Satu mukjizat yang nyata pada Al-Quran al-ʿazim yang amat menonjol pada zaman ilmu ini ialah isinya yang terbukti benar. Zaman ini adalah zaman yang dipenuhi dengan karya-karya sastera yang agung, zaman tulis baca yang merangkumi seluruh manusia, zaman pengetahuan dan pengkajian sains yang tinggi, zaman manusia berfikir secara rasional; tetapi Al-Quran masih dapat mempertahankan kebenarannya.
Jika Al-Quran dikatakan sebuah karya sastera, maka nilai estatika dengan bahasa dan gayanya masih belum dapat ditandingi oleh mana-mana karya sastera pun di dunia ini. Jika Al-Quran dikatakan sebuah kitab moden, maka kitab ini melahirkan banyak cabang ilmu seperti ilmu kemasyarakatan (ilmu tauhid), politik dan ilmu-ilmu lain. Jika Al-Quran dikatakan sebuah kitab falsafah, maka kitab ini belum tertanding akan ketinggian falsafahnya. Keadaan ini amat jelas, kerana tiga per empat dari kandungannya terdiri dari ayat-ayat yang berfalsafah yang dinamakan ayat-ayat mutashabihat. Makin dikaji ayat-ayat ini; makin jelas terbukti kebenaran hikmahnya. Al-Quran inilah satu-satunya pusaka yang juga dikatakan mukjizat Nabi Muḥammad SAW
Al-Quran telah membuktikan terhapusnya suatu kebodohan manusia dalam masalah buta huruf, sebab pengajarannya yang pertama ialah menganjurkan supaya manusia pandai menulis dan membaca. Dengan pengetahuan menulis dan membaca itu manusia akan meninggalkan banyak karya falsafah, agama dan sebagainya yang akan diwarisi kepada generasi yang kemudian. Al-Quran adalah sebagai bukti yang jelas bahawa zaman ini adalah zaman persuratan yang amat hebat, dan membuktikan bahawa mukjizat itu mengatasi semua hasil persuratan pada zamannya.
Apabila kita merenung kepada kebangkitan zaman persuratan sekarang ini dengan pesatnya, semuanya bergantung kepada hasil persuratan. Dalam penulisan semua ilmu falsafah dan agama dengan melihat kepada anjuran-anjuran Al-Quran, dan Al-Quran juga adalah salah sebuah karya yang terbesar; maka apakah pengajaran utama Al-Quran dan adakah Nabi Muḥammad SAW itu seorang yang buta huruf – seorang yang tidak tahu membaca dan menulis?
Sesiapapun akan merasa hairan apabila dikatakan bahawa Nabi Muḥammad SAW itu tidak pandai menulis dan membaca berdasarkan kepada istilah ummi yang terdapat pada ḥadith-ḥadith dan Al-Quran khususnya pada zaman moden sekarang. Pendapat yang mengatakan Nabi Muḥammad SAW adalah seorang yang buta huruf menjatuhkan martabat Baginda SAW dan amat memalukan.
Amat mustahil daripada seorang yang buta huruf dapat memimpin umat pada satu zaman yang maha agung. Adakah Nabi Muḥammad SAW itu dikatakan buta huruf mengikut maksud istilah ummi; atau kerana kebodohan dan kebebalan kita tidak mengkaji dengan teliti dengan sebenarnya kandungan yang diperkatakan oleh Al-Quran dengan istilah ummi itu.
Pelbagai alasan diberikan untuk menetapkan bahawa Rasulullah SAW itu sesungguhnya buta huruf dengan tujuan menafikan bahawa Baginda SAW tidak menulis Al-Quran itu atau Baginda SAW meniru dari kitab-kitab agama lain yang terdahulu. Dalam satu ḥadith pernah dikatakan bahawa Nabi Muhammad SAW berdoa supaya Baginda SAW dimasukkan ke dalam golongan umat-umat ummi. Al-Quran banyak menyebut tentang ummi. sebagaimana Allah SWT berfirman:
Katakanlah kepada Ahl al-Kitab dan umat ummi: “Adakah kamu Islam?”. Maka mereka telah mendapat petunjuk. (Al-Quran: 3: 20).
