LATAR BELAKANG NEGARA (Siri 1)
Andalusia kini adalah merujuk kepada negara Sepanyol dan Portugal. Selain itu ianya juga dikenali dengan Semenanjung Iberia dengan keluasan 600,000 km persegi atau 2/3 dari keluasan Mesir menurut Dr. Raghrib Ar-Sirjani dalam bukunya Bangkit dan Runtuhnya Andalusia
Nama Andalusia berasal dari bahasa Arab iaitu Al-Andalus merujuk kepada jazirah Iberia yang pernah berada dalam pemerintahan Islam. Manakala ada pandangan yang mengatakan perkataan Andalusia berasal daripada perkataan “Vandalusia” yang bermaksud “Tanah Vandal”, iaitu satu suku bangsa Eropah yang mendiami rantau tersebut sekitar abad kelima Masihi
Apabila zaman silih berganti, lama-kelamaan nama Vandalusia ini lebih dikenali dengan nama Andalusia. Penduduk yang mendiami negara ini asalnya terdiri dari pelbagai suku yang ganas, datangnya dari utara Scandinavia, Sweden, Denmark, Norway dan sekitarnya. Ada juga sebahagian ahli sirah mengatakan suku yang mendiami Andalusia datangnya dari German
Bangsa yang tinggal di wilayah Vandalusia ini dikenali dengan kekejaman dan keganasan sehinggakan istilah “Vadalism” dalam bahasa Inggeris dikatakan datangnya dari susur galur bangsa ini. Bangsa ini kemudiannya keluar dari wilayah ini dan seterusnya orang-orang Kristian telah menguasai Andalusia. Dalam penulisan para ahli sirah mereka dikenali sebagai “Goth” atau “Goth Barat”. Bangsa ini terus menguasai Andalusia sehinggalah kedatangan Islam
Sebelum Islam memasuki Andalusia, rakyat hidup dalam kemiskinan, penindasan, kemunduran, sistem politik dan sosial yang tidak stabil. Namun ianya bukanlah bermaksud negara tidak memiliki kekuatan pertahanan serta pasukan tentera yang lemah. Ini jelas dicatatkan dalam beberapa penulis sirah, terdapat seorang pemimpin Andalusia iaitu Alarik berjaya menjadi pemimpin yang kuat di Eropah Barat dan Tengah. Malah dia berusaha untuk menguasai ibu kota Romawi dan akhirnya berjaya menguasai pada tahun 404 Masihi
Pengaruh Islam mulai masuk ke Andalusia pada tahun 92 Hijrah atau 711 Masihi semasa pemerintahan Bani Umayyah. Penyebaran agama Islam yang pada ketika itu sudah menjalar ke Afrika Utara, Mesir, Libya, Tunisia, Al-Jazair dan Maghribi. Maka tugas dakwah terus berjalan sehingga merentasi Selat Gibraltar untuk masuk ke Sepanyol dan Purtugal yang pada masa tersebut masih di bawah wilayah Andalusia
Rujukan utama Bangkit dan Runtuhnya Andalusia, Tarikh At-Tabari, Tarikh Khulafa dan lain-lain
No comments:
Post a Comment