Catatan sejarah telah membuktikan kepada kita bahawa Islam sebagai suatu mabda (yang ada fikrah dan thoriqah/aqidah dan sistem) telah berjaya diterapkan di tengah-tengah kehidupan masyarakatnya sejak dari zaman Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam sehinggalah Daulah Islam yang terakhir di Turki iaitu pada tanggal 3 Mac 1924. Semenjak dari itu bermulalah kemerosotan umat Islam (bukannya Islam) dan natijahnya apa yang kita lihat sehingga kini umat Islam terus-menerus dihina oleh musuh-musuh Islam. Lihat apa yang berlaku kepada saudara-saudara kita di Palestin hari ini, di Iraq, di Afghanistan dan di merata tempat lainnya. Apakah yang membezakan kita umat Islam pada alaf yang baru ini dengan umat Islam semasa adanya Daulah Islam (zaman Rasulullah S.A.W. sehinggalah kepada Daulah Islamiah yang terakhir di Turki)...? Adakah aqidah kita hari ini tidak sama dengan aqidah Rasulullah S.A.W. yang telah diyakini oleh baginda dan para sahabat yang lain? Adakah tuhan kita berlainan dengan tuhan mereka? Adakah iblat yang kita hadapkan wajah kita setiap hari tidak sama dengan kiblat mereka? Adakah al-Quran yang kita baca saban hari, minggu dan tahun tidak sama dengan al-Quran generasi yang terdahulu? Dan masih banyak lagi persoalan "adakah ........" yang boleh kita ajukan untuk kita temukan jawapannya. Sudah pasti jawapannya adalah tidak sama sekali.
Tetapi realiti yang kita lihat hari ini ialah syari'at yang diterapkan ketika ini begitu jelas tidak sama dengan syari'at yang diterapkan oleh generasi awwalun. Akhirnya kita melihat kini siapakah yang lebih mulia dan tinggi kedudukannya, adakah umat Islam zaman dahulu ataukah umat Islam masa kini?Mengapakah keadaan ini berlaku? Jawapannya ialah kerana munculnya kesalahan di dalam memahami syari'at Islam yang akan diterapkan ditengah-tengah masyarakat. Di mana Islam akhirnya ditafsirkan tidak selaras dengan isi kandungan nas-nasnya dengan tujuan agar ianya dapat disesuaikan dengan keadaan masyarakat yang ada. Walhal, seharusnya masyarakat yang perlu diubah agar sesuai dengan Islam bukan sebaliknya, iaitu membuat tafsiran yang baru (menafsir semula) mengenai Islam agar ianya dapat disesuaikan (iaitu Islam) dengan keadaan masyarakat. Satu persoalan yang perlu diajukan; bagi seseorang yang ingin membeli sebuah songkok. Adakah kita akan sesuaikan saiz songkoknya dengan saiz kepalanya ataupun kita ubahkan saiz kepalanya untuk disuaikan dengan saiz songkoknya...? Yang pastinya ialah saiz songkok itulah yang perlu kita sesuaikan dengan saiz kepala bukan sebaliknya kerana saiz kepala seseorang itu adalah tetap.
Begitulah juga di dalam syariat Islam, adakah yang akan kita ubah syari'at Islam ataukah umat islam itu sendiri...? Sudah sepatutnya yang kita ubah adalah orangnya bukan Islamnya kerana syariat Islam adalah bersifat tetap (baku) tidak akan berlaku perubahan pada sunnatullah.Sekiranya kita melihat kepada Islam dari sudut fikrah dan thaiqah, jelas, apa yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam ialah individu dan masyarakat itu yang perlu diubah bukannya Islam. Di mana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah menjelaskan kepada kita bahawa kedatangan baginda adalah untuk mengubah masyarakat supaya kehidupan mereka itu diacukan dengan Islam bukanlah sebaliknya. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam yang diutus oleh Allah datang dengan membawa ajaran Islam untuk mengubah pemikiran, perasaan, tingkah laku dan cara hidup masyarakat jahiliyyah kepada Islam.
