اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِ مُحَمد
Ke Langit Berikutnya
Rasulullah SAW meneruskan perjalanannya bersama Jibril AS. Baginda SAW melihat pelbagai keadaan para penghuni syurga dan neraka
Menerima Perintah Solat
Di langit keenam, Rasulullah SAW bertemu dengan Nabi Musa AS. Kemudian Rasulullah SAW dibawa ke hadapan Arasy sehingga bertemu Allah SWT. Segalanya tidak dapat dilukiskan dengan lidah dan di luar jangkauan daya fikiran manusia. Bertemu dengan Allah Yang Maha Agung membuat Rasulullah SAW merasakan kesejukan sampai ke tulangnya. Kemudian, rasa tenang dan damai membanjiri perasaan Baginda SAW, begitu terasa nikmat. Pada saat itulah, Rasulullah SAW, Allah SWT memerintahkan agar setiap Muslim melakukan solat lima puluh kali sehari semalam
Bila Rasulullah SAW turun dari Arasy, Baginda SAW bertemu Nabi Musa AS yang berkata, "Bagaimana engkau mengharap pengikut-pengikutmu akan melakukan solat lima puluh kali setiap hari? Sebelum engkau, aku sudah mempunyai pengalaman, sudahku cuba terhadap Bani Israil sekuat dayaku. Percayalah dan kembalilah kepada Allah SWT, minta supaya dikurangkan jumlah solat itu"
Kemudian Rasulullah SAW kembali menemui Allah SWT. Jumlah solat dikurangkan menjadi empat puluh kali setiap hari
Namun, Nabi Musa AS menganggap masih di luar kemampuan manusia biasa. Dia sarankan lagi Rasulullah SAW kembali meminta diringankan lagi. Demikianlah, beberapa kali Rasulullah SAW bolak-balik menemui Allah SWT sampai akhirnya jumlah solat ditetapkan menjadi lima kali sehari semalam
Kemudian, Rasulullah SAW kembali ke Bumi dengan menuruni tangga. Buraq pun membawa Rasulullah SAW kembali ke Mekah
Mengkhabarkan Isra Mi'raj
Menjelang fajar Rasulullah SAW membangunkan Ummu Hani dan keluarganya. "Oh Ummu Hani", sabda Rasulullah SAW, "Seperti engkau sedia maklum, semalam aku solat malam terakhir bersama engkau. Kemudian aku ke Baitul Maqdis dan solat di sana. Baru saja, saat ini, kita solat subuh bersama"
Rasulullah SAW kemudian bangkit, meninggalkan Ummu Hani yang masih terpinga-pinga. Ummu Hani tahu bahawa Baginda SAW akan keluar dan mengkhabarkan Isra' dan Mi'raj kepada orang ramai. Rasulullah SAW berdiri dan berjalan ke pintu begitu cepat seolah-olah tidak sabar lagi untuk mengkhabarkan perjalanan ini. Padahal, Baginda SAW tahu apa akan dikatakan orang Quraisy yang selama ini memusuhinya. Namun, semangat Rasulullah SAW tidak terhenti dengan hal-hal semacam itu
Rasa khuatir Ummu Hani menebal seketika. Begitu cepatnya langkah Rasulullah SAW sehingga Ummu Hani terpaksa menarik jubah Rasulullah SAW dengan tergesa-gesa
"Ya Rasulullah, jangan mengatakannya pada khalayak ramai. Nanti mereka menuduh engkau berdusta dan mereka akan menghinamu
Rasulullah SAW tersenyum mententeramkan. "Demi Allah, aku akan tetap mengatakannya"
Ummu Hani tidak dapat berkata apa-apa lagi melihat tekad Rasulullah SAW yang sudah demikian kuat. Ketika Rasulullah SAW pergi, dilihatnya Baginda SAW dengan pandangan khuatir. Ummu Hani segera memanggil seorang hamba sahayanya, seorang perempuan dari Habsyah
"Pergilah, ikut Rasulullah SAW dan dengar apa yang dikatakan kaumnya terhadap Baginda SAW"
Hamba sahaya itu pun bergegas pergi
No comments:
Post a Comment