Saturday, February 13, 2021

KISAH RASULULLAH SAW - Siri 19

 

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِ مُحَمد


Ketabahan Khadijah RA


Khadijah RA lah yang menjadi tauladan bagi semua kaumnya pada saat-saat genting itu. Beliau adalah keturunan bangsawan dan dibesarkan dalam lingkungan yang mewah. Namun, ketika harus meninggalkan rumahnya yang luas dan tinggal di lembah yang sempit. Khadijah RA sama sekali tidak menunjukkan keengganan. Beliau mengumpulkan segala kekuatan, keberanian, kemampuan serta bangkit penuh semangat


Pada saat-saat itu, air adalah hadiah yang sangat berharga. Khadijah RA memberikan kepada Ali bin Abu Thalib RA keping-keping emas untuk membeli air yang kemudiannya beliau bahagikan secara adil kepada semua yang memerlukan


Khadijah RA adalah bidadari pelindung bagi kaumnya. Beliau amat menitik beratkan nasib kanak-kanak, keluarga Bani Hasyim. Setiap kali ada bahan makanan yang berhasil diperolehi, Khadijah RA mengatur agar kanak-kanak mendapatkannya lebih dahulu daripada orang dewasa. Setelah itu, beliau mendahulukan kepentingan orang-orang tua dibandingkan kepentingannya sendiri


Khadijah RA selalu menjadikan sabar dan solat sebagai sumber kekuatannya. Beliau memohon pertolongan Allah SWT setiap saat. Ketika berdoa, Khadijah RA tidak hanya mendapatkan pertolongan, tetapi juga keberanian, kekuatan, kedamaian, ketenangan dan kepuasan


Selama tiga tahun di pengasingan itu, kekayaan Khadijah RA yang berlimpah itu habis. Sebahagian besar harta itu digunakan untuk membeli air. Beliau amat bahagia kerana dapat menggunakan kekayaannya itu untuk menyelamatkan hamba Allah SWT yang paling mulia, Muhammad SAW dan keluarganya. Beliau menganggap semua itu adalah satu kehormatan, sehingga sangat mensyukurinya 


Di tengah-tengah bencana dan kesusahan itu, Khadijah RA tetap taat dalam keimanan. Hal itulah yang menjadi sumber kekuatan yang tidak tergoyahkan bagi orang-orang di sekitar beliau. Khadijah RA selalu berhubungan dengan Allah SWT melalui solat. Solat adalah rahsia keberanian beliau. Perilaku beliau yang tenang dan lembut menjadi pendorong (kekuatan) bagi seluruh anggota Bani Hasyim di tengah-tengah kepayahan itu


Perhiasan Terindah di Dunia 


Islam sangat memuliakan kaum wanita. Rasulullah SAW bersabda, "Seindah-indahnya perhiasan di muka bumi ini adalah wanita solehah"


Hikmahnya, "Wanita adalah tiang sebuah bangsa. Apabila wanitanya baik, baik pulalah suatu bangsa. Namun, apabila wanitanya buruk, maka buruk pulalah bangsa itu"


Harta Abu Bakar RA


Ketika masuk Islam, Abu Bakar RA memiliki harta sebanyak 50.000 dirham. Beliau telah membebaskan tujuh hamba dengan 400 dirham per orang. Jadi, wang beliau terpakai sebanyak 2.800 dirham, sebahagian besar bakinya digunakan untuk meneruskan hidup bersama kaum muslimin di dalam Syi'ib 


Thufail Ad Dausi RA


Di tengah-tengah kepayahan itu, Rasulullah SAW yang tidak pernah menyerah, sedikit demi sedikit terus mendapatkan kemenangan. Suatu hari, datanglah seorang bangsawan dan penyair cendekiawan dari luar Mekah, bernama Thufail Ad Dausi RA. Seketika itu juga, orang-orang Quraisy memberinya peringatan, "Hati-hati terhadap Muhammad, jangan dengar kata-katanya. Dia telah memecah belahkan orang dengan keluarganya. Kami takut jika kamu mendengarnya, kaum kamu juga akan terpecah-belah. Hati-hati dan jangan sekali-kali mendengarkan kata-katanya!"


