SEJARAH AWAL PENYEBARAN ISLAM KE ANDALUSIA (Siri 2)
Hasrat penyebaran Islam ke Andalusia telah bermula semenjak Islam memasuki Afrika Utara pada tahun 22 Hijrah atau 644 Masihi. Iaitu 70 tahun sebelum Andalusia berjaya ditakluki. Penyebaran dakwah Islam terus berkembang semenjak zaman Rasulullah SAW, khulafa Ar-Rasyidun RA, Bani Umaiyyah dan zaman seterusnya
Antara tokoh penting yang melakar kejayaan memasuki Andalusia adalah seorang tabien iaitu generasi yang sempat bertemu Sahabat tetapi tidak sempat bertemu Rasulullah SAW yang bernama Musa bin Nusair. Dia dilahirkan pada tahun 19 Hijrah di Damaskus. Sepanjang hidupnya dia melalui beberapa zaman pemerintahan serta peristiwa penting seperti pembunuhan khalifah Uthman bin Affan RA dan peperangan Siffin antara khalifah Ali RA dan Muawiyah bin Abi Sufyan RA
Ibnu Khalikan mencatatkan tentang Musa bin Nusair dengan mengatakan,
“Dia seorang yang cerdas, berakhlak mulia, berani, wara dan bertaqwa kepada Allah. Pasukannya tidak pernah kalah"
Hubungan Musa bin Nusair dengan Muawiyah sangat erat namun dia tidak turut serta dalam peperangan Siffin bersama pasukan Muawiyah. Pendiriannya tetap dan tidak mahu mencampuri isu yang berlaku pada masa tersebut. Pada masa usia yang muda ini lagi Musa bin Nusair telah melibatkan diri dalam dakwah dan jihad fi sabilillah
Musa bin Nusair pernah menjadi gabenor di Afrika pada tahun 89 Hijrah iaitu semasa pemerintahan Bani Umayyah khalifah Al-Walid bin Abdul Malik. Ketika inilah dia berusaha bersungguh-sungguh menguatkan Islam di Maghribi kerana sebelum ini penduduk di sini pernah murtad lebih dari sekali
Misi penyebaran Islam menjadi lebih lengkap apabila Musa bin Nusair menemui seorang calon panglima perang yang hebat iaitu Tariq bin Ziyad yang juga merupakan seorang gabenor. Hasil gabungan mantap dua orang panglima hebat ini yang masing-masing terkenal dengan kewarakan, keberanian dan kesungguhan dalam dakwah telah merintis jalan memasuki Andalusia
Rujukan utama Bangkit dan Runtuhnya Andalusia, Tarikh At-Tabari, Tarikh Khulafa dan lain-lain
No comments:
Post a Comment