Semenanjung Tanah Melayu mula dijajah pada tahun 1511 oleh Portugis selepas kejatuhan Melaka. Belanda mula menjajah kita pada tahun 1641. Kemudian diikuti oleh imperialis Inggeris hinggalah ke tahun 1941 iaitu tahun kedatangan pihak Jepun. Selepas Nagasaki dan Hiroshima diledakkan oleh bom atom dan Jepun tewas dalam Peperangan Dunia Kedua, pihak imperialis Inggeris kembali menjajah Tanah Melayu.
Para imperialis dan penjajah datang ke negara kita kerana 3 sebab utama yang kita simpulkan sebagai 3 G iaitu God, Gold, dan Glory. Tidak dapat dinafikan mereka membawa bersama mereka para mubaligh untuk menyebarkan dakyah Kristian di samping memperluaskan peta perluasan kuasa tentera Salib.
Tujuan mereka juga adalah untuk meraih sebanyak mungkin hasil bumi negara yang dijajah sebagai keperluan membangunkan negara asal mereka terutama selepas Revolusi Perindustrian di Eropah. Ketiga, mereka datang untuk mendapat keagungan kerana bangsa mereka dianggap sebagai bangsa yang layak memerintah dunia. Tugas mereka dianggap suci dan terhormat.
Hakikat Penjajahan
Kolonialisme, imperialisme atau penjajahan bermaksud perkembangan kuasa atau kawalan sama ada secara langsung ataupun tidak, politik atau ekonomi oleh sesuatu kerajaan, bangsa atau masyarakat ke atas bangsa atau masyarakat yang lain dan proses ini didokong oleh idea yang tersendiri.
Fenomena kolonialisme bermula sejak tahun 1870an apabila Britain, Jerman, Perancis, Itali, Belgium dan Amerika Syarikat bersaing dan berlumba-lumba di antara satu sama lain untuk memperolehi tanah jajahan di Afrika dan juga Asia. Fenomena ini tidak dapat dielakkan kerana terdapatnya perkembangan yang tidak seimbang di antara negara-negara Eropah yang maju dengan negara-negara yang mundur dalam bidang-bidang permodalan, sains dan teknologi. Fenomena ini wujud disebabkan suatu proses pengumpulan modal berlaku lebih awal di Eropah dan di Amerika Syarikat akibat daripada Revolusi Perusahaan. Ia telah berkembang sesuai dengan potensinya. Jika ia membawa akibat-akibat buruk seperti peperangan ataupun penaklukan, ini adalah disebabkan konflik politik ataupun tekanan -tekanan yang tidak dapat dielakkan.
Perang dunia pertama yang berakhir pada tahun 1918, di Timur Tengah khususnya dunia Arab telah menyaksikan suatu era baru iaitu era penjajahan Eropah. Janji terhadap hasrat kemerdekaan Arab berkecai di sidang damai Paris, 1919. Bahkan sebelum itu, suatu siri perjanjian sulit telah diadakan di antara sesama kuasa-kuasa Berikat mengenai zon pembahagian kekuasaan masing-masing ke atas wilayah-wilayah empayar Dawlah cUthmaniyyah setelah tamat perang nanti dan yang terpenting ialah perjanjian Sykes-Picot yang diadakan pada bulan April dan Mei 1916.
Pada tahun 1917, kerajaan British mengisytiharkan ‘ Deklarasi Balfour ‘ yang menjadi asas kepada penubuhan negara Israel di Palestin pada tahun 1948. Di antara tahun 1920 dan 1948, dunia Arab mengalami suatu tempoh kemunculan 25 buah entiti politik yang berasingan di bawah regim-regim yang didokong oleh Perancis, British , Sepanyol dan Italy. Setelah Algeria, Tunisia, dan Morocco jatuh di bawah kekuasaan Negara-negara Bersekutu, Syria pula dikuasai oleh Perancis pada tahun 1920.
Menurut Stoddard, proses penjajahan tidak dapat dielakkan. Apabila terdapat dunia dengan taraf yang berbeza seperti Timur dan Barat pada awal abad ke - 18, Barat mengalami kemajuan dan Timur ketinggalan di belakang. Kemudiaanya yang pertama akan menyerang yang kedua.