Firman Allah swt:
"Dialah yang mengutuskan kepada kamu yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka kitab dan hikmat. Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata." [Al-Jumu'ah:2]
"Allah pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (Islam). Dan orang-orang kafir, pelindung-pelindingnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya". [Al-Baqarah:257]
"Dan tidaklan kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam". [Al-anbiyaa':107]
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri". [Ar-Ra'd:11]
Realiti Umat Masa Kini
Dewasa ini pemikiran muslim dicengkam oleh suatu keyakinan dan anggapan bahwa Islam itu bersifat fleksibel atau pragmatik dan berjalan sesuai dengan perkembangan zaman. Ertinya Islam berkembang agar penerapan hukum-hukumnya sesuai dengan kejadian dan keadaan serta nafsu manusia yang sentiasa berubah-ubah. Mereka berdalih bahawa anggapan-anggapan itu didasarkan kepada satu kaedah fiqhiyyah yang menurut anggapan mereka merupakan kaedah syara'. Kaedah itu bermaksud: "Tidak dapat ditolak adanya perubahan hukum kerana adanya perubahan zaman".
Berdasarkan kaedah yang keliru inilah mereka kemudiannya melakukan aktiviti berlandaskan realiti yang ada. Iaitu mereka bertindak sesuai dengan tuntutan keadaan. Apabila mereka diingatkan dengan hukum-hukum syara', mereka mengatakan bahawa hukum-hukum itu hanya khusus untuk waktu yang tertentu sahaja, sedangkan Islam membenarkan umatnya untuk terus menyesuaikan diri dengan keadaan dan bertindak dengan hal-hal yang sesuai dengan zaman dan tempat. Akibatnya mereka membolehkan wujudnya bank-bank yang menjalankan sistem riba, kilang-kilang arak, kedai-kedai atau pusat-pusat judi dan segalanya serba mungkin semata-mata untuk mendapatkan keuntungan duniawi. Inilah andaian mereka seperti yang didakwakan bahawa ajaran Islam adalah bersifat fleksibel dan boleh diubah mengikut keperluan semasa.Pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, tanpa adanya suatu keperluan yang diizinkan oleh syara' adalah dianggap suatu perkara yang biasa. Islam seharusnya menerima keadaan ini kerana ianya telah menjadi tuntutan zaman. Mereka mengatakan bagaimana mungkin Islam itu bertentangan dengan zaman, padahal kaedah syara' mengatakan bahawa 'hukum berubah apabila berlaku perubahan keadaan'. Itulah yang mereka dakwakan. Mereka juga mengatakan bahawa hukum poligami ketika ini tidak berlaku sebab zaman tidak dapat menerimanya lagi. Begitu juga dengan hukum hudud tidak perlu lagi dibahaskan dan dipelajari kerana hukum-hukum itu sudah basi dan tidak layak lagi dengan tuntutan zaman.
Demikianlah, kaedah-kaedah ini terus dilontarkan ditengah-tengah umat Islam ketika mereka mula berpaling dari Islam, meruntuhkan asas dan sendi-sendinya serta melenyapkan peraturan-peraturan dan syiarnya. Idea-idea seperti ini sebenarnya mula muncul pada akhir abad ke 19, ketika mana pemikiran umat Islam mula merosot dari kemuncak kegemilangannya. Bagi kaum imperialisme pula mereka seperti mendapat satu santapan yang lazat sehingga akhirnya mereka dapat memesongkan pemahaman kaum muslimin terhadap Islam hingga ke tahap seperti itu.
Oleh kerana itu, pemahaman bahawa adalah perlu hukum Islam itu disesuaikan dengan keadaan masyarakat adalah sesuatu yang batil, sebab yang menjadi masalahnya sekarang ialah masyarakat yang rosak bukannya Islam. Di mana usaha yang sepatutnya dilakukan ialah perlunya masyarakat yang rosak itu diperbaiki dengan mabda Islam. Maka mabda Islam itu perlu diterapkan sesuai dengan semua ajarannya sendiri kemudiannya mengubah masyarakat keseluruhannya secara 'inqilabi' berasaskan mabda Islam itu tadi. Dengan kata lain, ia merupakan suatu kemestian bagi para aktivis gerakan Islam untuk menerapkan hukum-hukum Islam sesuai dengan ajarannya yang bersumberkan wahyu tanpa memperhatikan keadaan masyarakat, masa dan tempat. Dalam erti kata yang lain, walaupun struktur masyarakat itu berbeza dari segi keturunan, bahasa, tempat dan lain-lain perkara tetapi faktor-faktor perbezaan itu bukanlah alasan yang boleh dijadikan ukuran untuk mengubah hukum yang akan diterapkan. Yang pastinya sekiranya !Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dahulu diwajibkan oleh Allah swt untuk menerapkan Islam secara keseluruhan di dalam kehidupannya sama ada dari sudut sosial, ekonomi, politk, kehakiman dan lain-lain maka ketika ini kita juga mempunyai kewajipan yang sama seperti Baginada Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Sejak dari dahulu lagi Islam telah memerintahkan umatnya untuk melaksanakan Islam secara mutlak iaitu 100%. Maka umat Islam yang jumlahnya melebihi 1 bilion pada hari ini juga wajib menerapkan kehidupan Islam 100%.
