Tuesday, March 9, 2021

KISAH RASULULLAH SAW - Siri 35

 

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِ مُحَمد


Memburu Rasulullah SAW


Di Mekah, musyrikin Quraisy nampak kelam kabut. Para pembesar berkumpul. Dengan segera, pasukan berkuda diarahkan bergerak ke beberapa perkampungan di sekitar Mekah, untuk mencari Rasulullah SAW


"Mengapa Muhammad dapat melepaskan diri? Bukankah kita telah mengepung sampai tidak seekor ular gurun pun dapat lepas?", teriak seorang pembesar 


Semua orang terdiam. Mereka berusaha mencari jawapannya. Namun, tidak seorang pun dapat menjelaskan apa yang terjadi 


"Sudahlah, itu tidak penting!", akhirnya seseorang berkata 


"Yang paling penting sekarang ini adalah menangkap Muhammad secepat mungkin! Ada sesiapa yang punya cadangan?"


"Panggil pencari jejak yang paling handal! Suruh dia menjejaki Muhammad!"


Cadangan itu segera dijalankan. Pencari jejak yang amat handal itu mengikuti jejak yang ditinggalkan Rasulullah SAW. Pasukan bersenjata lengkap mengikuti di belakangnya dengan wajah tidak sabar. Sebahagian besar dari mereka adalah para pemuda yang semalam ditugaskan untuk mengepong Rasulullah SAW


Setelah mengesan dengan teliti, pencari jejak itu menarik nafas sambil menggelengkan kepala, "Jejaknya sudah hilang terpadam kerana orang yang lalu lalang pagi tadi!"


"Susah macam ni!", kata seseorang. "Apa kau ada cadangan lain, pencari jejak?"


"Siapa sahabatnya? Kita boleh bertanya kepada sahabat Muhammad yang paling dekat!"


Orang Quraisy saling memandang antara satu sama lain dan berkata, "Abu Bakar!"


Dipimpin Abu Jahal, pasukan pencari itu tiba di rumah Abu Bakar RA. Asma binti Abu Bakar RA lah yang keluar membukakan pintu 


"Di mana ayahmu?", bentak Abu Jahal 


"Dia pergi dan aku tidak tahu ke mana perginya", jawab Asma RA dengan berani 


"Jangan menipu! Katakan ke mana perginya?"


"Aku tidak tahu! Di rumah hanya ada ibu dan adikku"


"Ah!", sambil bersungut, Abu Jahal menampar wajah Asma RA dengan kuat


Sarang Labah-Labah


Ketika mereka keluar kota dan menjejaki beberapa jalan, si pencari jejak menemukan jejak yang mencurigakan. Kemudian, satu kelompok pasukan berkuda mengikuti jejak itu sampai tiba di kaki Gunung Tsur. Namun, di situ jejak terputus. Mereka kebingungan


"Ke mana arah kita? Ke kanan atau ke kiri?", tanya ketua pasukan. "Apakah Muhammad masuk ke dalam gua itu atau terus mendaki ke puncak?"


"Aku tidak tahu", geleng si pencari jejak 


Lalulah seorang gembala dan mereka menanyainya


"Mungkin saja mereka ke dalam gua itu", jawab si gembala. "Tapi aku tidak melihat ada orang yang menuju ke sana"


Di dalam gua, keringat dingin Abu Bakar RA bercucuran keluar, ketika mendengar perbualan mereka. "Bagaimana kalau mereka masuk ke dalam gua ini? Bukanlah keselamatanku yang aku khuatirkan, melainkan keselamatan Rasulullah!", kata Abu Bakar RA dalam hati 


Beberapa pemuda naik dan berkumpul di mulut gua. Jantung Abu Bakar RA hampir terhenti. Dia berbisik, "Ya Rasulullah, kalau ada yang menengok ke bawah, pasti kita akan terlihat"


Rasulullah SAW menjawab dengan penuh keyakinan, "Jangan takut Abu Bakar, sesungguhnya Allah bersama kita"


Para pemuda itu turun, kembali ke pasukannya


"Mengapa kamu tidak masuk ke dalam gua?", tanya ketua mereka


"Gua itu tertutup dengan sarang labah-labah! Tidak mungkin Muhammad masuk ke dalam tanpa merosakkannya!"


"Lagi pun ada dua ekor merpati hutan yang bersarang tepat di mulut gua!", Kata yang lain. "Jika Muhammad masuk ke dalam, sarang itu juga pasti akan rosak"


Ketua pasukan mengalihkan mukanya ke arah lain sambil menghela nafas, "Baiklah, naik kudamu! Kita cari ke arah lain!". Mereka pun beredar dari situ


Sarang labah-labah dan burung merpati yang menutupi gua itu adalah pertolongan yang diberikan Allah SWT. Padahal sebelum Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA masuk, tidak ada labah-labah dan burung merpati yang bersarang. Selain labah-labah dan burung merpati, di mulut gua juga ada sebatang pohon yang menghalang sebahagian jalan masuk. Di dalam, Abu Bakar RA menarik nafas lega. Keimanannya kepada Allah SWT dan Rasul-Nya semakin bertambah kuat 


Perjuangan Anak Muda


Abdullah bin Abu Bakar RA dan adiknya, Asma binti Abu Bakar RA, masih muda ketika mereka membantu hijrah Rasulullah SAW dan ayah mereka. Abdullah RA bertugas mencari berita di tengah kaum Quraisy, sedangkan Asma RA mengirimkan makanan ke gua. Itulah ciri khas para pemuda muslim sepanjang zaman. Mereka tidak hanya tekun beribadah, tetapi juga mengerahkan seluruh kesanggupanya untuk berjuang


Mententeramkan Datuk 


Abu Quhafah adalah ayah Abu Bakar RA. Dia buta. Setelah Abu Bakar RA berhijrah, Abu Quhafah datang kepada Asma RA. Si datuk khuwatir Abu Bakar RA tidak meninggalkan wang untuk puterinya. Memang demikian, kerana Abu Bakar RA membawa semua wangnya untuk perjuangan Islam di Madinah. Asma RA membungkus batu dan berkata, Ayah telah meninggalkan banyak wang untuk kami. Abu Quhafah meraba batu itu dan hatinya tenteram kerana dia menyangka Abu Bakar RA memang meninggalkan wang yang banyak

No comments:

Post a Comment