Faktor-faktor bukan ekonomi dikatakan juga memainkan peranan dalam perkembangan kolonialisme ini. Misalnya terdapat kepercayaan bahawa tamadun dan kebudayaan Barat adalah lebih superior . Oleh kerana itu, orang-orang Barat harus membantu bangsa-bangsa yang mundur dalam pembangunan negara mereka. Ini berdasarkan survival mereka bergantung kepada siapa yang terkuat. Selain daripada itu, semangat patriotisme yang agresif dan kebencian terhadap negara-negara asing juga memainkan peranan. Semangat ini dipupuk oleh pemimpin-pemimpin, media massa dan para penulis yang pro imperialisme supaya rakyat di negara imperialis memberikan sokongan kepada pemerintahan mereka. Terdapat juga badan mubaligh agama Kristian yang mengalakkan imperialisme ini sesuai dengan semangat Kristianisasi. Golongan ini menganggap adalah menjadi satu tugas suci ‘orang-orang putih’ ( yang disifatkan oleh Rudyard Kipling sebagai The White Man’s Burden ) untuk menyebarkan agama Kristian kepada bangsa-bangsa lain. Hubungan gereja dan kuasa penjajah adalah amat rapat dan terbukti bahawa perluasan kuasa politik dan pengembangan pengaruh gereja adalah selari daripada segi kawasan dan masa. Kedua-duanya saling bantu membantu. Ini memberikan advantage kepada gerakan Kristianisasi di samping laba dan dana yang didapati oleh pihak penjajah sendiri. Selain itu, perluasan kuasa imperialisme Barat ke atas kawasan Asia dan Afrika umumnya meliputi lima bidang iaitu politik, ekonomi, sosial, agama dan intelek.
Sebagai contoh, penguasaan Inggeris di Negeri-negeri Selat dan kemudiannya ke atas Tanah Melayu memberikan kesempatan baru bagi gerakan mubaligh Kristian, baik pihak Katolik ataupun Protestan. Peluang yang lebih luas untuk pihak gereja berperanan di tanah-tanah jajahan Inggeris di Asia bermula dengan kebenaran yang diberikan melalui peruntukan di dalam piagam baru Syarikat Hindia Timur Inggeris pada tahun 1813.
Pada tahap permulaannya, bangsa-bangsa Penjajah Barat datang ke negara-negara Islam dan di negara-negara lain dengan berselindung di sebalik cogankata “ civilizing mission “ . Kedatangan mereka ke rantau sebelah sini kononnya untuk mentamadunkan dan membentuk tata cara kehidupan orang-orang Timur.
Kegiatan pesat orientalisme dikatakan banyak membantu para penjajah menentukan dasar di negeri-negeri yang ingin dijajah. Perluasan dasar penjajahan Barat di dunia Islam turut juga menentukan pandangan orang Barat terhadap dunia Timur. Pada pertengahan kurun ke 19, pihak penjajah tekah mengeksploitasi bahan-bahan warisan para orientalis dan menggiatkan lagi aktiviti orintalisme di Timur. Penyelidikan-penyelidikan oleh pihak orientalis banyak membuka jalan dan membantu pihak imperialis untuk mengatur strategi dan polisi yang lebih rapi untuk meraih segenap peluang yang ada. India telah dikuasai oleh pihak British sepenuhnya secara rasmi pada tahun 1857. Algeria pula jatuh ke tangan Perancis pada tahun 1858 setelah beberapa kali diserang sejak tahun 1830. Belanda berjaya menawan Indonesia melalui Syarikat Hindia-Belanda pada permulaan kurun ke 17. Pada tahun 1881, Mesir dan Tunisia pula telah di tawan. Pihak penjajah telah berjaya memecahbelahkan keutuhan negara-negara Islam dengan cara perlahan-lahan sehingga berjaya menguasai keseluruhan negara Islam di Timur dan Barat. Selepas tamatnya Perang Dunia Pertama, boleh dikatakan keseluruhan negara Islam berada di bawah penjajahan Eropah.
Edward Said telah mengemukan satu hipotesis mengenai karekteristik dan bentuk-bentuk imperialisme Eropah. Menurut Edward Said. Imperialisme Eropah selain daripada bersifat perluasan dan penjajahan, kuasa untuk menguasai dan kecenderungan membandingkan Barat unggul dan Timur ketinggalan juga mempuyai sifat untuk merasionalisasikan kesemua motif-motif ini ke dalam bidang perundangan, kewilayahan, ras dan doktrin-doktrin sosial di tanah-tanah jajahannnya agar di terima umum, yang semata-mata bertujuan menutup kerakusannya menakluk dengan cara yang saintifik dan di anggap sopan oleh umum.
