اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِ مُحَمد
Kesabaran Tiada Bandingan
Suatu ketika, di tengah jalan, Rasulullah SAW beriringan dengan Umayyah bin Khalaf. Umayyah bin Khalaf adalah seorang pemuda berperangai buruk. Dia suka bermusuhan dan tiada perasaan takut kepada siapa pun. Sekali pun Umar bin Khatthab RA dan Hamzah bin Abdul Muthalib RA telah bergabung dengan pasukan kaum muslimin. Umayyah menganggap mudah saja. Bahkan dia telah bersumpah akan membunuh Rasulullah SAW dengan tangannya sendiri
Oleh kerana itu, ketika beriringan dengan Rasulullah SAW, Umayyah menggertak sambil menunjuk kuda yang ditunggangnya. "Aku beri makan kuda ini, tidak lain adalah untuk membunuhmu!"
Rasulullah SAW menatap Umayyah dengan tajam sambil membalas,"Tidak, justeru akulah yang akan membunuhmu dengan izin Allah "
Kini Rasulullah SAW tidak segan lagi menjawab setiap ejekan dan ancaman orang-orang Quraisy. Baginda SAW semakin bersemangat dan tekun berdakwah tanpa memperdulikan risikonya lagi. Keberanian Rasulullah SAW ini meruntuhkan wibawa musuh-musuh Baginda SAW yang selama ini selalu membangga-banggakan diri
Masyarakat kecil perlahan mulai terpengaruh dengan keberanian Rasulullah SAW ini. Mereka merasa, jika bergabung dengan kaum muslimin, mereka tidak akan diejek dan disakiti sewenang-wenangnya lagi. Kekukuhan hati Rasulullah SAW dalam menghadapi bahaya merebak ke hati orang-orang yang tertindas
Suatu hari, seorang pemuda asing menjerit, "Wahai orang-orang Quraisy! Adakah orang yang bersedia menolong diriku? Hakku di rampas oleh Amr bin Hisyam (Abu Jahal)! Aku adalah pendatang dan telah dilakukan sewenang-wenangnya!"
Siapakah orang Quraisy yang berani menentang keganasan Abu Jahal untuk menolong pemuda malang ini?
Keberanian Rasulullah SAW
Memang tidak ada yang berani! Tidak seorang pun! Namun, mereka menyarankan kepada pemuda asing itu, "Carilah Muhammad dan minta tolong kepadanya"
Hampir semua orang yakin, Rasulullah SAW mampu untuk melakukannya. Semua tahu bahawa Abu Jahal adalah musuh Rasulullah SAW yang paling jahat dan ganas
"Ada apa, saudara? Apa yang boleh ku bantu?", demikian sapa Rasulullah SAW ketika orang asing itu datang
"Tuan, aku adalah orang asing di sini. Amr bin Hisyam tidak mahu membayar unta yang dibeli dariku!"
Rasulullah SAW mengajak lelaki itu ke rumah Abu Jahal. Melihat mereka, semua orang ketawa. Mereka yakin Muhammad SAW tidak akan mempunyai cukup keberanian untuk menghadapi Abu Jahal. Muhammad SAW pasti akan mengecewakan orang asing itu. Mereka bersiap untuk melontarkan ejekan paling menyakitkan untuk meruntuhkan wibawa Rasulullah SAW di hadapan para pengikutnya
Ketika Rasulullah SAW dan orang asing itu tiba di rumah Abu Jahal, dia sedang berada di tengah-tengah hamba dan para penunggang kudanya. Tiba-tiba pintu diketuk dengan keras. Wajah Abu Jahal merah menahan marah. "Siapa yang berani mengetuk pintuku sekeras itu? Tidak tahukah dia kalau aku sedang bersama orang bawahanku! Dengan mudah, ku suruh mereka melumatkan orang itu!"
