Saturday, March 13, 2021

KISAH RASULULLAH SAW - Siri 40

 


اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِ مُحَمد


Tempat Rasulullah SAW Menginap


Semua keluarga di Yathrib berebut menawarkan diri menjadi tuan rumah kepada Rasulullah SAW. Semuanya ingin agar Rasulullah SAW bersedia tinggal di sekitar mereka. Rasulullah SAW mengetahui bahawa jika Baginda SAW menentukan pilihan, keluarga yang tidak terpilih akan malu dan kecewa. Oleh kerana itu, Rasulullah SAW menyerahkan pilihan itu kepada Allah SWT


Dengan lembut, Rasulullah SAW berkata kepada semua ketua keluarga, "Biarkanlah untaku ini berjalan kerana ia diperintah oleh Allah dan akan berhenti di tempat yang Allah kehendaki"


Kaum Muslimin mengikuti Al Qushwa' yang berjalan perlahan-lahan. Di suatu tempat milik dua orang anak yatim, unta Rasulullah SAW itu berhenti dan merebahkan perutnya ke pasir. Rasulullah SAW mengajak Al Qushwa' berjalan lagi. Namun, tidak lama kemudian, ia kembali ke tempat semula dan merebahkan perutnya lagi ke pasir


"Inilah tempat kediamanku, Insya Allah", demikian sabda Rasulullah SAW


Kemudian, Rasulullah SAW berdoa empat kali, "Ya Allah, semoga Engkau menempatkan aku di tempat kediaman yang diberkahi dan Engkaulah sebaik-baik yang memberi tempat kediaman"


Rasulullah SAW membeli tanah dari kedua anak yatim tersebut


Rasulullah SAW turun dan bertanya, "Di mana rumah saudaraku yang paling dekat dari sini?"


Dengan penuh gembira, Abu Ayyub segera menjawab, "Aku, ya Rasulullah!"


"Itu rumahku!"


Rasulullah SAW tersenyum dan berkata, "Baiklah Abu Ayyub, jika engkau berkenan, aku akan tinggal di rumahmu untuk sementara waktu. Pergilah sediakan tempat untukku"


Abu Ayyub tergopoh-gapah memasuki rumahnya kerana dia begitu gembira. Disediakannya tempat untuk Rasulullah SAW sebaik mungkin


Kemudian, dia kembali menemui Rasulullah SAW dan berkata, "Ya Rasulullah, sungguh aku sudah menyediakan tempat istirehat untukmu. Dengan berkah Allah silakan berdiri dan masuk ke dalam"


Bekas Air Pecah


Rasulullah SAW beristirehat di rumah Abu Ayyub. Dia ingin Rasulullah SAW istirehat di tingkat atas, tetapi Rasulullah SAW menolak. Suatu ketika bekas air Abu Ayyub pecah dan airnya tumpah. Abu Ayyub dan isterinya segera menggunakan satu-satunnya selimut yang ada untuk menggelap air agar tidak menitis di tempat istirehat Rasulullah SAW. Setelah itu, Abu Ayyub mendesak Rasulullah SAW agar istirehat di atas. Akhirnya Rasulullah SAW pun bersedia istirehat di atas


Mendirikan Masjid


Tujuh bulan lamanya, Rasulullah SAW dan keluarganya tinggal di rumah Abu Ayyub. Selama itu, Abu Ayyub, Sa'ad bin Ubadah, As'ad bin Zurarah dan yang lainnya mengirim makanan untuk keluarga Rasulullah SAW secukup-cukupnya. Setiap pagi dan petang, Ummu Ayyub memasak makanan dan tidak mereka makan sebelum terlebih dahulu mereka hidangkan kepada Rasulullah SAW dan keluarganya. Demikianlah budi Abu Ayyub dan keluarganya kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW tinggal di rumah Abu Ayyub sampai Baginda SAW mendirikan masjid dan rumah sendiri. Ketika hendak mendirikan masjid, Rasulullah SAW mengumpulkan bani Najjar yang menjadi pemilik tanah tempat itu


"Wahai bani Najjar", demikian sabda Rasulullah SAW. "Hendaklah kamu tawarkan harga kebun-kebun ini kepadaku kerana aku akan membelinya"


"Ya Rasulullah, kami tidak akan berkira di atas kebun-kebun itu kerana mengharapkan redha Allah saja"


Namun, Rasulullah SAW tetap meminta mereka meletakkan harga walau pun rendah. Akhirnya, Abu Bakar RA membayar harganya sebanyak sepuluh dinar. Setelah itu, bersama para sahabat, Rasulullah SAW mengerjakan tanah itu, menebang pokok dan membongkar serta memindahkan kubur-kubur yang sudah rosak. Setelah itu barulah mendirikan masjid. Rasulullah SAW meletakkan batu pertama, lalu Baginda SAW meminta Abu Bakar RA meletakkan batu selanjutnya, kemudian Baginda SAW menyuruh Umar bin Khattab RA, setelah itu Utsman bin Affan RA dan terakhir sekali ialah Ali bin Abu Thalib RA


Baginda SAW bersabda, "Mereka itulah khalifah-khalifah setelah aku wafat"


Setelah itu, semua orang bekerja keras dengan gembira dan penuh semangat 


Sambil bekerja, Rasulullah SAW bersyair, "Ya Allah sesungguhnya pahala itu pahala akhirat, maka kasihanilah sahabat-sahabat Anshar dan Muhajirin"


Para sahabat menjawab syair Rasulullah, "Jika kami duduk termenung, padahal Nabi bekerja, yang demikian itu sungguh perbuatan yang tidak patut"


Batu diangkat, diletakkan, disusun dan disisipkan sampai akhirnya masjid pun siap dibina. Pagarnya dari batu dan tanah, tiangnya dari batang-batang kurma, atapnya pelepah kurma. Kiblatnya menghadap ke Baitul Maqdis. Ketika itu, Ka'bah belum menjadi kiblat lagi. Di sisi masjid, didirikan dua buah bilik untuk tempat tinggal Rasulullah SAW dan ahli keluarganya. Sungguh, sebuah masjid yang sederhana penuh dengan keberkahan


Warna Masjid


Umar bin Khattab RA pernah berkata tentang bagaimana sebuah masjid dibina. Kata beliau, "Lindungilah orang-orang dari tempias hujan. Janganlah kamu mewarnai (dinding masjid) dengan warna merah atau kuning sehingga dapat menimbulkan fitnah"

No comments:

Post a Comment