Wednesday, January 27, 2021

Tazkirah 1

Tazkirah Rabu 


Dosa Yang di Lakukan Secara Terang-terangan Tidak di Ampunkan Oleh Allah SWT


SETIAP perbuatan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan (mujaharah) adalah membawa kepada kemurkaan Allah SWT.


Mereka yang melakukan perbuatan maksiat tersebut seolah-olah mencabar kekuasan Allah SWT. Buktinya semua umat para nabi terdahulu yang mencabar kebenaran yang dibawa oleh utusan Allah SWT dan bermegah dengan maksiat yang mereka lakukan telah dibinasakan oleh Allah SWT.


Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang mujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa di malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah telah menutupi dosa terbabit, kemudian dia berkata: ‘Wahai fulan semalam saya berbuat ini dan berbuat itu. Padahal Allah telah menutupi dosa tersebut semalaman, tetapi di pagi hari dia buka tutup Allah terbabit’ .” 

(Hadis riwayat Bukhari no. 6069)


Perbuatan mujaharah dengan maksiat iaitu melakukan maksiat secara terang-terangan antara dosa besar yang dicegah dalam agama.


Hadis itu menunjukkan golongan yang melakukan maksiat secara terang-terangan itu terkecuali daripada mendapat keampunan daripada Allah SWT.


Golongan al-mujaahiruun terbahagi kepada dua iaitu:

1. Seseorang itu melakukan maksiat dan dia melakukannya secara terbuka.

Ini adalah mereka yang melakukan maksiat secara terang-terangan di hadapan orang ramai.

Mereka melihat ke arahnya, maka dalam kes itu dia dianggap melakukan kezaliman ke atas dirinya sendiri atas maksiat yang dilakukan.

Begitu juga dia melakukan dosa ke atas orang lain kerana menjadi faktor orang lain turut mengikut maksiat yang dia lakukan.


2. Seseorang yang melakukan dosa secara sembunyi kemudian dia pergi menceritakan dosa yang dilakukan kepada orang lain. Termasuk juga dosa atau maksiat lama yang dilakukan belasan atau puluhan tahun lamanya


Islam melarang kita buka aib diri sendiri , orang nanti akan tahu bahawa kita seorang pelaku maksiat walaupun kita telah bertaubat. Allah SWT telah tutup aib kita, kita sendiri  dengan bangganya membuka semula supaya orang lain tahu. 


Perbuatan itu menyebabkan dia turut terkecuali mendapat mu’aafah (kemaafan) daripada Allah SWT.


Oleh itu marilah kita sama-sama menjauhkan diri daripada melakukan dosa kecil atau besar samaada secara terang-terangan atau secara sembunyi-sembunyi, kerana Allah SWT Maha Melihat segala perbuatan yang kita lakukan.


Sifat Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang telah menutup aib- aib kita yang lama dan baru. Jika Allah buka satu persatu maka jatuh maruah kita di khalayak ramai.


Tujuan Allah tutup aib tersebut supaya kita bertaubat dan mohon ampun kepadaNya dan tidak mengulagi perbuatan tersebut.


Bukan sahaja kita dilarang buka aib diri  sendiri tetapi kita juga dilarang sama sekali buka aib orang lain.


Daripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَتَبَّعَ عَوْرَةَ أَخِيهِ المُسْلِمِ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ، وَمَنْ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ وَلَوْ فِي جَوْفِ رَحْلِهِ

Maksudnya: "Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya."

(Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi (2032) dalam Sunan-nya)



No comments:

Post a Comment