اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِ مُحَمد
Bertani Dan Berdagang
Pada awal kehidupan mereka di Madinah, kaum Muhajirin benar-benar mengalami masa yang sukar. Sampai suatu hari, pernah pakcik Rasulullah SAW, Hamzah bin Abdul Muthalib RA, datang kepada Baginda SAW dengan perut yang lapar sambil bertanya kalau-kalau Rasulullah SAW mempunyai sesuatu untuk dimakan
Berdagang adalah salah satu pekerjaan yang banyak dikuasai kaum Muhajirin. Abdurrahman bin Auf RA yang sudah bersaudara dengan Sa'ad bin Rabi RA pernah ditawarkan Sa'ad RA separuh dari hartanya. Namun, Abdurrahman RA menolak pemberian itu. Dia hanya minta ditunjukkan jalan ke pasar
Di sana, mulailah Abdurrahman RA berdagang mentega dan keju. Dalam waktu tidak terlalu lama, berkat kepandaiannya berdagang, Abdurrahman bin Auf RA berjaya meraih kekayaannya kembali. Dapat pula dia menikahi dan memberikan mas kawin kepada seorang muslimah dari Madinah. Sesudah itu, Abdurrahman bin Auf RA pun memiliki kafilah-kafilah yang pulang dan pergi membawa barang dagangan. Selain Abdurrahman RA, banyak pula kaum Muhajirin yang melakukan pekerjaan serupa. Begitu pandainya penduduk Mekah berdagang sampai ada yang mengatakan dengan perdagangan, orang Mekah dapat mengubah pasir menjadi emas
Sementara itu, kaum Muhajirin yang lain, seperti Abu Dzar EA, Umar RA dan Ali bin Abu Thalib RA memilih pekerjaan sebagai petani. Keluarga-keluarga mereka menggerjakan tanah milik orang-orang Anshar bersama pemiliknya. Selain mereka, ada pula kaum Muhajirin yang tetap mengalami kepayahan hidup. Sungguh pun begitu, mereka tidak mahu menjadi beban orang lain. Mereka membanting tulang melakukan pekerjaan apa pun yang halal
Ada lagi segolongan orang Arab yang datang ke Madinah dan menyatakan masuk Islam. Namun, keadaan mereka amat miskin dan serba kekurangan sampai ada yang tidak mempunyai tempat tinggal. Rasulullah SAW menyediakan tempat tinggal untuk mereka di selasar masjid yang di sebut shuffah. Mereka yang tinggal di tempat itu disebut ahli Shuffah. Perbelanjaan mereka diberikan oleh kaum muslimin yang berkemampuan, baik dari kaum Muhajirin mahu pun dari kaum Anshar
Di Madinah kaum muslimin sudah menunaikan solat lima waktu. Namun, dengan jumlah yang semakin ramai, agak susah semua orang untuk mengetahui bahawa waktu solat telah tiba
Riwayat Azan
"Kita gunakan saja bendera, ya Rasulullah", usul seorang sahabat
"Bendera tidak membangunkan orang tidur, gunakan saja terompet", usul yang lain
"Terompet mungkin terlalu bising, bagaimana dengan loceng?", cadang seseorang
"Mungkin tidak perlu semua itu, cukuplah menyuruh seseorang berseru, 'Ash Sholah!", usul sahabat yang lain
Rasulullah SAW pun menyetujui usul terakhir ini. Lalu Baginda SAW bersabda, "Ya Bilal, bangunlah dan panggillah orang dengan 'Ash Sholah!"
Maka, apabila waktu solat tiba, Bilal RA pun mengajak,"Ash shlatu jami'ah!"
"Solatlah berjamaah !"
"Solatlah berjamaah !"
Sampai suatu malam, Abdullah bin Zaid RA yang berada dalam keadaan setengah tertidur melihat seorang lelaki membawa lampu
Abdullah ingin membelinya untuk memanggil solat. Orang itu berkata, "Akan ku tunjukkan yang lebih baik daripada itu
Berserulah Allahu Akbar !
Allahu Akbar !
Asyhadu allaa ilaaha illallah !
Asyhadu allaa ilaaha illallah !
Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah !
Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah !
Hayya 'alassholah !
Hayya 'alassholah !
Hayya 'alal falah !
Hayya 'alal falah !
Allahu Akbar !
Allahu Akbar !
Laa ilaaha illallah !"