Diperingatkan seperti itu, membuatkan Thufail RA merasa curiga 


"Namun, aku adalah cendekiawan dan penyair. Aku dapat mengenal mana yang baik dan mana yang buruk. Apa salahnya kalau aku mendengarkan sendiri apa yang akan dikatakan orang itu? Jika ternyata baik akan aku terima, kalau buruk akan ku tinggalkan"


Setelah berfikir begitu, Thufail Ad Dausi RA mengikuti Rasulullah SAW sampai ke rumahnya


"Tuan, benarkah kamu seperti apa yang diperkatakan orang?", tanya Thufail RA. "Apa yang kamu bawa dan kamu sampaikan kepada mereka?"


Rasulullah SAW menjawab pertanyaan-pertanyaan itu dan membacakan ayat-ayat Al-Quran. Hati Thufail RA segera luluh dan dia pun memeluk Islam. Ketika kemudian dia kembali kepada kaumnya, sebahagian mereka terus memeluk Islam, sebahagian yang lain tampak ragu


Selain Thufail RA ada dua puluh orang yang diutus masyarakat beragama Nasrani untuk menyiasat tentang Rasulullah SAW. Bila bertemu dan berbincang dengan Baginda SAW, mereka terus menyambut, menerima, dan beriman kepada Baginda SAW


Orang-orang Quraisy menjadi geram dan memaki hamun mereka


"Kalian ini utusan yang gagal! Kalian di suruh oleh masyarakat seagamamu mencari berita tentang orang itu. Sebelum kamu kenal benar-benar siapa dia, agama kamu sudah kamu tinggalkan dan lalu percaya saja apa yang dikatakannya"


Abu Sufyan, Abu Jahal dan Akhnas


Melihat orang-orang di luar Mekah seperti Thufail Ad Dausi RA dan orang-orang Nasrani memeluk Islam, para Pembesar Quraisy yang paling gigih memusuhi Rasulullah SAW pun tertanya-tanya, "Betulkah apa yang dibawa Muhammad itu benar?"


Dengan senyap Abu Sufyan pergi pada suatu malam mendekati kediaman Rasulullah SAW. Dia tahu Rasulullah SAW selalu bangun malam dan membaca Al Quran. Saat Abu Sufyan mendengar ayat-ayat Al Quran dibacakan, begitu tenang dan damai hatinya. Suara Rasulullah SAW yang merdu menusuk di kalbunya


Fajar pun tiba dan Abu Sufyan bergegas pulang. Namun saat itu, dia terserempak Abu Jahal juga sedang mendengarkan bacaan Rasulullah SAW. Mereka saling memandang tanpa mampu berkata, Akhnas bin Syariq pun lalu. Rupanya, Akhnas pun diam-diam pergi mendengarkan Rasulullah SAW membaca Al Quran. Mereka bertiga pun saling menyalahkan antara satu sama lain


"Kejadian ini tidak boleh berulang lagi", kata salah seorang dari mereka. "Jika masyarakat kita tahu, kedudukan kita akan lemah dan mereka akan berpihak kepada Muhammad"


Ketiganya pun berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan itu. Namun, pada malam berikutnya, mereka terbawa perasaannya masing-masing seperti kelmarin. Tanpa dapat menolak bisikan hati, mereka kembali ke tempat semalam dan mendengarkan ayat Al Quran yang dibacakan Rasulullah SAW. Hampir Fajar, mereka bertemu dan saling menyalahkan antara satu sama lain


Perbuatan itu berulang lagi pada malam ketiga. Ketika mereka saling bertemu pada waktu fajar, mereka saling tuduh-menuduh. Rasa takut kemudian timbul di hati masing-masing. Mereka takut kehilangan kedudukan jika kaumnya memeluk Islam. Rasa takut inilah yang membuatkan mereka bertekad untuk membuang jauh-jauh perasaan tenang dan damai yang mereka rasakan saat mendengar bacaan Al Quran. Setelah itu, tidak seorang pun dari mereka yang kembali ke rumah Rasulullah SAW pada tengah malam untuk mendengarkan Baginda SAW secara diam-diam

No comments:

Post a Comment