Firman Allah swt:
"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut kangkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu". [Al-Baqarah:208].
"Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta". [Thaahaa:124].
Khatimah
Sebagai umat Islam, apakah fokus dan sikap kita terhadap perkara ini...? Perlu kita fahami bahawa hukum-hukum syari'at Islam adalah aturan dari Allah swt untuk memecahkan permasalahan kehidupan manusia ketika mana manusia ingin memenuhi keperluan-keperluan gharizah dan hajatul udawiyahnya. Hukum-hukum ini telah diberikan oleh syari' (Allah) melalui Al-Qur'an dan As-Sunnah, di mana kedua-dua hal ini merupakan satu-satunya sumber syari'at di dalam Islam. Oleh kerana itu, hukum syara' didefinisikan sebagai khithab syari' (Allah) yang berkaitan dengan perbuatan hamba. Dengan yang demikian, hukum syara' hendaknya digali dan dipastikan bahawa hal itu merupakan seruan dari syari'. Bererti ianya hendaklah digali dari nash yang tidak lain adalah Al-Qur'an dan As-Sunnah dan juga sumber yang telah disahkan oleh keduanya iaitu ijma' sahabat dan qias.
Oleh kerana itu, ketika merealisasikan syari'at Islam di dalam masyarakat, wajib bagi setiap individu muslim untuk mempelajari realiti masyarakat itu secara teliti kemudian barulah dipecahkan dengan syari'at Allah swt. Dia hendaklah melakukan perubahan secara mendasar dan menyeluruh, berlandaskan mabda Islam tanpa memerhatikan tolok ukur yang lain, baik keadaan mahupun suasana yang menyimpang dari Islam. Secara realitinya masyarakat hendaklah selalu terikat dengan perintah dan larangan Allah swt. Kaum muslimin dilarang menyesuaikan tindakannya dengan waktu dan tempat. Sebaliknya senantiasa wajib merujuk kepada seruan syari' (hukum syara'). Janganlah kita bersikap memilih-milih hukum Allah swt semata-mata kerana menjadikan alasan bahawa ketika ini kita hidup di era teknologi (ICT) berbeza dengan zaman Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dahulu yang hidup di zaman unta.
Wahai kaum muslimin ingatlah...! bahawa syari'at Allah swt itu adalah relevan (sesuai) untuk semua manusia, tempat, masa, keadaan dan zaman hinggalah kehidupan ini dimusnahkan.
Firman Allah swt:
"Barang siapa yang mencari selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi". [Ali'Imran:85]
"(Dan ingatlah) akan hari (ketika) Kami bangkitkan pada tiap-tiap umat seorang saksi atas mereka dari mereka sendiri, dan Kami datangkan kamu (Muhammad) menjadi saksi atas seluruh umat manusia. Dan kami turunkan kepadamu Al-Kitab (Al-Qur'an) untuk menjelaskan segala suatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri. [An-Nahl:89].
Topik
- Agong (1)
- Akhirat (1)
- Akidah (2)
- Anwar Ibrahim (1)
- Ashabul Kahfi (1)
- BERSIH (1)
- Dajal (3)
- Declaration (1)
- Doa Pengantin (1)
- Freemason (3)
- Hudud (1)
- Illuminati (14)
- ILMU (10)
- Islam (118)
- Israel (2)
- Jenayah Islam (11)
- Jewish (1)
- Kiamat (1)
- Mahdi (2)
- Malaysia (16)
- MELAYU (6)
- Muawiyah (1)
- PARLIMEN (1)
- peperangan Islam (31)
- Perang Salib (2)
- Perang Siffin (2)
- Perlembagaan Malaysia (3)
- PKR (3)
- Politik (2)
- Qazaf (1)
- Reid (2)
- Sains (3)
- Santai (21)
- Sejarah (25)
- Sosial (3)
- Tauhid (1)
- The Seven Sleepers (1)
- Yahudi (19)
- Zalim (1)
- Zionisme (9)
Saturday, January 7, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
PENJELASAN yang Masuk AKAL dan Sesuai dengan Nash...
ReplyDeleteSEPAKAT BANGET !!!!
ISLAM itu TETAP karena SUDAH SEMPURNA,
sedang yg DIUBAH adalah MANUSIAnya agar SESUAI DENGAN ISLAM !!!!