Allah SWT berfirman lagi pada surah yang sama:
Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: “Tidak berdosa kami menganiayai orang ummi yang tidak sama dasar dengan kami. (Al-Quran: 3: 75).
Di sini, istilah ummi menggambarkan satu umat sebagaimana dimaksudkan kepada umat Yahudi dan Nasara; dan umat ummi yang dimaksudkan itu ialah umat Quraish yang pintar dan berilmu, luas pengalaman dan masih berdikari, bebas dari penjajahan besar pada zaman itu iaitu kerajaan Rom Timur dan Parsi. Umat ummi inilah yang dimaksudkan oleh Allah SWT sebagai umat terpilih yang akan lahir seorang nabi dari kalangan mereka untuk memimpin manusia hingga ke akhir zaman. Umat Quraish yang ummi ini terpilih dari kalangan bangsa ʿArab dengan tamadun induknya masih kekal.
Dalam umat ummi inilah Allah SWT melahirkan seorang rasul sebagaimana firman-Nya:
Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang (ʿArab) yang Ummiyyin, seorang Rasūl (Muḥammad) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dan membersihkan mereka serta mengajarkan mereka Kitab Allah dan Hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelum itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (Al-Quran: 62: 2).
Rasul yang dibangkitkan oleh Allah SWT dalam kalangan umat ummi ini ialah Nabi Muḥammad SAW
Adakah semua umat ummi ini tidak pandai menulis dan membaca? Inilah satu kekeliruan besar yang pernah diperkatakan oleh para ʿulamaʾ Islam mengenai Nabi Muḥammad SAW. Mereka telah merendahkan martabat Nabi Muḥammad SAW kerana tidak teliti dalam memahami kalimah-kalimah Al-Quran; tetapi mereka mengatakan alasan itu adalah untuk mempertahankan Nabi Muḥammad SAW
Maksud umat ummi di sini sudah jelas ditujukan kepada umat terpilih yang diisyaratkan oleh Allah SWT kepada Ibrahim AS dengan kalimah:
umat yang berserah diri kepadamu (Al-Quran: 2: 128).
Umat yang berserah diri kepada Allah SWT itu ialah bangsa Quraish. Dan maksud umat ummi itu ialah umat yang lebih mengutamakan amali daripada teori. Maksudnya, umat yang menjadikan contoh dalam perlaksanaan perjuangan, umat yang tinggi tahap pencapaian amali berbanding dengan umat-umat lain. Nabi Muḥammad SAW adalah pemimpin umat ummi ini. Umat ini tidak bercakap sahaja, malah membuat sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Maka perbuatan dan kelakuan Nabi Muhammad SAW dijadikan sunnah yang menjadi ikutan orang yang kemudian. Itulah sebabnya falsafah dan hukum dari Al-Quran diambil dan dicontohi daripada perbuatan Nabi Muhammad SAW; kerana Baginda SAW tidak menyebut sesuatu melainkan Baginda SAW membuatnya.
Al-Quran berbeza daripada kitab-kitab yang lain seperti Zabur, Taurat dan Injil yang tidak mengandungi hukum-hukum selain daripada falsafah atau hikmah untuk memperbaiki akhlak umat, kerana tidak perlu mengutamakan amali. Keadaan Al-Quran tidak demikian. Al-Quran mengandungi hikmah atau falsafah yang diteruskan dengan hukum kepada manusia dan hukum-hukum itu hendaklah diamalkan secara fizikal. Maka Allah SWT mengatakan bahawa bangsa yang diutuskan Nabi Muḥammad SAW itu ialah umat ummi dan rasulnya mestilah seorang yang ummi juga.
Umat ummi ini ialah umat yang terpilih. Umat yang menjadi contoh untuk semua manusia, iaitu umat yang lebih banyak bekerja untuk memajukan agama, negara dan seluruh manusia – bukan umat yang banyak bercakap dan membentangkan teori itu dan teori ini.