Kemudian, orang tersebut berdiri di tempat yang agak jauh dan mengajarkan bacaan iqamat. Keesokan harinya, Abdullah bin Zaid RA mengkhabarkan mimpinya kepada Rasulullah SAW. Dengan wajah berseri, Rasulullah SAW bersabda, "Itu mimpi yang benar, Insya Allah. Pergilah engkau menemui Bilal kerana Bilal itu suaranya lebih tinggi dan lebih panjang. Ajarkanlah Bilal segala apa yang diucapkan orang dalam mimpimu itu. Hendaklah Bilal memanggil orang solat dengan cara demikian itu !"
Bilal RA pun kemudian mengumandangkan azan dan iqamat seperti yang diajarkan Abdullah bin Zaid RA kepadanya. Mendengar Bilal RA, Umar bin Khattab RA datang tergopoh-gapah menemui Rasulullah SAW sambil berkata, "Ya Rasulullah! Demi Zat yang telah mengutus Engkau dengan benar, sungguh semalam aku telah bermimpi bertemu seseorang dan berseru sebagaimana yang diucapkan Bilal"
Rasulullah SAW pun bersabda, "Segala puji bagi Allah, demikian itulah yang lebih tetap"
Seorang Lelaki Penduduk Syurga
Semakin lama, Bilal RA semakin dekat di hati Rasulullah SAW, yang kemudian menyatakan Bilal RA sebagai seorang lelaki penduduk syurga
Akan tetapi, sikap Bilal RA tidak berubah
Dia tetap seorang yang mulia, besar hati dan selalu memandang dirinya tidak lebih dari seorang Habsyah yang pernah menjadi hamba belian
Perjanjian Dengan Kaum Yahudi
Sejak dari dulu Madinah bukan hanya dihuni oleh orang-orang Arab saja, melainkan juga kaum Yahudi. Ada tiga keluarga besar Yahudi yang menetap di Madinah. Bani Quraizhah, Bani Nadhir dan Bani Qainuqa. Orang-orang Arab yang tinggal di Madinah dari suku Aus dan suku Khazraj pernah saling bermusuhan selama puluhan tahun. Setiap suku dipengaruhi oleh orang-orang Yahudi. Namun, ketika Islam datang mempersaudarakan mereka, lenyaplah rasa permusuhan itu untuk selamanya. Sejak saat itu, kaum Yahudi kehilangan pengaruh mereka atas orang Arab di Madinah
Semakin hari, semakin gemilang dan majulah kaum muslimin. Hal itu tidak dapat diterima dengan rela oleh kaum Yahudi. Mereka pun menubuhkan persatuan sendiri untuk menghalang kemajuan Islam. Melihat gelagat tidak baik ini, Rasulullah SAW pun mengirim surat perjanjian kepada orang Yahudi
Isinya kurang lebih sebagai berikut :
1. Janganlah kaum Yahudi dan Muslimin saling mendengki
2. Janganlah kaum Yahudi dan Muslimin saling membenci
3. Hendaklah kaum Yahudi dan Muslimin hidup bersama satu bangsa
4. Hendaklah kaum Yahudi dan Muslimin mengerjakan ajarannya masing-masing dan tidak mengganggu
5. Jika kaum Yahudi diserang musuh dari luar, Muslimin wajib membantunya
6. Jika kaum Muslimin yang diserang, Yahudi wajib datang membantu
7. Jika Kota Madinah di serang dari luar, kaum Yahudi dan Muslimin harus mempertahankannya bersama-sama
Pada bahagian akhir perjanjian disepakati bahawa apabila timbul perselisihan antara kedua belah pihak, Rasulullah SAW akan menjadi hakimnya. Demikian dalam perjanjian ini tercantum kebebasan beragama, keselamatan harta benda dan kebebasan mengutarakan pendapat. Kota Madinah dan sekitarnya menjadi tempat yang terhormat bagi seluruh penduduk kerana penghuninya saling hormat menghormati dan saling membela. Perjanjian ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW adalah pemimpin yang sangat cerdas. Perjanjian ini belum pernah dilakukan oleh rasul-rasul yang terdahulu
Suka Menipu Berkhianat
Perjanjian antara kaum Muslimin dan Yahudi ini kemudiannya dirosakkan oleh tabiat kaum Yahudi yang suka menipu dan berkhianat. Makanya kaum Yahudi tidak senang dengan isi perjanjian yang telah disepakati tersebut, lalu mereka melanggarnya dengan berbagai penipuan dan pengkhianatan
No comments:
Post a Comment