اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِ مُحَمد
Solat Jumaat Pertama
Rasulullah SAW berangkat dari Quba pada hari Jumaat pagi. Baginda SAW diiringi oleh para sahabat Muhajirin dan Anshar. Sebahagian menunggang unta, kuda dan sebahagian lagi berjalan kaki. Ketika waktu solat zohor tiba, Rasulullah SAW tengah melalui Wadi Ranuna. Tempat itu dekat dengan perkampungan bani Amr bin Auf. Rasulullah SAW berhenti dan mendirikan solat Jumaat bersama para sahabatnya. Itulah solat Jumaat pertama yang didirikan Rasulullah SAW
Dalam solat itu, Rasulullah SAW berkhutbah, "Wahai seluruh manusia, hendaklah kamu mengerjakan amal kebaikan demi dirimu sendiri. Sungguh kamu mengetahui, demi Allah, sesungguhnya akan datang suatu hari ketika salah satu dari kamu dikejutkan oleh suara gemuruh, sehingga dia akan melupakan harta apa pun yang dimilikinya. Pada hari itu, Allah akan berfirman kepadanya langsung tanpa ada yang menterjemahkan dan menghalang-halangi. Firman-Nya, "Tidaklah telah datang seorang Rasul kepadamu lalu dia menyampaikan ajaran kepadamu dan Aku telah memberikan harta kepadamu serta Aku telah memberikan banyak kurnia kepadamu. Namun, semua itu kamu gunakan untuk dirimu sendiri"
"Saat itu, dia akan melihat ke kanan dan ke kiri, tetapi tidak melihat apa pun. Namun, ketika melihat ke depan, dia akan menatap Neraka Jahanam. Siapa pun yang dapat menjaga wajahnya dari bahaya api neraka, walau pun dengan separuh kurma, hendaklah dia banyak menyebut kalimat thayyibah kerana kalimat thayyibah itu adalah sesuatu yang indah yang akan diberi balasan sampai tujuh ratus kali ganda. Keselamatan dan rahmat Allah serta barokah-Nya semoga dilimpahkan atas kamu dan atas Rasulullah"
Pada saat solat Jumaat itu, Rasulullah SAW berkhutbah setelah solat didirikan. Di kemudian hari, Rasulullah SAW mengubah cara itu sehingga khutbah dilakukan sebelum solat Jumaat dilakukan. Sedangkan solat Jumaat pertama tanpa kehadiran Rasulullah SAW terjadi sebelum Rasulullah SAW hijrah, iaitu ketika terdengar khabar bahawa kaum Yahudi di Yathrib berkumpul pada setiap hari Sabtu. Untuk mengimbangi hal itu, Rasulullah SAW memerintahkan Mush'ab bin Umair untuk mengumpulkan kaum muslimin pada setiap hari Jumaat untuk mengerjakan solat dua rakaat berjamaah. Mush'ab segera mengumpulkan kaum muslimin di Hazmun-Nabit. Itulah solat Jumaat pertama dalam sejarah Islam. Solat pertama itu diikuti oleh 40 orang
Rasulullah SAW pun meneruskan perjalanan. Setiap kali melalui sebuah perkampungan, penduduk kampung selalu berebut menawarkan tempat persinggahan dan beristirehat kepada Baginda SAW. Namun, Rasulullah SAW selalu mengulangi jawapan yang sama, "Biarkanlah unta ini berjalan, sesungguhnya ia diperintah Allah agar berhenti di tempat yang dikehendaki-Nya"
Tiba Di Madinah
Kota Yathrib dipenuhi bermacam perhiasan indah untuk menyambut kedatangan Rasulullah SAW. Ketika Baginda SAW tiba, seluruh kaum muslimin perempuan dan lelaki, budak-budak keluar rumah untuk menyambut kedatangan Rasulullah SAW yang telah lama mereka nantikan. Mereka berbaris di jalanan seraya bersorak, "Telah datang Muhammad! Telah datang Rasulullah! Ya Muhammad! Ya Rasulullah!"
Para pemuda menghunus pedang dan tombak sebagai tanda bersedia untuk mati membela Rasulullah SAW. Kaum muslimin yang mengiringi Rasulullah SAW dari Quba berteriak bersama, "Telah datang Nabi Allah! Telah datang Nabi Allah! Telah datang Nabi Allah!"
Sementara itu, budak-budak perempuan naik ke atas rumah bersama membaca syair, "Kami anak-anak perempuan keturunan Najjar, hai orang yang cinta kejiranan dengan Nabi Muhammad!"
Mendengar sambutan yang begitu hangat dan penuh sayang itu, Rasulullah SAW bertanya, "Apakah kamu semua cinta kepadaku?"
"Ya, sudah tentu ya Rasulullah!", jawab semuanya
Dengan hati bergetar penuh kasih, Rasulullah SAW bersabda, "Allah mengetahui bahawa hatiku sangat mencintai kamu semua"
Ada orang yang menangis, ada juga orang yang tersenyum saat mendengar pengakuan cinta dari Rasulullah SAW yang begitu mulia, yang begitu mereka cintai dan yang begitu mereka rindukan. Maka rebana-rebana pun berbunyi dan kaum wanita berpantun
طلع البدر علينا ¤ من ثنية الوداع
Thola’al badru ‘alayna min tsaniyyatil wada’i
وجب الشکر علينا ¤ ما دعا لله داع
Wajabasy-syukru ‘alayna ma da’a lillahi da’i
أيها المبعوث فينا ¤ جئت بالأمر المطاع
Ayyuhal mab’utsu fina ji'ta bil amril mutho’i
Telah terbit purnama di atas kita
Dari kampung Tsaniyyatil Wada
Wajiblah kita bersyukur akan apa yang diserukan penyeru
Duhai orang yang diutus kepada kami. Engkau datang dengan perintah yang ditaati
Demikian seterusnya, pantun-pantun yang penuh kehormatan diucapkan oleh kaum muslimin lelaki dan perempuan ketika mereka menyambut kedatangan Rasulullah SAW. Itu adalah satu saat yang amat membahagiakan dan tidak akan pernah terulang lagi dalam sejarah, satu sambutan yang begitu tulus dan penuh cinta
Muhajirin Yang Pertama
Abu Salamah bin Abdul Asad adalah Muhajirin yang pertama tiba di Madinah. Setelah itu, menyusul Amir bin Rabi'ah bersama isterinya, Laila binti Abi Hasymah. Beliaulah wanita Muhajirin yang pertama tiba di Madinah
No comments:
Post a Comment