Selain daripada faktor politik, ekonomi dan kristianisasi, dasar penjajahan Barat ke atas dunia Islam adalah bertujuan untuk memecah serta melemahkan benteng aqidah umat Islam supaya mudah mereka menguasainya. Sekarang walaupun kebanyakan negara-negara Islam telah merdeka, kesan-kesan penjajahan itu terutamanya daripada sudut psikologi dan intelektual masih ketara. Pihak penjajah berjaya menguasai bukan sahaja bidang politik dan ekonomi serta lain-lain kepentingan, malah jiwa anak watan itu sendiri di jajah. Di samping itu, kesan penjajahan juga telah membentuk satu keuniversalan dalam tata-cara politik dan ekonomi dunia di mana beberapa negara Barat memepunyai kuasa dominan untuk mengawal pembuatan keputusan di dalam pertubuhan-pertubuhan yang mempunyai matlamat dan kepentingan untuk umat manuisa sejagat.
Pada hakikatnya, penjajahan itu adalah merupakan kesinambungan daripada Perang Salib yang mana nilai-nilai perseteruan itu nasih lagi berbuku di hati masing-masing. Haluan pihak Barat selepas empat siri peperangan Salib itu lebih ditumpukan kepada pengkajian dan pengamatan bidang-bidang aqidah, sosio budaya, akhlah serta sumber-sumber alam untuk mengetahui punca-punca kekuatan dan kelemahan yang wujud di pihak Timur. Imperialisme baru Eropah itu yang bermula pada awal kurun ke 14, mengakibatkan antara lain, penembusan idea-idea Barat secara beransur-ansur ke dalam kehidupan masyarakat Timur. Idea-idea tersebut dimanifestasikan akhirnya ke dalam bentuk nasionalisme dan sekularisme dan modenisme.
Hampir semua sarjana Islam berpendapat bahawa melalui penjajahan, proses pembaratan telah diperkenal dan diperhebatkan pengaruhnya kepada masyarakat Islam. Oleh kerana itu, penjajahan dan proses pembaratan amatlah rapat hinggakan ia dianggap sebagai satu gerakan yang dirancang dan direncanakan untuk mencapai matlamat-matlamat penjajahan. Gerakan pembaratan merupakan satu misi yang mempunyai nizam, matlamat falsafah dan kepimpinan yang mengarahkannnya. Ia adalah merupakan salah satu daripada siri-siri rancangan jangka panjang yang besar yang bertujuan untuk menyokong dan menguatkan kedudukan penjajah. Tujuan ini tidak akan tercapai melainkan dengan perantaraan penjajahan pemikiran kerana mengikut rancangan jangkamasa panjangnya ianya untuk memusnahkan perpaduan umat Islam dan menjadikan mereka manusia yang berjiwa kebaratan untuk memisahkan mereka darpipada segala nilai-nilai dan tradisi hidup yang mana ianya sejak daripada beberapa abad telah menjadi unsur penting di dalam pembentukan identiti umat. Penjajah sedar bahawa pengaruh dan penguasaan mereka ke atas dunia Islam dengan kekuatan ketenteraan akan berakhir. Justeru itu, perlu dirancangkan dengan teliti satu program yang dapat menjamin keutuhan pengaruh mereka di kawasan-kawasan yang ditaklukinya. Untuk itu, lahirlah tokoh-tokoh pribumi dan para pemimpin yang mewarisi dan menganut pemikiran penjajah, seiring sejalan dengannya dan di samping itu sanggup berkorban demi untuk menjaga kepentingannya. Keikhlasan mereka kepada penjajah mengatasi keikhlasan mereka terhadap agama dan negara. Mereka dibentuk sebegitu rupa melalui sistem pendidikan yang telah diacuankan sesuai dengan kepentingan penjajah.
