Wednesday, February 10, 2021

KISAH RASULULLAH SAW - Siri 17


اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِ مُحَمد


Jawapan Kaum Muslimin


Di saat itu, yang menjadi jurucakap kaum Muslimin adalah sepupu Rasulullah SAW yang amat tampan, Ja'far bin Abu Thalib RA


"Wahai Raja", ucap Ja'far RA dengan penuh hormat. "Ketika itu, kami masyarakat yang bodoh, kami menyembah berhala, bangkai pun kami makan, segala kejahatan kami lakukan, memutuskan hubungan dengan keluarga, dengan jiran tetangga pun kami tidak baik, yang kuat menindas yang lemah. Demikian keadaan kami sampai Tuhan mengutuskan seorang utusan-Nya dari kalangan kami yang sudah kami kenal asal-usulnya. Dia jujur, boleh dipercayai dan bersih pula. Dia mengajak kami menyembah Allah Yang Maha Tunggal, meninggalkan batu-batu dan patung-patung yang selama ini kami dan nenek moyang kami sembah. Dia menasihati kami untuk tidak berdusta, untuk berperilaku jujur, mengadakan hubungan baik dengan keluarga dan jiran tetangga, menamatkan pertumpahan darah serta menghentikan perbuatan terlarang lainnya. Dia melarang kami melakukan segala kejahatan dan menggunakan kata-kata dusta, melarang memakan harta anak yatim dan melarang merosakkan perempuan suci. Dia minta kami menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya. Seterusnya, diarahkan kami melakukan solat dan zakat (lalu Ja'far menyebut beberapa ketentuan Islam)


Kami pun membenarkannya. Kami turut segala yang diperintahkan Allah. Lalu, yang kami sembah hanya Allah Yang Maha Esa, tidak menyekutukan-Nya dengan apa dan siapa pun juga. Segala yang diharamkan kami jauhi dan yang dihalalkan kami lakukan. Oleh kerana itulah, masyarakat kami memusuhi kami, menyiksa kami dan menghasut kami, dan supaya kami meninggalkan agama kami dan kembali menyembah berhala supaya kami membenarkan segala keburukan yang pernah kami lakukan dulu. Oleh kerana mereka memaksa kami, menganiaya kami, menekan kami dan menghalang kami dari agama kami, maka kami pun keluar, pergi ke negeri Raja ini. Raja jugalah yang menjadi pilihan kami. Senang sekali kami berada dekat dengan Raja, dengan harapan, di sini tidak akan ada penganiayaan lagi"


Najasyi mendengar dengan penuh kesabaran, lalu katanya, "Adakah ajaran Tuhan yang dibawanya itu yang dapat kalian bacakan kepada kami?"


Surah Maryam 


"Ya", jawab Ja'far RA. Lalu, dia membaca surat Maryam, ayat 29-33 :


فَأَشَارَتْ إِلَيْهِ ۖ قَالُوا كَيْفَ نُكَلِّمُ مَنْ كَانَ فِي الْمَهْدِ صَبِيًّا


Maka Maryam menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata : "Bagaimana kami akan berbicara dengan anak kecil yang masih di dalam ayunan?" 

Surah Maryam (19:29)


قَالَ إِنِّي عَبْدُ اللَّهِ آتَانِيَ الْكِتَابَ وَجَعَلَنِي نَبِيًّا


Berkata Isa : "Sesungguhnya aku ini hamba Allah, Dia memberiku Al Kitab (Injil) dan Dia menjadikan aku seorang nabi" 

Surah Maryam (19:30)


وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنْتُ وَأَوْصَانِي بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ مَا دُمْتُ حَيًّا


dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana saja aku berada, dan Dia memerintahkan kepadaku (mendirikan) solat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup"

Surah Maryam (19:31)


وَبَرًّا بِوَالِدَتِي وَلَمْ يَجْعَلْنِي جَبَّارًا شَقِيًّا


dan berbakti kepada ibuku, dan Dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong lagi celaka"

Surah Maryam (19:32)


وَالسَّلَامُ عَلَيَّ يَوْمَ وُلِدْتُ وَيَوْمَ أَمُوتُ وَيَوْمَ أُبْعَثُ حَيًّا


Dan kesejahteraan semoga dilimpahkan kepadaku, pada hari aku dilahirkan, pada hari aku meninggal dan pada hari aku dibangkitkan hidup kembali"

Surah Maryam (19:33)


Ayat-ayat Al-Quran itu membenarkan kitab Injil. Semua pemuka istana dibuat terkejut. Mereka berkata, "Itu kata-kata yang keluar dari sumber yang mengeluarkan kata-kata Isa Al Masih"


Penuh haru, Najasyi membenarkan kata para pembesar istananya, "Kata-kata ini dan yang dibawa oleh Musa, keluar dari sumber cahaya yang sama"


Najasyi menoleh kepada kedua utusan Quraisy, "Pergilah. Kami takkan menyerahkan mereka kepada kalian!"


Kaum Muslimin saling berpandangan penuh syukur. Sementara itu, Amr bin Ash dan Abdullah bin Rabi'ah berjalan keluar istana dengan wajah murung


"Tidak boleh begini", keluh Abdullah. "Tidak boleh kita dari jauh datang ke sini kemudian pulang dengan tangan kosong dan terhina"


Amr bin Ash, yang terkenal mahir berfikir sejenak


"Rasanya, aku masih mempunyai cara lain", katanya. "Namun, biar kita kembali esok hari. Biarkan para pengikut Muhammad itu merasa senang. Esok, akan kita kejutkan mereka dengan pertanyaan yang akan kita ajukan kepada Najasyi"

No comments:

Post a Comment