اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِ مُحَمد
Aisyah RA Dan Saudah RA
Walau keadaan semakin getir, Rasulullah SAW tetap berjuang dengan gigih. Namun demikian, semakin gigih pula suku-suku pengembara Arab menolak Baginda SAW
Pada saat perjuangan itulah, Rasulullah SAW menikah dengan Aisyah RA, puteri Abu Bakar RA. Pernikahan itu bertujuan mempereratkan tali persaudaraan dengan para pejuang Islam yang setia. Persaudaraan yang erat itu sangat penting pada saat-saat getir seperti itu
Pernikahan Rasulullah SAW dengan Aisyah RA merupakan penghargaan setingi-tingginya bagi Abu Bakar RA, bapa Aisyah RA sekaligus sahabat Rasulullah SAW. Pernikahan ini merupakan suatu bentuk kemenangan dalam persaudaraan yang penuh cinta kasih antara Abu Bakar RA dan Rasulullah SAW sejak sebelum diangkat menjadi Rasul lagi
Sebelumnya Rasulullah SAW menikahi Saudah RA. Saat itu Saudah RA telah menjadi janda setelah suaminya meninggal di Habsyah. Tujuan pernikahan itu adalah untuk menolong Saudah RA yang hampir hidup terumbang ambing setelah suaminya wafat. Saudah RA adalah wanita yang pertama dinikahi Rasulullah SAW setelah meninggalnya Khadijah RA
Setelah berduka ditinggalkan Abu Thalib dan Khadijah RA, kesukaran yang dihadapi Rasulullah SAW bertambah dengan semakin kerasnya orang Quraisy memusuhi Baginda SAW. Pada saat itulah, Allah SWT menghiburkan Rasulullah SAW dengan satu perjalanan luar biasa yang tidak pernah kita temui lagi kedahsyatannya dalam sejarah
Isra'
Pada suatu malam yang hening, Malaikat Jibril AS datang menemui Rasulullah SAW. Wajahnya putih berseri dan berkilau seperti salju. Demikian heningnya saat itu sampai tidak terdengar suara burung malam, gemericik air dan siulan angin
"Hai orang yang sedang tidur, bangunlah!", sapa Malaikat Jibril AS
Rasulullah SAW bangun. Saat itu, Baginda SAW sedang tidur di rumah sepupunya, Ummu Hani binti Abu Thalib
Jibril AS membawa Buraq ke hadapan Rasulullah SAW. Buraq adalah haiwan yang bentuknya lebih kecil dari kuda tapi lebih besar dari keldai dengan sayap di kedua sisi tubuhnya. Warnanya putih. Setiap kali ia melangkah, jauhnya sama dengan jarak pandangan
Setelah Rasulullah SAW menunggang Buraq. Buraq pun terbang seperti anak panah, sedangkan Jibril AS terbang mengiringi dalam jarak yang dekat sekali. Mereka terbang melintasi padang-padang pasir menuju ke utara
Jin Ifrit
Dalam perjalanan Isra', satu Ifrit mengejar Rasulullah SAW sambil membawa obor. Ifrit adalah bangsa jin yang amat jahat. Jibril AS mengajarkan satu doa kepada Rasulullah SAW yang membuatkan obor Ifrit padam dan Ifrit tersungkur jatuh
Akhirnya Rasulullah SAW tiba di Baitul Maqdis, Jerusalem, Palestin. Di atas Baitul Maqdis Rasulullah SAW bertemu Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS. Ketiga nabi mulia itu ditemani nabi-nabi lain. Rasulullah SAW kemudiannya memimpin solat semua nabi dan rasul itu
Selesai menunaikan solat, dibawakan ke hadapan Rasulullah SAW tiga buah bejana. Satu berisi khamr, satu berisi air dan satu lagi berisi susu
Mi'raj
Rasulullah SAW mendengar satu suara berkata, "Kalau dia mengambil air, dia akan tenggelam dan begitu juga umatnya. Kalau dia mengambil khamr, dia akan tersesat dan begitu pula umatnya. Kalau dia mengambil susu, dia akan dibimbing dan begitu juga umatnya"
Oleh kerana itu, Rasulullah SAW mengambil bejana berisi susu dan meminumnya dengan menyebut nama Allah SWT. Jibril AS pun berkata kepada Rasulullah SAW, "Engkau telah diberkati dan begitu pula umatmu, Muhammad"
Setelah itu, Rasulullah SAW dibawa naik sampai ke langit. Tangga dipancangkan di atas batu Yaqub. Mi'raj bererti tangga. Saat naik ke langit, Rasulullah SAW meniti Mi'raj, bukan lagi menaiki Buraq. Buraq menunggu di bawah ditambat di pintu Baitul Maqdis, oleh Jibril AS. Tangga ini diletakkan di atas batu besar dan hujungnya terus menjulang sampai ke langit. Dengan tangga itu, Rasulullah SAW naik ke atas langit berlapis tujuh. Setiap tingkatan langit dijaga oleh malaikat agar tidak ada syaitan yang dapat mencuri dengar rahsia-rahsia langit
Di langit pertama, Rasulullah SAW melihat semua malaikat tersenyum, kecuali satu saja. Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril AS, lalu Jibril AS menjawab bahawa itu adalah Malik AS, malaikat penjaga neraka, Rasulullah SAW bertanya lagi kepada Jibril AS, "Bolehkah engkau memerintahkannya untuk memperlihatkan neraka?"
"Malik, perlihatkan neraka kepada Muhammad"
Lalu Malik mengangkat penutup neraka dan api berkobar tinggi sampai Rasulullah SAW merasa bahawa ia akan membakar segalanya
Illiyyin dan Sijjin
Illiyyin adalah nama suatu tempat di syurga tertinggi. Sementara itu, Sijjin adalah tempat yang terletak di bawah Neraka Jahanam
Rasulullah SAW meminta agar Jibril AS memerintahkan Malik AS mengendalikan kobaran api yang sangat dasyat itu. Malaikat Malik AS pun melakukannya dan menutup kembali pintu neraka
Setelah itu, Rasulullah SAW melihat seorang lelaki sedang duduk melihat roh-roh manusia yang lalu di hadapannya. Jika roh itu baik, sia akan mengucapkan selamat seraya berkata, "Roh yang baik dari tubuh yang baik"
Jika yang lalu itu roh yang buruk, wajah lelaki itu jadi keruh sambil berkata, "Huh! Roh yang buruk dari tubuh yang buruk!"
"Siapa lelaki itu, wahai Jibril?", tanya Rasulullah SAW
Jibril AS menjelaskan bahawa itu adalah Nabi Adam AS yang sedang menilai roh keturunannya. Roh orang yang beriman membuat Nabi Adam AS gembira, sedangkan roh orang kafir dan murtad membuat Baginda AS kesal dan murung
No comments:
Post a Comment