Thursday, July 14, 2011

Yazid Bin Muawiyah

Yazid bin Muawiyah atau Yazid I (645-683) ialah khalifah kedua Kerajaan Bani Ummaiyyah selepas mengantikan ayahandanya Khalifah Muawiyah. Dia meninggal dunia secara mengejut pada tahun 683 selepas hanya tiga tahun memerintah.

 

Menjadi Khalifah

Khalifah Muawiyah memutuskan penggantinya ialah anaknya sendiri iaitu Yazid. Keputusan ini mendatangkan bantahan daripada ramai orang. Namun penentangan ini hanya berlaku selepas Khalifah Muawiyah wafat.

Penentangan

Yazid pertama sekali ditentang oleh cucu Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Saidina Hussein yang juga merupakan anak khalifah terakhir Khulafa al-Rasyidin, Saidina Ali Abi Talib. Namun demikian semasa di Karbala, Iraq, pertempuran berlaku yang menyaksikan kematian Saidina Hussein. Golongan Syiah mengingati peristiwa pada setiap tahun iaitu pada 10 Muharram dengan berdukacita.
Selepas itu berlaku lagi beberapa penentangan di empayar Islam tetapi kesemuanya gagal.
Antara peristiwa hitam yang terjadi semasa pemerintahan Yazid adalah serangannya ke atas kota Madinah yang mana menyebabkan ramai golongan para penentang yang terdiri daripada para sahabat, para anak sahabat dan golongan tabi'in terkorban syahid. Kubur para syuhada ini masih dapat dilihat di Tanah Perkuburan Baqi' di Madinah. Kubur para syuhada ini dipanggil Syuhada Al Hararah As-Syarqiyyah.

Penentangan di Semenanjung Arab

Kebanyakan orang Arab yang kebiasaannya memilih khalifah berasaskan perbincangan menentang perlantikan Yazid sebagai khalifah. Abdullah ibn Zubair melantik dirinya sendiri menjadi khalifah dan melancarkan penentangan di Hijaz. Yazid menghantar tentera untuk menentangnya pada tahun 683. Madinah ditawan dan Makkah dikepung. Semasa pengepungan itu Kaabah mengalami kerosakan. Kepungan itu berakhir selepas Yazid meninggal dunia secara mengejut pada tahun 683. Tempat perkuburan Yazid tidak diketahui.

Legenda

Yazid walaupun mencetuskan banyak kontroversi dan penentangan semasa pemerintahannya banyak memperbaharui sistem pemerintahan Kerajaan Bani Ummaiyyah. Dia meneruskan kebanyakan daripada polisi ayahnya. Beliau juga meningkatkan sistem pengairan pertanian di gurun sekitar Damsyik. Anaknya, Muawiyah II menggantikannya sebagai khalifah.

No comments:

Post a Comment