Ramadhan al-Mubarak bakal tiba tidak lama lagi. Bagaimanakah dirimu membuat persediaan untuk bertemu dengan tetamu yang sangat ditunggu-tunggu ini?
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah SWT,
Berikut adalah beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk menyambut kedatangan Ramadhan al-Mubarak :
1) BERTAUBATLAH kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh di atas dosa dan maksiat yang pernah dilakukan sepanjang hidupmu.
2) BERDOALAH agar Allah SWT rezekikan kepadamu agar dapat hidup pada bulan Ramadhan nanti dan dirimu dikurniakan kesihatan serta ditaufiqkan untuk beribadah kepada Allah 'Azza Wajalla dengan sebaik-baiknya.
3) RANCANGLAH program dan aktiviti ibadah untuk memanfaatkan peluang menambah pahala sepanjang bulan Ramadhan.
4) HENTIKANLAH segala bentuk perbalahan dan permusuhan dengan sesiapa sahaja serta kuatkanlah jiwamu untuk memaafkan insan-insan yang pernah menyakitimu.
5) PERBANYAKKANLAH amalan-amalan sunat dan ketaatan kepada Allah SWT seperti puasa sunat, berqiyamullail, membaca al-Quran, berzikir, bersedekah dan sebagainya.
6) LANGSAIKANLAH HUTANG PUASA dan fidyah Ramadhan yang lalu.
7) PERSIAPKANLAH DIRIMU DENGAN ILMU tentang hukum hakam dan kelebihan bulan Ramadhan serta amalan-amalan lain di dalamnya.
8 ) PERINGATKANLAH dirimu sendiri, ahli keluargamu dan insan-insan di sekelilingmu tentang ketibaan bulan Ramadhan agar sama-sama berusaha mempersiapkan diri sebaik mungkin untuk bertemu dengannya.
9) BELI dan BACALAH buku-buku yang berkaitan dengan hukum hakam ibadah puasa dan kelebihan bulan Ramadhan untuk ditelaah serta boleh dihadiahkan juga kepada masjid, surau dan rakan-rakan.
10) HADIRKANLAH RASA GEMBIRA DAN SERONOK dengan kedatangan Ramadhan al-Mubarak serta iringkanlah kegembiraan itu dengan persiapan yang sewajarnya.
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah SWT,
Mudah-mudahan, niat yang benar dan kesungguhan yang jitu untuk bertemu dengan Ramadhan al-Mubarak akan dikurniakan ganjaran di sisi Allah Taala serta mendapat taufiq daripada-Nya untuk melaksanakan ibadah yang terbaik apabila tiba waktunya nanti.
"Ya Allah, taufiqkanlah kami agar benar-benar ikhlas untuk mempersiapkan diri sebaik mungkin sebelum tibanya bulan Ramadhan yang mulia."
الفقير إلى رحمة الله و مغفرته،
أبو عمار مدني،
عفا الله عنه وعن والديه وعن جميع المسلمين.
Paduka Ayahanda Merong
Pelabuhan Klang, Selangor.
Ahad, 7 Sya'ban 1442H - 21 Mac 2021
No comments:
Post a Comment