Wednesday, March 10, 2021

Masa - Cepatnya Berlalu

Masa begitu cepat berlalu. Rasanya masih banyak yang belum sempat diselesaikan pada siang hari, tiba-tiba malam sudah menjengah. Kesibukan yang melanda bagaikan tiada masa kosong yang terluang, tetapi entah apa yang disibukkan. Diri sendiri tidak dapat menjawabnya.



Dua puluh empat jam sehari bagaikan tidak mencukupi


Kini, anak sulung mendapat tawaran ke MRSM bagi tingkatan 1. Rasa macam baru semalam, mendukung dia. Macam baru semalam memegang tangan dia, menghantar ke tadika. Macam baru semalam memimpin dia berjalan



Lalu teringat kepada sepotong hadis Rasulullah SAW:



Dari Anas bin Malik RA, katanya Rasulullah SAW telah bersabda: 


“Tidak akan terjadi kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api.” 


(Riwayat at-Tirmidzi)



Menurut Imam al-Karmani, yang dimaksudkan dengan singkatnya waktu ialah dicabut keberkatan daripadanya.



Berkata Ibnu Hajar: “Yang benar adalah bahawa keberkatan akan dicabut dari segala sesuatu termasuk dari waktu itu sendiri sedangkan yang demikian itu adalah di antara tanda sudah hampirnya kiamat."



Katanya lagi: "Adapun berkurang amal maka ia mengandungi dua maksud, iaitu: 


1. Berkurangnya amal itu akan menimpa setiap orang kerana apabila seseorang didatangkan dengan banyak permasalahan (hal), maka hal itu akan melengahkannya dari beribadah dan zikir kepada Allah

2. Ia mengandungi maksud tentang munculnya sifat khianat dalam amanat dan pekerjaan."



Manakala Syeikh Ibnu Abi Hamzah berkata: "Berkurangnya amal yang lahir adalah disebabkan oleh kurangnya agama, dan berkurangnya amal batin adalah disebabkan oleh kerosakan-kerosakan yang menimpanya yang bermula dari makanan yang tidak baik dan kurangnya usaha dalam pekerjaan sedangkan diri kita ini selalu cenderung untuk berehat (malas bekerja).



Beratnya cubaan dan dugaan di zaman ini.



Siapakah di antara kita yang mampu mengkhatam al-Quran seminggu sekali?



Siapakah di zaman ini yang dapat berqiamullail setiap malam?



Siapakah di zaman ini mampu berpuasa setiap minggu atau setiap bulan?



Siapakah yang di antara kita mampu berzikir dan ia menjadi amalan hariannya?



Siapakah...



Siapakah...



Pastinya hanya sedikit sahaja di kalangan kita yang mampu melakukannya.



"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian..."



Subuh, permulaan tirai siang. Malam yang telah berlalu di simpan dalam lipatan memori, mimpi dan realiti bertemu. 


Moga Allah SWT merahmati, meredhai dan memberkati perjalananmu wahai anakku....doa abah sentiasa mengiringimu.....

No comments:

Post a Comment