Saturday, March 6, 2021

Tazkirah 11

 Dalam ayat 2 surah al-Mulk, Allah SWT berfirman:


ٱلَّذِی خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَیَوٰةَ لِیَبۡلُوَكُمۡ أَیُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلࣰاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِیزُ ٱلۡغَفُورُ.


Maksudnya: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);


Allah SWT mulakan pada ayat ini dengan menyebut 'kematian' dahulu baru 'kehidupan' untuk mengingatkan kita bahawasanya kematian itu pasti akan tiba dan kita perlu letakkan ia di hadapan dalam setiap urusan kita, agar kita tidak terleka dek urusan dan nikmat dunia.


Setelah itu baru disebutkan 'kehidupan' yang menunjukkan kehidupan yang hakiki dan kekal adalah  kehidupan setelah kematian itu.


Seseorang yang sentiasa ingat akan kematian, dan berusaha memperindahkan kehidupannya setelah mati nanti, dia lah orang yang bijak pandai.

[HR. al-Tirmizi: 2459]


Lalu, Allah SWT bagitahu kita bahawa Dia nak uji kita di dunia untuk melihat, kualiti setiap amalan kita bukan kuantitinya.


Bagaimana mendapat amalan yang kualiti?


Ada 2 syarat:

1. Ikhlas kerana Allah SWT.

2. Mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.


Cuma, adakala kita terlupa akan kematian, kita leka dengan dunia sehingga ibadat kita menjadi 'caca marba', kita sering usaha mengejar kuantiti sehingga tercicir kualitinya, dan kita banyak melakukan amalan khurafat dan menyimpang dari agama, ingatlah Allah SWT itu sangat pedih azabnya, tetapi Dia juga Maha Pengampun.


Sudah tersedar... mohonlah keampunan dari-Nya, masih mahu 'ego' dan besar diri, ingatlah azab-Nya sangat pedih.


Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment