Saturday, January 30, 2021

Kisah Rasulullah SAW - Siri 9

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِ مُحَمد


Shahidah Pertama 


Sabar, demikian sabda Rasulullah SAW, setiap kali para pengikutnya mengadukan penderitaan mereka. Saat itu memang tidak ada lagi yang dapat dilakukan selain sabar sampai mati. Sabar yang demikian membuat para muslim pertama sanggup menanggung derita seksa di luar batas kemampuan fizikal manusia


Khabbab bin Al Arat RA pernah meminta agar Rasululla berdoa kepada Allah SWT dalam menghadapi penindasan ini. Mendengar ini, Rasulullah SAW duduk dengan wajah merah padam seraya bersabda, "Sungguh telah terjadi sebelum kamu, ada orang yang disisir badannya dengan sisir besi hingga dagingnya mengelupas dan terlihat tulang-tulangnya. Akan tetapi, dia tetap teguh memegang keyakinannya. Allah SWT akan menyempurnakan urusan ini sampai seorang penunggang kuda berjalan dari Shan'a ke Hadramaut dan dia tidak takut kecuali kepada Allah SWT. Ingatlah, serigala akan tetap ada di tengah-tengah gembala, hanya menanti saat kalian leka"


Sumayyah RA adalah ibu Ammar bin Yasir RA. Berserta suami dan anaknya, Sumayyah RA diseksa kerana mengikuti ajaran Rasulullah SAW. Dia diseret di jalan-jalan Kota Mekah, lalu dilempar ke padang pasir


"Pukul dia! Pukul dia sekuat-kuatnya!", perintah Abu Jahal 


Sumayyah RA pun dipukul sampai pengsan. Kejadian ini dilakukan berulang-ulang selama berhari-hari. Namun, semakin sakit tubuhnya, semakin kuat imannya Sumayyah RA


"Engkau mengikuti Muhammad kerana tertarik pada ketampanannya!", ejek Abu Jahal


"Tidak", geleng Sumayyah RA. "Aku mengikuti Rasulullah kerana percaya pada apa yang dia sampaikan. Aku mengikuti Rasulullah kerana dia mengajarkan ada Tuhan yang lebih patut di sembah daripada berhala-berhala kalian!"


Akhirnya, kesabaran Abu Jahal pun habis. Dia mengambil tombak dan menusuk Sumayyah RA


Sumayyah RA tercatat dalam sejarah sebagai perempuan muslim pertama yang syahid (syahidah) kerana membela Islam 


Syurga Untuk Keluarga Yasir RA


Ketika Rasulullah SAW menyaksikan Yasir RA, Sumayyah RA dan putera Yasir yang bernama Ammar RA diseksa berterusan, Baginda SAW bersabda, "Sabar wahai keluarga Yasir, tempat yang telah dijanjikan bagi kalian adalah syurga"


Penebusan


Melihat saudara-saudara baru mereka diseksa demikian kejam, Abu Bakar RA, Utsman bin Affan RA dan semua orang kaya yang beriman segera bertindak. Abu Bakar RA mendatangi Umayyah bin Khalaf yang sedang menyeksa Bilal RA


"Bebaskan dia ", pinta Abu Bakar RA


"Tidak!", bentak Umayyah. "Engkau dan sahabatmu telah meracuni fikirannya! Justeru aku yang minta kamu menghentikan pengaruh jahatmu terhadap hambaku ini!"


Abu Bakar RA merasa bahawa hati Umayyah tidak mungkin dapat dipujuk lagi, maka dia segera mengajukan penawaran 


"Ku beli Bilal darimu! Lihat, ini lima uqiyah emas! Ambil wang itu, dan berikan Bilal kepadaku!"


Dengan menyeringai penuh kemenangan, Umayyah menyambar wang-wang emas itu


"Wahai Abu Bakar! Andaikata engkau menawarkan satu uqiyah saja, sudah tentu aku menjualnya! Dia sudah tidak berharga lagi bagiku!"


Wajah Abu Bakar RA memerah, bukan kerana marah, melainkan kerana dipenuhi rasa bahagia dapat menolong saudaranya yang tertindas 


"Jangan hanya lima uqiyah", ujar Abu Bakar RA sepenuh hatinya. "Andaikan engkau menjual seratus uqiyah pun, aku akan tetap membelinya!"


Kini giliran wajah Umayyah yang memerah. Terbayang keuntungan yang akan didapatinya seandainya ia menawarkan lebih tinggi lagi 


Abu Bakar RA yang baik hati kemudian membebaskan Bilal RA. Tidak berhenti sampai di situ, beliau pun terus menggunakan hartanya untuk membebaskan lima kaum muslimin lain yang tengah diseksa. Hamba terakhir yang dibebaskan adalah hamba milik Umar bin Khattab RA


Orang-orang Quraisy mengejek Abu Bakar RA, "Alangkah sia-sianya Abu Bakar itu! Dia membazirkan wangnya untuk membebaskan orang!"


Namun, semangat Abu Bakar RA menjadi contoh kaum muslimin lain untuk turut berusaha keras membebaskan saudara-saudara mereka yang dianiaya dan diseksa

No comments:

Post a Comment