Dan mereka berkata: Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwwa', yaghuts, ya'uq dan nasr. Dan sesudahnya mereka menyesatkan kebanyakan (manusia); dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kesesatan.
Mukadimah
Mereka mengatakan: "Janganlah kita meninggalkan tuhan-tuhan yang disembah oleh kita dan sesuatu yang disembah oleh nenek moyang kita terdahulu."
Tidak menghairankan jika berhala-berhala itu telah menyesatkan ramai manusia sehingga berdoalah Nabi Nuh a.s kepada Tuhannya agar ditimpa kecelakaan ke atas mereka: "Ya Tuhanku! Hinakanlah kaum yang zalim itu, dan janganlah Engkau tambah mereka selain kesesatan."
Firman Allah SWT: Nuh berkata: Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka telah menderhakaiku dan telah mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya tidak menambah kepadanya melainkan kerugian belaka.
Al-Mawardi memetik pendapat ahli tafsir yang berkata: Bahawa Nabi Nuh a.s. hidup selama 950 tahun berdakwah kepada kaumnya sedangkan mereka berterusan dengan kufur dan derhaka.
Seterusnya Ibn Abbas berkata: Nabi Nuh mengharapkan agar anak yang lahir daripada bapa mengikut agamanya. Tetapi malangnya sehingga sampai kurun ke-7, mereka masih berdegil.
Akhirnya Nabi Nuh berdoa kepada Allah dan berlakulah taufan serta bah besar. Nabi Nuh hidup selepas taufan selama 60 tahun sehingga membiaklah keturunan manusia.
Al-Hasan berkata: Kaum Nuh bercucuk tanam dua kali sebulan.
Berkenaan ayat ini seolah-olah menggambarkan kepada kita betapa peritnya menyampaikan risalah Allah lebih-lebih lagi kepada penentangnya secara terang-terangan mengingkari dan memusuhinya.
Dengan sebab itu tidak hairan bila dibaca sirah dan sejarah para nabi dan rasul yang menghadapi pelbagai tribulasi sehingga ada yang terbunuh dipukul, didera, di azab dan diseksa.
Tidak kurang pula yang terpaksa berhijrah untuk mempertahankan agamanya serta meninggikan syiar agama Islam.
Firman Allah SWT: Dan melakukan tipu daya yang amat besar.
Iaitu tipu daya yang begitu dahsyat dan kalimah yang digunakan menggambarkan amat besar jenayah maksiat mereka.
Ada dua pendapat:
1. Apa yang mereka sekutukannya dengan Allah daripada isteri dan juga anak seperti pendapat al-Kalbi.
2. Ucapan pemimpin mereka terhadap pengikut mereka menggesa supaya tidak meninggalkan tuhan-tuhan seperti wuddan dan suwa'. Inilah pendapat Muqatil.
Sifat manusia apatah lagi yang berada di lembah maksiat amat mudah melakukan dosa. Justeru, keperluan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah dengan istighfar serta menginsafi dosa-dosa yang lalu seterusnya menjadikan muhasabah sebagai keperluan utama dalam hidup sudah pasti membuahkan natijah yang baik dan dapat mencapai mardhatillah.
Al-Maraghi berkata: Mereka mengadakan tipu daya yang besar sehingga mereka sanggup memperdayakan agama dan memalingkan manusia daripadanya dengan pelbagai cara serta bercita-cita mencelakakan Nabi Nuh a.s.
Firman Allah SWT: Dan mereka berkata: Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwwa', yaghuts, ya'uq dan nasr.
Terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Ibn al-Mundhir dan Ibn Mardawayh, daripada Ibn Abbas yang berkata: Berhala-berhala ini kemudiannya menjadi berhala-berhala yang disembah oleh bangsa Arab.
Wadd berhala yang disembah oleh Bani Kalb, Suwa' berhala Bani Hudail, Yaguth berhala Bani Ghutayf yang tinggal di kawasan pinggiran Saba', Ya'uq berhala Bani Hamdan dan nasr berhala Bani Himyar Ali Dhu'l Killa.
Berhala-berhala sembahan orang Arab
Sementara itu, terdapat berhala-berhala lain yang disembah oleh beberapa kaum:
Lata: Berhala Bani Thaqif di Taif.
'Uzza: Berhala Bani Sulaym, Ghatafan dan Jusham.
Manat: Berhala Khuza'ah di Qudayd.
Isaf: Berhala penduduk Mekah.
Na'ilah: Berhala penduduk Mekah.
Hubal: Berhala penduduk Mekah dan ia merupakan berhala yang paling dimuliakan oleh mereka. Oleh sebab itu, ia diletakkan di atas Kaabah.
Berhala-berhala yang disebutkan di atas bukanlah berhala yang menjadi sembahan mereka tetapi maksud di sini adalah mereka mengambil nama-nama ini untuk dijadikan sebagai nama-nama berhala mereka. (lihat Tafsir Ibn Kathir 8/302)
Syed Qutub berkata: Itulah tuhan besar yang terus disembah pada zaman jahiliah selepas mereka hingga zaman kerasulan Muhammad SAW. Demikianlah pemimpin yang sesat dan menyesatkan itu membina pelbagai berhala dalam rupa bentuk dan pelbagai nama mengikut kecintaan dan kegilaan yang wujud dalam masyarakat jahiliah.
Mereka mengumpulkan pengikut dan berbangga dengan berhala mereka serta terus berada dalam kesesatan.
Firman Allah SWT: Dan sesudahnya mereka menyesatkan kebanyakan (manusia); dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kesesatan.
Ibn al-Jauzi berkata: Ada dua tafsiran ulama:
1. Berhala-berhala telah menyesatkan ramai manusia dengan menyembahnya.
2. Pembesar mereka telah menyesatkan ramai manusia.
Al-Mawardi berkata: Berkenaan dengan orang zalim menjadi bertambah sesat ada dua tafsiran:
1. Kecuali dengan azab. Inilah pendapat Ibn Bahr.
2. Kecuali fitnah dengan harta dan anak.
Ibn Kathir berkata: Iaitu semua berhala yang mereka sembah telah banyak menyesatkan orang ramai.
Sembahan berhala itu masih lagi berlanjutan sehingga zaman sekarang ini seperti terdapat di negeri Arab dan selain Arab serta seluruh lapisan manusia.
Syed Qutub berkata: Sebagaimana yang dilakukan oleh setiap pemimpin yang sesat meminta orang ramai menyembah berhala seperti batu, tokoh dan ideologi semuanya mempunyai tujuan yang sama iaitu menghalang dakwah Allah SWT dan menjauhkan orang ramai dan para pendakwah dengan pelbagai tipu daya yang besar.
Penutup
Di sini terdetiklah dalam hati Nabi Nuh a.s. untuk berdoa kepada Allah SWT: "Dan janganlah Engkau tambahkan sesuatu kepada orang-orang yang zalim selain kesesatan."
Itulah doa yang terbit daripada hati rasul yang berjuang sekian lama, menderita sekian banyak dan berusaha dengan segala cara dan akhirnya sedar tiada kebajikan dalam hati manusia yang zalim, pelampau dan degil.
Kisah ini sedikit sebanyak mengajar kita betapa pendakwah sentiasa menghadapi pelbagai tribulasi dan ujian dalam menyampaikan risalah Allah SWT.
Justeru, sewajarnya sentiasa bergantung kepada Allah, solat, berdoa, beriltizam dan membina jaringan hubungan ukhuwah Islamiah sesama pendakwah dan juga mereka yang mempunyai kuasa dan ilmu.
No comments:
Post a Comment