اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِ مُحَمد
Kenangan Akan Khadijah RA
Kenangan akan Khadijah RA tetap hidup di hati Rasulullah SAW sampai Baginda SAW wafat. Rasulullah SAW ingat pernikahan mereka yang penuh berkah. Itulah satu-satunya pernikahan di dunia ini yang dipenuhi berkah syurga dan dunia sekali gus
Saat pernikahan itu, Khadijah RA mengadakan jamuan buat semua orang, mulai dari yang paling kaya sampai yang paling miskin. Bangsa Arab yang masa itu hanya mengenali air putih, dalam pernikahan Rasulullah SAW dan Khadijah RA, dihidangkan minuman segar sari buah dan sirap mawar
Selama beberapa hari, semua orang, baik tua mahu pun muda, makan di rumah Khadijah RA. Kepada orang-orang miskin, Khadijah RA memberikan beberapa keping wang emas dan perak serta pakaian. Kepada para janda, Khadijah RA menyumbangkan keperluan hidup yang belum pernah mereka rasakan sebelumnya
Rasulullah SAW juga terkenang saat setelah menikah, Khadijah RA tidak lagi tertarik pada perdagangan serta keselesaan yang diraihnya. Pernikahan telah menggantikan perhatian Khadijah RA. Beliau telah mendapat Muhammad Al Musthafa SAW sebagai hartanya yang paling berharga di dunia ini. Begitu Khadijah RA menjadi isteri Rasulullah SAW, semua perak, emas dan berlian telah hilang harganya di mata Khadijah RA. Rasullullah SAW menjadi satu-satunya yang Khadijah RA sayangi, perhatikan dan cintai. Beliau mengabdikan diri sepenuhnya pada kehidupan Rasulullah SAW
Saat didampingi Khadijah RA boleh dikatakan merupakan saat yang sangat membahagiakan Rasulullah SAW. Dari rahim Khadijah RA lah lahir dua orang putera dan empat orang puteri Rasulullah SAW, termasuk puteri terkecil mereka Fatimah Az Zahra RA, yang menjadi cahaya mata ayahnya
Tidak ada lelaki lain yang sepadan untuk mendampingi Khadijah RA selain Rasulullah SAW. Begitu serasinya mereka sampai ada ahli sejarah yang meramalkan bahawa seandainya Khadijah RA tidak bertemu Rasulullah SAW dalam hidupnya, kemungkinan besar Khadijah RA tidak akan bernikah sampai akhir hidupnya, kerana bukanlah kekayaan, ketampanan dan keturunan yang menarik hati Khadijah RA, melainkan keluhuran budi yang mampu meluluhkan hatinya. Itulah yang ada dalam diri Rasulullah SAW
Rumah Di Syurga
Dalam Shahih Al Bukhari, Abu Hurairah RA berkata, Jibril AS mendatangi rumah Rasulullah SAW seraya berkata, "Wahai Rasulullah, inilah yang datang Khadijah sambil membawa bekas yang di dalamnya ada lauk atau makanan atau minuman. Jika dia datang, sampaikan salam padanya dari Rabb-nya dan sampaikan khabar kepadanya tentang sebuah rumah di Syurga yang di dalamnya tidak ada hiruk-pikuk dan keletihan"
Khadijah RA Wanita Sempurna
Sebelum kedatangan Islam, Khadijah RA digelar Ratu Mekah. Namun, ketika cahaya Islam terbit, Allah SWT memberi beliau kedudukan sebagai ibu kaum beriman (ummul mukminin). Saat itu, sebahagian kaum muslimin adalah orang-orang miskin. Mereka tidak dapat mencari nafkah kerana orang-orang kafirlah yang menguasai perdagangan. Orang-orang itu tidak memberikan kesempatan bagi kaum muslimin untuk bekerja. Pada saat itu, kaum muslimin dapat terhindar dari kelaparan berkat bantuan Khadijah RA
