Sunday, October 30, 2011

KUTUK KERAJAAN TETAPI MAKAN GAJI DENGAN KERAJAAN

Jika kita mengambil contoh ulama-ulama mazhab terkenal yang mempunyai pendirian-pendirian tertentu berbeza dengan pendirian pemimpin kerajaaan seperti Imam Syafi'i (lahir 767 dan meninggal 820 Masihi), Imam Malik (lahir 715 dan meninggal 795 Masihi, Imam Abu Hanifah (lahir 699 dan meninggal 767) dan Imam Ibn Hanbal (lahir 780 dan meninggal 855) kita akan mendapati semua mereka menolak makan gaji atau memegang jawatan dalam kerajaan.

Bagaimanapun, keempat-empat ulama mazhab yang menjadi tonggak aliran Ahli Sunnah Waljamaah itu mengambil pendirian menolak makan gaji dan memegang jawatan bukan kerana mereka menentang kerajaan.

Sebaliknya mereka mengambil pendirian itu kerana tidak mahu terlibat dalam politik.
Ini kerana ulama-ulama berkenaan secara khas dan lain-lain ulama aliran Ahli Sunnah Waljamaah secara amnya merupakan ulama yang menyokong kerajaan. Ini kerana aliran Ahli Sunnah Waljamaah terbentuk di bawah naungan kerajaan. Ada di kalangan ulama Ahli Sunnah Waljamaah itu menolak terlibat dalam politik kerana ada yang betul-betul bermasalah dengan kerajaan, tetapi secara keseluruhannya mereka bersama kerajaan.

Sebaliknya golongan ulama yang boleh dikategori sebagai ulama pembangkang ialah ulama puak Syiah, Khawarij, Muktazilah, Murji'ah dan lain-lain. Merekalah yang boleh dipanggil ulama yang seratus peratus menjadi pembangkang. Tindakan mereka dalam membangkang pula sangat hebat dan menjadi punca berlaku permusuhan dan peperangan yang besar di kalangan orang Islam pada masa lalu.

Di kalangan ulama empat mazhab bukan tidak ada ulama yang membangkang sepertimana ulama Syiah, Khawarij dan lain-lain, tetapi tindakan mereka membangkang tidak lebih daripada perbezaan pendirian dan bimbang politik boleh merosakkan kerjaya ilmu. Sebagai contoh Imam Syafi'i dan Imam Abu Hafinah pernah dituduh terlibat dengan puak pembangkang.

Imam Syafi'i pernah dipenjara di Yemen kerana dituduh terlibat dalam pemberontakan di sana menentang kerajaan pusat. Bagaimanapun, apa yang berlaku ke atas Imam Syafi'i tidak lebih daripada fitnah kerana beliau dituduh bersubahat dengan sembilan orang pemberontak puak Alawi (Syiah) menentang kerajaan Abbasiyyah yang dipimpin oleh Harun ar-Rasyid. Tetapi Imam Syafi'i yang sepatut dibunuh seperti sembilan orang Alawi itu terlepas dari maut selepas berjaya berhujah Harun ar-Rasyid dan dapat membuktikan bahawa beliau tidak bersalah.

Selain itu Imam Syafi'i mempunyai pandangan berbeza dengan beberapa ulama lain berhubung pemerintahan Muawiyah dan Yazid di mana beliau menganggap pemerintahan kedua-dua mereka sah dari segi hukum agama.

Abu Hanifah pula pernah menyokong puak pembangkang menentang kerajaan Umawiyah kerana beliau menganggap Ali bin Abi Talib dan lain-lain Ahlul Bait lebih berhak daripada Muawiyah dan lan-lain pemerintah Bani Umaiyyah. Beliau yang berasal dari keturunan hamba Parsi itu memberi sokongan secara terang-terang terhadap mereka yang menentang kerajaan Umawiyah termasuk memberi bantuan kewangan kepada mereka.

Jadi Imam Abu Hanifah seorang saja yang mungkin dianggap sebagai ulama yang membangkang kerajaan seratus-peratus. Tetapi anehnya Abu Hanifah juga mengambil pendirian yang sama terhadap kerajaan Abbasiyyah yang dibentuk oleh puak pembangkang, iaitu tidak makan gaji dan menolak memegang jawatan.

Malah anehnya juga ialah Abu Hanifah sendiri dipenjara oleh kerajaan yang beliau memberi sokongan dan beliau meninggal dunia dalam penjaranya. Sesetengah sumber menyebut Imam Abu Hanifah diracuni oleh Khalifah al-Mansur.

Salah satu punca menyebabkan ulama terkenal banyak menggunakan akal dalam berijtihad itu dipenjara kerana beliau menolak menjadi kadi kepada kerajaan Abbasiyyah. Perlu diterangkan bahawa Imam Syafi'i, Imam Ahmad dan Imam Malik juga menghadapi penyeksaan seperti yang terkena pada Imam Abu Hanifah. Cuma punca yang menyebabkan mereka ditimpa musibah itu berbeza

No comments:

Post a Comment