Walaupun terdapat gerakan-gerakan kebangkitan Islam, fenomena utama pada abad ke 15 hinggalah kepertengahan abad ke 20 ialah penjajahan Barat. Penjajahan Barat telah membawa perubahan kepada kesan yang dialami oleh zaman kemuduran sebelumnya. Secara kasarnya, masyarakat Islam telah mula mengikut telunjuk dan mengagungkan tamadun Barat dan menerima sekularisme dalam kehidupan individu dan negara sepertimana yang dilaungkan oleh Barat. Untuk maju dan bertamadun, agama hendaklah diletakkan di tempat-tempat ibadat sahaja,bukannya dalam soal-soal kehidupan. Kerana pengaruh sekularisme, modenisme dan imperialisme ini begitu lama bertapak di negara-negara Islam, gerakan Islam yang muncul pada masa itu dapat dikatakan telah memberikan tumpuan utama terhadap soal imperialismre dan cara membebaskan diri daripadanya. Lalu muncullah tokoh-tokoh penentang imperialisme yang menekankan keperluan semangat kesatuan, perpaduan, penguasaan sains dan teknologi, pegangan agama yang kukuh dan semangat jihad di kalangan masyarakat mereka. Hanya pada akhir abad ke 20, barulah muncul tokoh-tokoh yang daapt mempengaruhi pemikiran umat Islam secara yang lebih meluas yang membentuk satu fahaman politik bersifat anti penjajahan.
Pengisian Kemerdekaan Sebenar
Pejuang-pejuang Melayu menyedari hakikat ini, justeru pihak penjajah terpaksa menghadapi penentangan orang Melayu terutamanya yang diketuai oleh para ulama dan pimpinan Melayu. Alhamdulillah kita sudah 49 tahun merdeka. Maka pengisian kemerdekaan yang kita isi selama ini perlu kita kaji semula. Kemerdekaan sebenar ialah dengan cara mensyukuri sepenuhnya dengan ertikata sebenar-benarnya ke hadrat Allah s.w.t. bahawa ia adalah merupakan antara nikmat besar Allah s.w.t. yang telah mengizinkan pembebasan dan kemerdekaan negara kita daripada cengkaman penjajah, membebaskan maruah dan martabat bangsa Malaysia yang telah dijajah selama hampir 5 kurun.
Pengisian kemerdekaan juga ialah dengan cara membebaskan diri daripada penjajahan pemikiran, pengaruh budaya kuning dan nilai negatif pengaruh globalisasi. Penjajah membawa bersama mereka budaya dan cara hidup Barat yang ada di antaranya bertentangan dengan Islam.
Sepanjang penentangan bersenjata terhadap para penjajah, setiap lapisan masyarakat telah berusaha untuk mempertahankan kedaulatan dan maruah negara. Penentangan terhadap penjajah adalah membawa cita-cita Islam. Orang Islam diperbodohkan dan diperkotak-katikkan. Nenek moyang kita yang berusaha menyekat kemaraan penjajah.
Kesan Penjajahan: Perjuangan Yang Belum Selesai
Namun, kesan penjajahan mental masih menular di kalangan kita. Banyak fahaman yang menyalahi ajaran Islam masih berleluasa dalam masyarakat, seperti fahaman yang pasrah kepada takdir (fatalisme), sosialisme, Marxisme, komunisme, kapitalisme, sekularisme dan berbagai-bagai isme-isme lain. Sempena dengan sambutan Bulan Kemerdekaan dan Patriotisme, marilah kita memperbaharui semula tekad dan keazaman kita untuk menyintai dan sayangkan negara kita. Menjadi seorang yang patriotik dan berjiwa Malaysia Islam bukan sahaja dengan mengibarkan jalur gemilang dan menjadi soldadu atau perajurit, bahkan semangat patriotisme boleh dikibarkan di daerah setempat atau tempat-tempat berkerja. Kesedaran tentang integriti, sivik, bermoral, amanah, jujur, telus dan komited terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat adalah antara manifestasi patriotisme yang boleh kita praktikkan.
Nikmat Dan Nilai Kemerdekaan
Kita patut bersyukur kepada Allah s.w.t. di atas nikmat kemerdekaan yang telah kita kecapi. Kita bebas ke sana ke mari beribadah, berkerja, makan angin, belajar dan menjalani kehidupan kita dalam persekitaran yang aman dan harmoni. Ada negara di mana rakyatnya hidup dalam ketakutan kerana perang saudara, peperangan dengan kuasa luar, darurat, bencana alam, konflik kaum dan lain-lain lagi.
