tersebut telah mendorong UMNO mengadakan Persidangan Agung Tergempar pada 28 Mac 1957 di Rumah UMNO, Kuala Lumpur. Dalam persidangan yang dihadiri oleh wakil-wakil UMNO di seluruh Persekutuan dan Singapura, Tunku Abdul Rahman telah menjelaskan tujuan persidangan itu diadakan bagi memberi peluang yang seluas-luasnya kepada ahli UMNO untuk mengkaji sehalus-halusnya cadangan yang terkandung dalam Suruhanjaya Reid. Tunku turut menjelaskan mengenai kemajuan yang telah dicapai dalam soal perlembagaan dan corak perlembagaan negara merdeka yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti. Tunku menyifatkan persetujuan yang dicapai oleh ketiga-tiga parti dalam Perikatan sebagai persetujuan yang besar, yang mengandungi erti yang mendalam. Persetujuan tersebut disifatkan oleh Tunku sebagai kemenangan yang besar kepada UMNO dalam perundingan dengan rakan-rakannya dalam Perikatan[43].
Perbahasan mengenai syor-syor yang terkandung dalam Laporan Reid yang dilakukan oleh wakil-wakil UMNO dalam Persidangan Agung Tergempar UMNO tersebut berjalan dengan suasana agak tegang dan panas. UMNO Negeri Sembilan mencadangkan supaya Laporan Suruhanjaya Reid ditangguhkan sehingga selepas merdeka. Tetapi cadangan tersebut tidak mendapat sokongan ramai dan digugurkan. Akibatnya, wakil-wakil UMNO dari Sembilan berjumlah 10 orang yang diketuai oleh Datuk Raja Mohammad Hanifah merasa tidak berpuas hati dan bertindak menarik diri dan keluar dari Persidangan tersebut setelah meminta kebenaran dari Pengerusi[44]. Di akhir Persidangan satu ketetapan telah dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO untuk menerima keseluruhan syor-syor yang terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Reid berserta pindaan serta tambahan-tambahan yang diputuskan melalui Perhimpunan Agung tersebut yang akan diperjuangkan untuk dimasukkan ke dalam Laporan tersebut[45]. Dalam Perhimpunan tersebut telah diluluskan empat usul yang utama, iaitu (1) menolak dua kerakyatan, (2) kedudukan Islam sebagai agama negara ini mestilah dijamin, (3) tidak ada tempoh tertentu bagi hak isimewa orang Melayu, dan (4) bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi yang tunggal dan bahasa Inggeris boleh digunakan dalam urusan rasmi untuk tempoh 10 tahun[46]. Lanjutan dari Persidangan Agung UMNO tersebut, UMNO Bahagian Selatan Seberang Perai telah menghantar tiga usul tambahan Perlembagaan Persekutuan yang tidak sempat dikemukakan pada Perhimpunan tersebut. Antara usul yang disampaikan ialah, “Perlembagaan Malaysia hendak-lah di-rakamkan bersama2 di-dalam Bahasa Melayu dan Inggerish sa-lewat2nya dalam tempoh 8 tahun. Sa-lepas daripada itu Bahasa Inggerish tidak di-gunakan lagi”[47]. Manakala Jawatankuasa Politik Perikatan dalam mesyuarat mereka pada 14 Mac 1957 telah mengambil keputusan berpegang kepada Memorandum Perikatan yang diserahkan kepada Suruhanjaya Reid pada bulan September 1956 yang lalu. Mesyuarat tersebut telah membincangkan isu dua kerakyatan, pengisytiharan Islam sebagai agama Persekutuan dan kedudukan istimewa orang Melayu. Jawatankuasa tersebut telah memberi tahu akhbar The Malay Mail bahawa, “there was complete agreement among us. We hope to submit an agreed recommendation to the National Council very shortly. There is no major point on which we cannot agree”[48].
Parti PAS dalam reaksinya terhadap Laporan Reid pula telah mengeluarkan satu ulasan terhadap Laporan Reid. Ulasan tersebut (mengandungi 23 muka surat) telah dibentang dan dibahaskan dalam Sidang Mesyuarat Agung Khas PAS pada 2 Mei 1957, di Kuala Lumpur. Ulasan tersebut memperlihatkan kekecewaan PAS terhadap cadangan Suruhanjaya yang dilihatnya sebagai berlawanan dengan “tertib kedudukan politik negara ini dan hendak meruntuhkan pengwujudan sebuah negara merdeka”. PAS berpendirian bahawa negara ini adalah sebuah negara Melayu dan hak orang Melayu telah diakui dan diiktiraf oleh sejarah dan undang-undang. Oleh kerana itu, hak politik negara ini adalah terpulang semata-mata kepada orang Melayu yang mempunyai hak mutlak dan tuan punya kepada negara ini. Dalam Laporan tersebut, PAS menolak kaedah jus soli yang digunakan dalam soal kerakyatan, kerana ia akan merugikan orang Melayu. Tuntutan bukan Melayu terhadap penggunaan syarat kerakyatan yang longgar pada pandangan PAS didorong oleh tujuan untuk merebut kuasa politik dan membantut perkembangan politik di negara ini. Bantahan PAS terhadap prinsip jus soli bertujuan “bukan semata-mata kerana hendak merasakan kepentingan orang Melayu sahaja, tetapi merenungkan kepada keselamatan dan kebajikan negeri ini, apabila mencapai kemerdekaannya kelak, akan tetap”.[49] Bantahan PAS terhadap syarat-syarat kerakyatan yang longgar, di mana hak kerakyatan boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang lahir dalam negara ini diasaskan kepada kebimbangan PAS terhadap kesetiaan orang bukan Melayu terhadap negara ini dan dalam masa yang sama, mereka masih belum melucutkan hak kebangsaannya dari negara asal mereka. Oleh kerana itu menurut PAS, “ini bermaknalah kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu ini boleh dipermainkan oleh barang siapa pun dari rakyat lain...”.[50]
PAS juga mengkritik Laporan Suruhanjaya Reid kerana tidak menegaskan bahawa kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu dinamakan sebagai Kebangsaan Melayu. Bagi PAS; “tujuan tertentu di dalam tugas Suruhanjaya itu, ialah bagi meujudkan satu kebangsaan umum di negeri ini, maka hendaklah disebut bahawa hendaklah diujudkan satu kebangsaan di Tanah Melayu ini, dan kebangsaan itu hendaklah dinamakan MELAYU”[51].
Ulasan PAS terhadap Laporan Suruhanjaya Reid itu juga menegaskan bahawa salah satu tugas penting Laporan Reid adalah untuk menjaga “Kedudukan Khas Bangsa Melayu dan Kepentingan Halal Bagi Puak Yang Lain”. Penjagaan hak kedudukan istimewa orang Melayu berdasarkan kepada hakikat bahawa Tanah Melayu adalah kepunyaan bangsa Melayu. Sebarang percubaan untuk mengubah hakikat ini dilihat oleh PAS sebagai berlawanan dengan hak manusia dan asas undang-undang. PAS menyatakan kekecewaannya terhadap Laporan Reid kerana “...mereka itu mementingkan kedudukan khas bangsa lain di Tanah Melayu...” dan sedikit tumpuan yang diberikan kepada bangsa Melayu yang disifatkan oleh PAS; “bukan sebagai bangsa yang mempunyai hak dan mempunyai negeri Tanah Melayu ini, tetapi sebagai sa-gulongan manusia yang kechil, yang lemah, yang patut di-berikan pertolongan, yang sama kedudukan-nya dengan kaum Eurasian, dan sama-lah seperti puak-puak yang lemah di-negeri ini. Ini adalah satu pengkhianatan yang besar yang telah di-lakukan oleh Surohanjaya itu”.[52] Manakala pandangan PAS mengenai kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan hendaklah ditafsirkan Islam sebagai satu cara hidup yang menyeluruh bukan semata ibadah antara hamba dengan Tuhannya sahaja. Tujuan agama Islam yang dituntut oleh PAS dijadikan sebagai agama rasmi Persekutuan supaya:
Agama Islam lah menjadi PEMANDU, dan menjadi TUJUAN didalam hidop manusia dinegeri ini. Maka dengan menyebutkan ini didalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka akan menjadi sabuah negeri yang benar-benar berfaedah bagi dirinya sendiri, dan akan menimbulkan hasil baik pada rakyatnya, dalam arti kata KESELAMATAN, KESEJAHTERAAN, dan KEMAKMURAN”.
Lanjutan dari Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, PAS menuntut supaya Perdana Menteri yang dilantik mestilah dari seorang yang beragama Islam.[53] Tentang kedudukan bahasa Melayu, PAS berpegang kepada tuntutan asalnya bahawa bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan yang tunggal di Tanah Melayu dengan serta merta. Menurut PAS, tiada bahasa lain selain dari bahasa Melayu yang boleh dijadikan sebagai bahasa rasmi. Oleh kerana itu, bangsa lain yang ingin memohon kerakyatan negara ini mestilah mengetahui bahasa Melayu dengan sejelasnya.[54]
Bantahan terhadap Laporan Suruhanjaya Reid telah mendorong parti-parti Melayu di luar UMNO bagi mengadakan satu Kongres Melayu pada 4-7 Mei 1957 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Kongres ini disokong oleh parti PAS, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Negara. Kongres ini juga turut disokong sama oleh bekas ahli UMNO[55]. Tujuan Kongres ini dinyatakan sebagai berikut:
Memperbinchangkan perkara Perlembagaan bagi Malaya Merdeka kelak. (dengan di-jadikan Rang Perlembagaan Reid satu dari-pada panduan-nya), yaani salain dari-pada Rang Perlembagaan Reid boleh di-buat panduan lain2 perlembagaan saperti Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, perlembagaan2 India, Pakistan, Ceylon, Amerika, Indonesia, United Kingdom (tidak ada bertulis) dan lain2 perlembagaan serta juga keputusan2 UMNO di-atas Rang Perlembagaan Reid)[56].

Menurut Heng (1988), Kongres ini telah memutuskan empat perkara, iaitu: 1) Hak kerakyatan yang berasaskan prinsip jus soli tidak boleh diberikan kepada bukan Melayu, 2) hak keistimewaan orang Melayu tidak boleh dipersoalkan, 3) bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahasa kebangsaan dan rasmi yang tunggal, dan 4) dasar negara-bangsa Malayan yang baru mestilah diasaskan kepada kebudayaan Melayu dan warisan politik Melayu[57].

 

No comments:

Post a Comment