SUNGGUH LICIK BISIKAN SYAITAN
Dalam ayat yang terakhir Surah an-Naas, Allah SWT beritahu bahawa makhluk yang selalu membisikkan kejahatan dalam hati manusia ada dua jenis makhluk.
Pertama, jin. Kedua, manusia.
Adapun syaitan bukan makhluk, syaitan hanyalah sifat. Perkataan syaitan daripada perkataan ‘syatuna’ bermaksud ‘ba’uda – dia telah jauh.’
Jauh daripada apa? Jauh daripada rahmat Allah SWT
Jadi perkataan ‘syaithan’ maksudnya ialah jauh daripada rahmat Allah SWT. Boleh? Jadi syaitan bukan makhluk, tapi sifat.
Bila syaitan adalah sifat, jin boleh atau tidak menjadi syaitan? Boleh.
Bila? Ketika dia jauh daripada rahmat Allah SWT ataupun ketika dia buat maksiat. Manusia boleh atau tidak menjadi syaitan? Boleh.
Kedua-dua makhluk ini, mereka bisik di mana? Di hati.
Kenapa Allah SWT sebut mesti di hati? Sebab Allah SWT mahu gambarkan, bisikan di hatilah yang paling susuh kita mahu elak. Sebab itulah kita tidak perasan.
Kalau bisik di telinga, perasan atau tidak?
Contoh, “Jom pergi buat maksiat.” Kita perasan atau tidak? Kalau kita perasan, terus kita bagi penampar sahaja. Tapi sekarang ini, bisikan dalam hati, kita tidak perasan.
Cara dia bisik pula bagaimana? Dia tidak kata, “Jom buat maksiat.”
Tetapi, dia akan kata, “Tidur dulu atau berehat dulu walaupun dah nak masuk waktu. Sebab solat dalam keadaan mengantuk tak khusyuk.”
Kemudian kita kata, “Tak boleh, kena solat ikut waktu.”
Syaitan bisik lagi, “Kalau kamu solat awal dalam keadaan mengantuk, Allah tak terima solat kamu. Rehat dulu dan bertenang. Bila bangun daripada tidur, dah segar. Barulah solat.”
Nampak?
Tengok-tengok, kita tidur sampai habis waktu. Ataupun bangun-bangun, sikit sahaja lagi mahu habis waktu. Masa itu, kita kelam kabut. Lagilah tidak khusyuk.
Contoh lain, ketika mahu membeli barang.
Mula-mula kita kata mahu beli satu barang sahaja. Kemudian, ketika beli barang, syaitan pun bisik kepada kita.
“Kalau kamu tak beli sekarang, besok kena datang lagi.” Kita pun beli. Tengok-tengok kita beli dua, tapi tidak guna pun barang tersebut.
Biasa atau tidak kita alami situasi itu?
Kadang-kadang bila ada tawaran. Kita pun beli. Barang ini aku tidak perlu. Tetapi, syaitan pun bisik, “Masa nilah kamu kena beli, sebab jimat. Ada tawaran! Tak tahu, bila ada tawaran lagi lepas ini.”
Maka kita pun beli.
Tengok-tengok, kita tidak pakai pun. Betul?
Contoh lain, kadang-kadang kita buka WhatsApp. Tiba-tiba dengar azan. Kita pun tutup WhatsApp sebab mahu solat awal waktu.
Syaitan pun bisik, “Kalau kau tak jawab sekarang, nanti lupa.” Kita pun jawab. Lepas jawab, keluar lagi soalan yang kedua. Akhir sekali, kita tidak sempat Solat Sunat Qabliah.
"Nampak okey, sebab kamu kan solat fardhu. Orang lain tu, solat fardhu pun tak.”
Waktu lain, kita terlepas pula takbiratul ihram.
Rugi besar atau tidak? Rugi besar! Bila syaitan perasan kita rasa rugi, syaitan pun bisik, “Okeylah tu, bukan selalu pun. Orang lain lagilah, langsung tak datang masjid. Tengok jiran sebelah, pergi je rakaat terakhir. Kamu dah pergi, kira okeylah.”
Kita pun rasa lega. Betul atau tidak?
Lepas solat pula, kita mahu zikir. Kemudian, dengar telefon bunyi terima mesej. Kita kata dalam hati, “Eh jangan bukalah, lepas ni kan nak solat sunat.”
Syaitan pun bisik, “Bukalah ... takut ada urusan penting kan.”
Tengok-tengok bila buka, kita pun berbalas-balas mesej sehinggalah terbatal wuduk. Tidak dapat Solat Sunat Ba’diyah.
Oh cukup licik.
Inilah yang Allah SWT kata bahawa perkara yang paling bahaya atau paling jahat, bukan perompak, bukan peragut, bukan kemiskinan.
Tetapi Allah SWT kata, مِن شَرِّ ٱلْوَسْوَاسِ ٱلْخَنَّاسِ - dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam.
Syaitan tidak akan suruh kita buat maksiat secara ‘direct.’ Tetapi dia hiaskan perkara yang lagha atau sia-sia menjadi kelihatan cantik.
No comments:
Post a Comment