Daripada Anas bin Malik RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :
"Semua buku catatan amal itu berada di bawah Arasy. Dan ketika tiba hari perhitungan amal, Allah SWT mengutuskan angin untuk menerbangkannya ke kiri dan ke kanan. Tulisan yang pertama yang ada di dalamnya berbunyi, "Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada hari ini sebagai penghisab terhadapmu"
(Hadith Riwayat Abu Jaafar al Uqaili)
Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu"
(Al Isra ayat 14)
Sahabat. Bayangkanlah bagaimana keadaan kita ketika berdiri di hadapan Allah SWT dalam keadaan telanjang lalu ketika catatan amal kita dilayangkan dan ketika hendak ditimbangkan. Kemudian nama kita dipanggil oleh Malaikat,
"Mana Si fulan bin Si fulan? Ayuh segera mengadap Allah"
Sesungguhnya Malaikat itu tidak sukar untuk mengenali diri kita dan akan bersegera menangkap dan membawa kita ke hadapan Allah SWT. Maka saat itu hati terasa hendak terbang. Seluruh persendian tubuh mengeletar dengan kuat dan warna kulit mendadak berubah menjadi pucat. Ini kerana kita sudah mengetahui apa yang akan terjadi kepada kita
Bayangkan pula bila kita sudah berada di hadapan Allah SWT. Saat itu tangan mengeletar memegang buku catatan amal kita semasa hidup di dunia dan tidak ada satupun yang akan dirahsiakan. Dengan lidah yang kelu dan hati yang hancur, kita membaca segala apa yang ditulis pada saat huru hara berkecamuk di sekeliling.
Semua kesalahan kita baik yang kita sembunyikan mahupun tidak, semuanya akan terungkap. Amal perbuatan yang kita kira baik tetapi sebenarnya tidak dan yang kita sangkakan ikhlas sebenarnya tidak serta yang kita yakin bahawa semuanya itu dicatit dalam buku amalan kita ternyata ianya kosong. Maka pada ketika itu hati akan merintih pilu kerana kecewa di atas apa yang kita lalaikan selama hidup kita. Maka Allah SWT pemilik Arasy dengan murka-Nya berfirman :
"Ambillah dia, hai Malaikat Ku! Masukkanlah ia kedalam neraka bersama-sama orang musyrik yang sedang dalam keadaan haus dan dahaga dijilat api neraka. Dan biarkan orang-orang yang beriman tinggal di syurga"
Allahuakbar! Adakah kita masih lagi ingin melakukan dosa setelah peringatan yang diberikan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya ini. Seandainya diri merasa tidak takut maka lakukanlah akan tetapi ingatlah bahawa azab Allah SWT itu tidak dapat digambarkan oleh akal fikiran kita
RENUNG-RENUNGKANLAH
No comments:
Post a Comment