Khadijah RA juga memberi mereka tempat tinggal. Khadijah RA menggunakan begitu banyak wangnya untuk orang-orang muslim di Mekah yang miskin akibat boikot orang-orang musyrik. Pertolongan Khadijah RA telah mematahkan tujuan orang-orang musyrik untuk menarik para pengikut Rasulullah SAW yang miskin pada kekafiran lagi
Khadijah RA tidak pernah menyimpan sampai wang terakhir yang dimilikinya demi kesejahteraan para pemeluk Islam. Cinta Khadijah RA kepada mereka tidak berbeza dengan cinta ibu kepada anaknya. Kalian tahu, seorang ibu rela mengorbankan nyawanya sendiri demi keselamatan anak-anaknya. Seorang ibu boleh merasakan lapar, namun jika anak-anaknya kelaparan, dia akan mengutamakan anak-anaknya terlebih dahulu. Dia akan memberikan makanannya untuk anak-anaknya dan rela menahan lapar. Bahkan jika anak-anaknya merasa kenyang dan senang, itu sudah cukup membuatkan seorang ibu juga merasa senang dan kenyang sehingga dia lupa rasa lapar yang dideritainya sendiri. Cinta seorang ibu tidak mengenal syarat. Cinta seorang ibu penuh perlindungan dan penuh kasih sayang
Dengan keluhuran budi isterinya yang begitu agung sangat wajar jika Rasulullah SAW merasa amat berduka ketika Khadijah RA wafat
Rasulullah SAW Amat Mencintai Khadijah RA
Begitu besarnya cinta Rasulullah SAW kepada Khadijah RA sampai Baginda SAW bersabda, "Demi Allah! Allah tidak menggantikan Khadijah dengan seorang yang lebih baik. Dia telah beriman kepada-Ku pada saat orang-orang mengingkari risalah-Ku. Dia percaya kepada-Ku pada saat orang-orang nendustai-Ku. Dia telah mengorbankan hartanya padahal orang lain tidak mahu melakukannya dan Allah telah melimpahkan kurnia bagi-Ku anak-anak melalui Khadijah"
Setelah Abu Thalib Tiada
Ketika ibunya wafat, Fatimah Az Zahra RA baru berusia tiga tahun. Anak perempuan yang matanya masih basah kerana baru kehilangan ibunya itu kini melihat ayahnya dihina orang. Para jiran mereka seperti Hakam bin Ash, Uqbah bin Abu Muith, Adi bin Hamra dan Abu Lahab sering melempar batu ketika ayahnya sedang solat. Bahkan bukan batu saja, tetapi juga najis kambing. Najis kambing itu pernah mereka lemparkan ke dalam masakan Rasulullah SAW yang sudah disajikan
Kejadian paling ringan yang pernah menimpa Rasulullah SAW adalah ketika seorang Quraisy menahannya di jalanan dan secara tiba-tiba menyiramkan tanah ke atas kepala Baginda SAW. Rasulullah SAW tidak membalas hinaan itu. Baginda SAW pulang ke rumah dengan kepala yang penuh tanah
Di rumah, Fatimah RA membersihkan kepala ayahnya sambil menangis
Tidak ada yang lebih pilu rasanya hati seorang ayah dibanding mendengar tangisan anaknya. Apalagi yang menangis ini adalah anak perempuan yang baru saja ditinggalkan ibunya. Hampir kaku rasanya Rasulullah SAW kerana begitu pilu, bahkan Baginda SAW hampir saja ikut menangis
Muhammad SAW adalah ayah yang bijaksana dan penuh kasih sayang pada puteri-puterinya. Tak ada lagi yang Baginda SAW lakukan tika menghadapi tangisan pilu puterinya selain memohon pertolongan kepada Allah SWT dengan keimanan sepenuh hati
"Jangan menangis, puteri-Ku ," Begitu yang Rasulullah SAW bisikkan kepada Fatimah RA sambil mengesat air matanya, "Sesungguhnya Allah akan melindungi ayahmu"
Rasulullah SAW kemudian berkata, "Sebelum wafat Abu Thalib, orang-orang Quraisy itu tidak seberapa menggangguku"
Apa yang akan Baginda SAW lakukan untuk melepaskan diri dari tekanan Quraisy yang semakin menjadi-jadi?
No comments:
Post a Comment