Umat ummi yang dikatakan itu bukannya Nabi Muhammad SAW seorang sahaja, malah semua bangsa ʿArab yang berjuang bersama-sama Baginda SAW adalah umat ummi
Di sini kita perlu menyebut satu kekeliruan yang pernah dikatakan kepada Nabi Muḥammad SAW, bahawa Baginda SAW diutus dalam umat jahiliyah, bodoh dan tidak bertamadun. Mungkinkah mereka dapat menerima segala pengajaran rasul? Mungkinkah seorang yang bodoh dan bebal menerima pengetahuan daripada seorang profesor? Hanya umat yang pintar dan bijaksana, luas pemikiran dapat menerima pengajaran rasul, sebagaimana hanya mahasiswa yang cerdik dapat menerima pengajaran yang tinggi daripada seorang profesor.
Maka umat ummi ini (umat Quraish) adalah satu bangsa yang bertamadun beribu tahun yang lalu. Mereka daripada keturunan Semite. Bangsa Semite ini sudah mulai tamadun sejak beribu tahun yang lalu di Babylon (Syria) dan Ethiopia. Serpihan daripada keturunan yang agung ini tersebar ke tanah ʿArab, Mekah yang dinamakan Quraish.
Kebanyakan nabi diutus dalam umat yang bertamadun – bukan diutus kepada umat jahiliyah yang buta huruf; kerana umat yang bertamadun itu sanggup menerima pengajaran yang tinggi yang mengandungi falsafah, kerana mereka mempunyai persediaan yang cukup dengan kepintaran dan pengetahuannya.
Sebenarnya, pada zaman itu ada tiga golongan bangsa ʿArab.
Pertama, bangsa ʿArab Al-Badawah iaitu penduduk asli yang mendiami kawasan dusun dan padang pasir.
Kedua, bangsa ʿArab yang dinamakan ʿArab al-ʿAribah, iaitu bangsa ʿArab yang sudah bercampur keturunannya. Dua bangsa ʿArab ini tidak pintar kerana kedudukan dan pergaulan mereka yang terhad.
Manakala golongan ketiga ialah ʿArab Al-Mastaʿribah iaitu berasal dari keturunan Ibrahim AS.Golongan inilah yang dipilih oleh Allah SWT seorang rasul iaitu Nabi Muḥammad SAW
Adapun maksud istilah jahiliyah atau hilang pedoman itu bukan bererti bodoh atau tidak berilmu; tetapi orang jahiliyah ini hanya terlalu bersikap perkauman dan fanatik kepada keturunan sendiri. Mereka bersuku-suku. Untuk memperbesarkan suku keturunan itu hingga membawa kepada peperangan dan perkelahian. Mereka membuat berhala untuk suku mereka dalam Kaʿbah. Dalam keadaan persukuan perkauman dan perseteruan inilah Allah SWT bangkitkan seorang rasul untuk menyatukan mereka semula. Pengetahuan mereka sudah dalam. Itulah sebabnya, apabila para sahabat Rasulullah SAW menerima Islām, mereka mudah memahami sesuatu ilmu yang tinggi dari Al-Quran. Mereka dipimpin ke dalam persatuan umat setelah mereka berpecah kerana kepentingan diri masing-masing; sebagaimana dinyatakan Allah SWT keadaan mereka dengan firmanNya:
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. (Al-Quran: 3: 103).
Dua kekeliruan ini sering ditonjolkan orang kepada kita. Mereka mengatakan Nabi Muḥammad SAW itu buta huruf dan dibangkitkan pada zaman jahiliyah yang gelap gelita. Bolehkah seorang yang buta huruf yang dilahirkan dalam umat yang kuno dapat menyelaraskan pengajaran yang berhikmah seperti Al-Quran ke seluruh dunia? Mungkinkah kaum yang primitif dapat melahirkan seorang nabi? Kemungkinan ini hanya berlaku dari satu bangsa yang besar dapat melahirkan pengajaran yang besar.
Marilah kita melihat Nabi Muḥammad SAW sebagai pemimpin yang mengutamakan amali daripada teori dalam pengertian istilah ummi– bukannya seorang yang buta huruf dalam kalangan umat jahiliyah. Allah Maha Mengetahui.
No comments:
Post a Comment