Abu Jahal membuka pintu dan terkejut melihat Rasulullah SAW di depannya. Saat itu wajah Rasulullah SAW tampak sangat penuh keyakinan. Hati Baginda SAW sudah nekad untuk membela orang yang teraniaya ini
Abu Jahal tidak berkata sepatah pun. Dia masuk ke rumah dan keluar untuk membayar harga unta orang asing itu
Orang asing itu sangat berterima kasih kepada Rasulullah SAW. Dia segera pergi dan bercerita kepada orang-orang di sekitar Ka'bah. Keberanian Rasulullah SAW ini menimbulkan rasa kagum di hati mereka. Mereka yang tadi sudah siap sedia untuk mengejek pun bersurai dengan perasaan yang bercampur aduk, kesal, geram, tetapi sekali gus hormat dan kagum
Lelaki Dari Suku Ghifar
Khabar tentang ajaran Islam sudah mulai tersebar ke seluruh pelosok Jazirah Arab. Suatu hari, datanglah seorang lelaki berwajah ramah dan bijaksana. Abu Thalib melihatnya, lalu menegur. "Sepertinya kamu lelaki asing?"
"Betul, namaku Abu Dzar dari suku Ghifar"
Sebelum datang sendiri, Abu Dzar mengutus seorang saudaranya untuk mencari maklumat tentang Rasulullah SAW. Sesudah melihat apa yang dilakukan Rasulullah SAW, saudara Abu Dzar menceritakan, "Demi Allah, aku telah melihat orang menyuruh kepada kebaikan dan mencegah dari keburukan"
Kerana belum puas dengan berita itu, Abu Dzar pun datang ke Mekah. Ali bin Abu Thalib RA mengajak Abu Dzar bermalam di rumahnya. Esok harinya, Ali RA bertanya kepada Abu Dzar, "Jika kamu tidak keberatan menceritakan, apa yang mendorong kamu datang ke negeri ini?"
"Jika kamu berjanji untuk merahsiakannya, aku akan menceritakannya". Ali RA mengangguk
Kemudian, Abu Dzar berkata, "Di kampungku, kami mendengar tentang seseorang yang bernama Muhammad. Orang mengatakan bahawa dia membawa ajaran baru. Aku ingin menemuinya. Namun, aku tahu pemerintah Quraisy akan menidakkan setiap orang asing yang sengaja menemuinya"
"Ikut aku ", bisik Ali bin Abu Thalib RA. Masuklah ke tempat yang aku masuk. Jika aku melihat orang yang mencurigakan akan mengganggu keselamatan kamu, aku akan menghalangnya dan kamu silakan terus berjalan"
Malam itu juga, Abu Dzar bertemu Rasulullah SAW
"Hatiku sangat pedih melihat orang-orang kaya yang bongkak, hamba-hamba yang sengsara, kaum perempuan yang tertindas, kaum miskin yang tidak mampu berbuat apa-apa. Apa yang Islam tawarkan untuk mengatasi semua ini?", tanya Abu Dzar
Rasulullah SAW menjawab semua pertanyaan itu sampai Abu Dzar merasa sangat berpuas hati. Saat itu juga, Abu Dzar menyatakan keimanannya dengan semangat bergelora
Ketika Abu Dzar ingin pergi, Rasulullah SAW berpesan, "Wahai Abu Dzar, kembalilah ke masyarakatmu. Khabarkanlah kepada mereka ajaran Islam, dan rahsiakanlah pertemuan kita ini dari penduduk Mekah kerana aku khuatir mereka akan mengganggu keselamatanmu"
Abu Dzar pergi ke Ka'bah dan berseru mengajak orang masuk Islam
Anjuran bersabar kepada Abu Dzar
Suatu hari, Rasulullah SAW bertanya kepada Abu Dzar, "Wahai Abu Dzar, bagaimana pendapatmu jika menjumpai para pembesar yang mengambil barang upeti untuk kegunaan mereka sendiri?"
Jawab Abu Dzar, "Demi yang telah mengutus kamu dengan kebenaran, akan aku tebas mereka dengan pedangku sendiri!"
Sabda Rasulullah SAW, "Mahukah kamu aku beri jalan yang lebih baik dari itu? Iaitu bersabarlah sampai kamu menemuiku"
No comments:
Post a Comment