Saturday, January 23, 2021

Kisah Rasulullah SAW - Siri 2

 KISAH RASULULLAH SAW (Siri 2)


GUA HIRA'


"Berhala berhala yang bernama Hubal, Lata dan Uzza itu tidak pernah menciptakan seekor lalat sekali pun, bagaimana mungkin mereka akan mendatangkan kebaikan bagi manusia?",  fikir Rasulullah SAW


"Siapakah yang berada di balik semua ini? Siapa yang berada di balik luasnya langit dan taburan bintang? Siapa yang berada di balik padang pasir yang panas terbakar kilauan matahari? Siapa pencipta langit yang jernih dan indah, langit yang bermandi cahaya bulan dan bintang yang begitu lembut, begitu sejuk? Siapa pembuat ombak yang berdebur dan penggali laut yang begitu dalam? Siapa yang berada di balik semua keindahan ini?"


Demikianlah Rasulullah SAW tidak mencari kebenaran dalam kisah-kisah lama atau tulisan para pendeta kerana Baginda SAW tidak boleh membaca kitab dan tulisan lama. Baginda SAW mencari kebenaran melalui alam. Baginda SAW mengasingkan dirinya dari masyarakat dan pergi ke Gua Hira'


"Betapa sia-sianya hidup manusia, waktu terus berlalu, sementara jiwa-jiwa rosak kerana dikuasai khayal tentang berhala-berhala yang mampu melakukan ini dan itu. Betapa sia-sianya hidup manusia kerana tertipu dengan segala macam kemewahan yang tiada berguna"


Baginda SAW mengasingkan diri seperti itu beberapa hari setiap bulan dan sepanjang bulan Ramadhan. Semakin lama, jiwanya semakin matang dan semakin terisi penuh. Sampai suatu ketika, saat usia Rasulullah SAW menginjak 40 tahun, datanglah seseorang yang bukan dari dunia ini menemui Baginda SAW di Gua Hira'. Rasulullah SAW yang berani dan tenang itu amat terkejut melihatnya


Diangkat Menjadi Utusan Allah SWT


Makhluk yang datang itu adalah Malaikat Jibril AS. Ia datang membangunkan Rasulullah SAW yang sedang tidur kerana kepenatan. Jibril AS berkata kepada Rasulullah SAW, "Iqra' (Bacalah)!"


Dengan hati yang masih rasa terkejut, Rasulullah SAW menjawab, "Apa yang harus aku baca?"


Kemudian Malaikat Jibril AS mendakap sehingga Muhammad SAW merasa lemas. Jibril AS melepaskan dakapannya, lalu berkata lagi, "Bacalah!"


Kejadian itu berulang sampai tiga kali. Kemudian, setelah Rasulullah SAW berkata, "Apa yang harus aku baca?", barulah Jibril AS membacakan Surah Al 'Alaq ayat pertama hingga ayat kelima 


اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan 

(Surah Al-'Alaq (96:1)

خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ

Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah 

(Surah Al-'Alaq (96:2)

اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ

Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah 

(Surah Al-'Alaq (96:3)

الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ

Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam

(Surah Al-'Alaq (96:4)

عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya

(Surah Al-'Alaq (96:5)


Setelah mengucapkan ayat-ayat itu, Malaikat Jibril AS pun pergi meninggalkan Rasulullah SAW yang hatinya terkesan oleh firman Allah SWT tadi


Rasulullah SAW terus tersentak sedar. Baginda SAW terbangun dari ketakutan sambil tertanya-tanya dalam hati, "Siapa gerangan yang ku lihat tadi? Apakah aku telah diganggu jin?"


Baginda SAW menoleh ke kiri dan ke kanan, tetapi tidak ada siapa pun. Rasulullah SAW diam sebentar dengan tubuh gementar. Baginda SAW lalu lari ke luar gua, menyusuri celah-celah gunung sambil mengulang pertanyaan dalam hati, "Siapa gerangan yang menyuruhku membaca tadi?"


Mendadak, Rasulullah SAW mendengar namanya dipanggil. Panggilan tersebut terasa dahsyat sekali. Baginda SAW memandang ke angkasa dan melihat malaikat dalam bentuk manusia. Rasulullah SAW terpegun ketakutan dan terpaku di tempatnya. Baginda SAW memalingkan wajah, tetapi di seluruh langit, ke mana pun Baginda SAW memandang rupa malaikat yang indah itu tidak juga hilang


Ketulusan Khadijah RA


Di rumah, Khadijah RA tiba-tiba merasa khuatir dengan nasib suaminya. Beliau mengutus orang untuk mencari suaminya itu, tetapi tidak berjaya menemuinya 


Sementara itu, setelah rupa malaikat menghilang, Rasulullah SAW berjalan pulang dengan hati yang sudah dipenuhi wahyu Allah SWT. Dengan jantung yang terus berdenyut kencang dan hati berdebar ketakutan, Baginda SAW pulang ke rumah 


"Selimutkan aku", pinta Rasulullah SAW kepada Khadijah RA


Khadijah RA segera menyelimuti suaminya yang menggigil kedinginan seperti terkena demam. Setelah rasa takutnya reda, Baginda SAW memandang Khadijah RA dengan tatapan mata meminta kekuatan dan perlindungan 


"Khadijah, kenapa aku?", kata Rasulullah SAW


Kemudian, Rasulullah SAW menceritakan semua yang telah terjadi. Baginda SAW juga berkata bahawa Baginda SAW takut semua itu bukan datang dari Allah SWT, melainkan gangguan jin 


"Wahai putera pakcikku", jawab Khadijah RA penuh sayang. "Bergembiralah dan tabahkan hatimu. Demi Dia yang memegang hidup Khadijah, aku berharap kiranya engkau akan menjadi nabi atas umat ini. Sama sekali Allah takkan mencemuhkanmu sebab engkaulah yang mempererat tali kekeluargaan dan jujur dalam berkata-kata. Engkau selalu mahu memikul beban orang lain dan menghormati tetamu serta menolong mereka yang dalam kesulitan atas jalan yang benar"


Kata-kata Khadijah RA itu menuangkan rasa damai dan tenteram ke dalam hati suaminya yang sedang gelisah. Khadijah RA benar-benar yakin bahawa suaminya itu bukan diganggu jin. Beliau malah memandang suaminya itu dengan penuh rasa hormat 


Rasulullah SAW pun kembali tenang. Baginda SAW memandang Khadijah RA dengan penuh kasih dan rasa terima kasih. Tiba tiba, sekujur tubuhnya terasa amat letih dan Baginda SAW pun tertidur lelap


Sejak saat itu, berakhirlah kehidupan tenang seorang bernama Muhammad SAW. Mulai saat itu, kehidupan penuh perjuangan sukar dan pahit akan dilaluinya sebagai seorang 'Rasulullah, utusan Allah'

No comments:

Post a Comment