Kita mampu mengekalkan intipati kemerdekaan kerana kita bersatu padu, bertolak ansur, saling memahami dan berkerjasama antara umat Islam dengan bukan Islam. Nilai keamanan dan keharmonian perlulah kita pelihara dan kita baja. Inilah juga merupakan manifestasi kemerdekaan. Kita sepatutnya merealisasi pengertian kemerdekaan yang lebih bermakna dengan cara menyumbang kepada organisasi tempat kita bekerja dan juga masyarakat setempat dengan menjana kemajuan fizikal dan juga spirituil. Kita bersyukur kepada Allah s.w.t kerana dengan kemerdekaan, erti keamanan lebih bermakna dalam diri kita. Kita mengecapi berbagai kemakmuran, pembangunan dan kemajuan. Kita berdoa moga Allah mengekalkan nikmat ini dan melebihkannya agar kita lebih sayangkan agama dan negara tercinta ini. Firman Allah s.w.t.
Maksudnya : “Sekiranya kamu bersyukur, nescaya aku akan tambahkan nikmat aku, sekiranya kamu kufur, azabku amatlah pedih”.
Pengisian Kemerdekaan
Pengisian kemerdekaan dan patriotisme juga adalah dengan cara mengungguli ilmu pengetahuan. Dengan kekuatan ilmu, aqidah dan perpaduanlah kita berjaya membebaskan negara ini daripada penjajah. Negara akan dipandang tinggi dan dihormati sekiranya rakyatnya berilmu pengetahuan dan ramai cendekiawannya, membuat penemuan dalam bidang sains, teknologi, sains sosial dan kemanusiaan. Negara akan dipandang tinggi dan dihormati sekiranya rakyatnya bekerja kuat, bersabar, mempunyai integriti dan sinergi, berkualiti dan saling bekerjasama dalam segala aspek kehidupan. Umat Islam perlu menjadi perserta dalam kepesatan arus pembangunan global politik dan ekonomi dunia.
Pengisian kemerdekaan dan patriotisme ialah dengan memperkukuhkan identiti dan jati diri, mempermantap aqidah, iman dan ketaqwaan kita. Kita perlu membebaskan diri kita daripada sebarang elemen syirik dan kenipisan keimanan dan kembali kepada Tauhid dan komitmen beragama. Rakyat yang beriman, budiman lagi berilmu boleh menjadi pendinding daripada kemaraan globalisasi negatif dan rempuhan budaya Barat yang bertentangan dengan Islam. Dengan aqidah, patriotisme dan keimanan, generasi kita diharap dapat menyambung semangat pengisian kemerdekaan dan meneruskan tradisi kecemerlangan kepemimpinan umat Islam dalam negara kita.
Penutup
Kemerdekaan adalah nikmat terbesar Allah s.w.t. kepada manusia kerana membebaskan manusia daripada belenggu penjajahan. Tidak ada ertinya kemerdekaan sekiranya minda manusia masih lagi terjajah. Marilah kita bersyukur kehadrat Allah s.w.t. sepertimana dalam ungkapan berikut:
الحمد الله الذي اكرمنا بنعمة الحريه والاستقلال وعظمت قدرته وتعالت حكمته وعمت نعمته واشهد ان لااله الله وحده لا شريك له واشهد ان محمدا عبده ورسوله الذي اوضح لتا الهديته عندالصلاة
Topik
- Agong (1)
- Akhirat (1)
- Akidah (2)
- Anwar Ibrahim (1)
- Ashabul Kahfi (1)
- BERSIH (1)
- Dajal (3)
- Declaration (1)
- Doa Pengantin (1)
- Freemason (3)
- Hudud (1)
- Illuminati (14)
- ILMU (10)
- Islam (118)
- Israel (2)
- Jenayah Islam (11)
- Jewish (1)
- Kiamat (1)
- Mahdi (2)
- Malaysia (16)
- MELAYU (6)
- Muawiyah (1)
- PARLIMEN (1)
- peperangan Islam (31)
- Perang Salib (2)
- Perang Siffin (2)
- Perlembagaan Malaysia (3)
- PKR (3)
- Politik (2)
- Qazaf (1)
- Reid (2)
- Sains (3)
- Santai (21)
- Sejarah (25)
- Sosial (3)
- Tauhid (1)
- The Seven Sleepers (1)
- Yahudi (19)
- Zalim (1)
- Zionisme (9)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment