Tuesday, February 2, 2021

Tazkirah - 5

ASSALAMUALAIKUM


RENUNGAN MALAM 


Sahabat. Serulah manusia lain membuat kebaikan walaupun diri kita sendiri tidak sempurna dan berniatlah untuk melakukan apa jua kebaikan. Ini kerana jika seruan kita itu diikuti orang lain dan dalam masa yang sama kita berniat untuk melakukan kebaikan maka kita juga akan mendapat manfaatnya. Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Hai anakku, Dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) berbuat kebaikan serta laranglah daripada perbuatan yang mungkar dan sabarlah atas sesuatu (musibah) yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada urusan yang dipastikan (oleh Allah)"

(Luqman ayat 17)


Justeru itu janganlah kita berputus asa lantaran banyaknya halangan dan cabaran yang merintangi dalam usaha untuk melaksanakan ajaran islam dalam diri, keluarga dan masyarakat. Hendaknya kita yakin dengan janji-janji Allah SWT dan sentiasalah bertawakal kepada-Nya dan In shaa Allah kita akan memperolehi pertolongan daripada Allah SWT. Ingatlah! Jika kita mendapat petunjuk dan pertolongan Allah SWT maka tidak ada sesiapapun yang akan dapat menghalang kita daripada menjalankan amanah (dakwah). 

Sahabat. Ketahuilah bahawa Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan kita lebih 1400 tahun dulu dan kitalah kini yang memegang tugas dalam menyampaikan dakwah. Untuk menyampaikan dakwah, bukanlah seseorang itu perlu bergelar uztaz atau ustazah kerana sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :


"Sampaikanlah daripadaku walaupun dengan satu ayat"


Justeru itu serulah (dakwah) kepada manusia lain meskipun diri tidak sempurna. Dan tabahkanlah hati dalam menyampaikan dakwah meskipun ada manusia yang tidak menyukai kerana sesungguhnya orang yang menyeru kepada kebaikan itu akan memperolehi manfaat yang besar.. 


RENUNGKANLAH

No comments:

Post a Comment