SEJARAH AWAL PENYEBARAN ISLAM KE ANDALUSIA (Siri 6)
Julian telah menghantar wakilnya untuk bertemu dengan Tariq bin Ziyad gabenor Tanger untuk berunding. Dia menawarkan beberapa perkara bagi membantu pasukan kaum Muslimin memasuki Andalusia. Antara tawarannya adalah,
1. Julian bersetuju untuk menyerahkan pelabuhan Sabtah (Cueta) kepada kaum Muslimin. Ini adalah laluan yang penting bagi menyeberangi Selat Gibraltar. Tawaran ini tentu sekali amat bermakna bagi pasukan kaum Muslimin bagi menyelesaikan misi yang tertangguh selama ini
2. Julian menawarkan untuk memberikan segala informasi tentang laluan serta muka bumi Andalusia. Dia lebih tahu laluan dan selok belok muka bumi Andalusia
3. Sebagai imbuhan Julian meletakkan satu syarat iaitu dia mahu semua harta, bangunan dan tanah milik bekas penguasa Witiza yang telah dirampas oleh Roderic diberikan kepadanya. Jumlah hartanah milik Wizita melebihi 3000 yang sepatutnya diwariskan kepada ahli keluarganya telah menjadi milik Roderic
Tawaran dan permintaan Julian tidaklah menjadi kesukaran untuk dipenuhi kerana tujuan utama misi ke Andalusia bukanlah untuk merampas hasil mahsul negara tersebut. Dengan misi menyebarkan Islam, harta dunia ini tidak sedikit pun menambat hati para syuhada di jalan Allah SWT
Tariq bin Ziyad segera mengirimkan utusan untuk menyampaikan tawaran Julian kepada Musa bin Nushair yang pada ketika itu berada di Qairawan, Afrika Utara kini namanya Tunisia. Apabila mendengar tawaran ini maka gembiralah Musa bin Nushair. Hasrat dan doanya selama ini telah dimakbulkan oleh Allah SWT. Sebelum ini dia buntu mencari jalan untuk memasuki Andalusia, kini dengan pertolongan Allah SWT cita-citanya akan tercapai dengan mudah. Benarlah firman Allah SWT di dalam al-Quran,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu membela (agama) Allah nescaya Allah akan membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu"
(Surah Muhammad 47:7)
Lantas Musa bin Nushair mengirimkan utusan kepada khalifah Bani Abbasiyah Al-Walid bin Abdul Malik memohon kebenaran untuk memasuki Andalusia. Khalifah bersetuju memberikan keizinan kepadanya untuk meneruskan misi tersebut. Malah khalifah amat prihatin dengan keselamatan para tentera yang akan terlibat dalam misi ini. Lalu khalifah meminta agar dihantar satu pasukan peninjau terlebih dahulu untuk memasukinya. Tujuannya agar kaum Muslimin dapat berhati-hati tidak masuk perangkap musuh kerana Julian dahulunya bersahabat baik dengan penguasa Andalusia. Apa-apa kemungkinan boleh sahaja terjadi
Rujukan utama Bangkit dan Runtuhnya Andalusia, Tarikh At-Tabari, Tarikh Khulafa dan lain-lain
No comments:
Post a Comment