اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِ مُحَمد
Ke Habsyah
Gangguan terhadap kaum muslimin semakin berat dari hari ke hari. Bahkan, beberapa orang gugur kerana disiksa terlalu berat. Berdasarkan wahyu dari Allah SWT, Rasulullah SAW pun memerintahkan agar mereka berhijrah
"Wahai Rasulullah, kemana kami akan pergi?"
Rasulullah SAW menasihati agar mereka pergi ke Habsyah yang rakyatnya menganut agama Kristian
"Tempat itu diperintah oleh seorang raja dan tidak ada orang yang dianiaya di situ. Itu bumi yang jujur, sampai nanti Allah SWT membukakan jalan buat kita semua", demikian sabda Rasulullah SAW
Mematuhi perintah Rasulullah SAW, berangkatlah rombongan pertama kaum Muslimin ke Habsyah pada bulan Rajab, tahun ke lima kenabian. Rombongan itu terdiri 12 orang lelaki dan 4 perempuan. Dengan sembunyi-sembunyi, mereka meninggalkan Mekah, menyeberangi laut ke benua Afrika dan tiba di pantai Habsyah. Seperti yang dikatakan Rasulullah SAW, Najasyi, Raja Habsyah itu, memberi mereka perlindungan dan tempat yang baik
Kelak, ketika mendengar bahawa orang Quraisy tidak lagi menyiksa kaum muslimin, mereka kembali pulang. Namun, ternyata berita itu tidak benar. Di Mekah, keadaan semakin buruk bagi kaum muslimin. Mereka pun berangkat kembali ke Habsyah, kali ini dengan jumlah rombongan yang lebih besar, terdiri dari 83 orang lelaki dan 18 wanita dipimpin oleh Ja'far bin Abu Thalib RA
Habsyah
Saat itu Habsyah adalah negara yang meliputi bahagian selatan Mesir, Erytrea, Ethiopia, dan Sudan. Habsyah ertinya 'persekutuan'. Dahulu Habsyah bersekutu dengan kerajaan Saba atau Himyar. Kaum muslimin berangkat dari Teluk Syu'aibah, sebelah selatan Jeddah
Amarah Umar
Umar bin Khattab RA duduk termenung di rumahnya. Di seluruh Mekah, tidak ada seorang pun yang mampu melunakkan hati Umar RA. Dia begitu cepat naik darah dan garang. Dia tidak pernah luluh oleh rayuan gadis-gadis penghibur setiap kali dia mendatangi para penjual khamr. Dia tidak pula pernah terpujuk ikut bergabung dengan para pejalan malam yang suka berhibur di sekitar rumah sambil mendengarkan para pemain rebana
Segalanya tidak mampu melembutkan kekerasan hatinya yang suka bertindak garang dan menakutkan. Namun kini, dia tengah duduk termenung sendiri
"Hamzah, apa yang terjadi padamu? Engkau menaklukkan dan memalukan Abu Jahal, rakanmu sendiri! Apa yang membuatmu jadi seperti ini? Bahkan, engkau berani meninggalkan agama nenek moyang kita dan bergabung dengan Muhammad! Ini jelas akan membuat pengikut agama baru ini jadi sombong dan besar kepala! Hamzah, bukankah engkau, Abu Jahal, Khalid bin Walid dan aku telah bersama membuat Quraisy jadi suku paling disegani? Semua itu berkat kerja keras kita berempat. Suku-suku yang lain iri hati kepada Quraisy kerana Quraisy memiliki kita. Ini semua gara-gara Muhammad! Hamzah tidak lagi mahu minum bersamaku. Betapa sepinya malam tanpa Hamzah!"
"Muhammad, engkau membuat pening kepala orang-orang miskin, para hamba, buruh kasar dan para perempuan lemah! Engkau membuat mereka berani menentang para majikan! Apa yang engkau sampaikan pasti sebuah sihir. Muhammad, tergamakkah engkau melihat para pengikutmu pergi meninggalkan tanah airnya ke Habsyah yang begitu jauh? Ini benar-benar keterlaluan! Aku harus membunuh Muhammad sekarang juga! Meski aku harus berhadapan dengan Hamzah, aku akan membunuhmu dan membuat Mekah kembali seperti dulu!"
Setelah berfikir begitu, Umar bin Khattab RA mencabut pedangnya. Amarahnya dengan cepat naik ke ubun-ubun. Dengan langkah-langkah yang tidak dapat di sekat lagi, Umar RA berjalan cepat menuju Darul Arqam. Matanya mengandungi api dan pedangnya membara! Tidak seorang pun dapat menghalangi Umar RA jika dia sudah bertekad dengan sunguh-sunguh!
Duka Umar RA
Ummu Abdillah RA adalah seorang perempuan tua. Dia juga jiran Umar bin Khattab RA. Setelah dia sekeluarga memeluk Islam, Umar RA suka mengganggunya. Padahal sebelum itu, Umar RA cukup hormat dan bahkan menyayanginya. Saat itu, Ummu Abdillah RA tengah mengemas barang-barang untuk dibawa hijrah ke Habsyah. Tiba-tiba, hatinya berdebar. Dia melihat Umar bin Khattab RA melangkah dengan pedang terhunus! Kerana tidak ada waktu lagi untuk lari ke dalam rumah, Ummu Abdillah RA bersembunyi di balik barang-barangnya. Hatinya berdebar tidak keruan. Tanpa sedar, dia menahan nafas ketika Umar RA semakin dekat
Akan tetapi, Umar RA melihatnya dan berhenti
"Jadi engkau benar benar akan berangkat, wahai Ummu Abdillah?"
Ummu Abdillah RA keluar dari tempat persembunyiannya. Dia hairan kerana suara Umar RA tidak terdengar marah seperti biasanya
"Ya, demi Allah. Engkau telah menyakitiku dan menindasku. Aku akan benar-benar pergi ke bumi Allah hingga Allah memberikan jalan keluar bagiku", sahut Ummu Abdillah RA
Umar RA termenung. "Ini dia jiranku, mereka akan pergi juga meninggalkan Mekah"
Umar RA berpaling, menatap wajah tua Ummu Abdillah RA dan berkata dalam hati, "Begitu jauh jalan yang akan ditempuh orang tua ini, begitu sedikit barang yang boleh dibawanya"
Akhirnya Umar RA melangkah pergi sambil berkata, "Semoga Allah sentiasa menyertaimu"
Ummu Abdillah RA terpana. Belum pernah Umar RA berlaku selembut ini sejak mereka memeluk Islam
"Tidakkah engkau melihat kelemah lembutan dan kedukaan Umar terhadap kita?", tanya Ummu Abdillah RA kepada puteranya
"Apakah Ibu berharap dia akan memeluk Islam?", tanya puteranya. "Dia tidak akan pernah memeluk Islam sebelum keldai bapaknya juga masuk Islam!"
No comments:
Post a Comment