Apabila ada orang tanya samada takutkan Allah SWT atau takutkan COVID19 sebab nampak macam kita lebih takutkan COVID19 sampai PKP dan sebagainya, maka jawablah dengan yakin bahawa KITA ORANG ISLAM DAN KITA TAKUTKAN ALLAH SWT dan sebab kita takutkan Allah SWT maka kita patuh pada perintah-Nya
Di antara perintah-Nya adalah;
1. Mensyukuri nikmat nyawa, tubuh badan dan kesihatan;
2. Memelihara kesihatan, nyawa dan hal mudarat;
3. Taat kepada perintah-Nya dan ajaran Rasul iaitu menyuruh kita untuk mengelak dari wabak;
Maka, jika benar takut Allah SWT semua langkah untuk mengelakkan diri dari terkena jangkitan perlu diambil.
Beritahu juga;
Takut kepada Allah SWT memerlukan kewarasan akal, bukan dengan membutakan mata hati atau membekukan otak yang dikurniakan tuhan.
Ada yang berkata begini, “Kenapa nak takut, Virus itu juga makhluk Tuhan?”
Beginilah :-
Pergilah berenang di sungai penuh buaya, redha kerana buaya juga makhluk Tuhan;
Pergi ke lautan penuh dengan jerung, redha kerana jerung juga makhluk Tuhan;
Pergi masuk hutan penuh dengan ular, redha kerana ular ialah makhluk Tuhan;
Pergi lah ke zoo, masuk kandang singa, jangan takut dan redha, singa juga makhluk Tuhan.
Firman Allah SWT (bermaksud):
”Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.”
(Surah Al-Baqarah, ayat 195).
Firman-Nya juga (bermaksud):
”Jangan kamu bunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sangat kasih kepada kamu.”
(Surah al-Nisa, ayat 29).
Dalam erti kata lain, menyelamatkan diri dari kemusnahan adalah tuntutan Islam.
Dilarang menghampiri sebab-sebab yang membawa kemusnahan diri. Nabi Muhammad SAW ketika berbicara tentang Taun menyebut (bermaksud):
"Jika kamu mendengar Taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini mengajar tentang tindakan kuarantin agar penyakit atau wabak tidak tersebar. Hadis ini pernah dibaca oleh ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf RA kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA ketika beliau bercadang pergi ke Syam semasa wabak Taun sedang merebak di sana pada zaman pemerintahnya. Mendengar hadis ini. .Amirul Mukminin ‘Umar al-Khattab RA membatalkan hasratnya.
(lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/5, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Jika terkena juga penyakit, Islam menyuruh pula penganutnya untuk berubat. Sabda Nabi Muhammad SAW:
"Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.”
(Riwayat Muslim).
Kata Al-Imam Nawawi (meninggal 676H): “Hadis ini memberi isyarat disunatkan mengubat penyakit. Inilah mazhab ashab kita (aliran mazhab al-Syafie), kebanyakan Salaf dan keseluruhan Khalaf. Kata al-Qadi ‘Iyadh: Dalam hadis-hadis ini terkandung beberapa ilmu-ilmu agama dan dunia; benarnya ilmu perubatan, diharuskan berubat secara keseluruhannya. Hadis-hadis ini juga menolak golongan sufi yang melampau yang membantah berubat dan berkata: “Kesemuanya dengan qada dan qadar Allah SWT, tidak memerlukan kita berubat”.
Semoga ada manfaat buat kita semua. Aamiinnn
No comments:
Post a Comment