Wednesday, March 31, 2021

CABARAN PEMERINTAHAN ANDALUSIA

 


SEJARAH AWAL PENYEBARAN ISLAM KE ANDALUSIA (Siri 3)


Tariq bin Ziyad adalah sosok tubuh yang terkenal dalam sejarah Andalusia. Nama lengkapnya adalah Tariq bin Ziyad bin Abdullah bin Walgho bin Walfajun bin Niber Ghasin bin Walhas bin Yathufat bin Nafzau. Dia dilahirkan pada sekitar tahun 50 Hijrah. Asal keturunannya tidak diketahui secara pasti. Namun beberapa ahli sirah mencatatkan Tariq bin Ziyad bukan berbangsa Arab tetapi berasal dari keturunan Barbar yang menguasai Afrika Utara


Musa bin Nusair telah melihat kemampuan dan kehebatan Tariq bin Ziyad. Lalu dia telah melantik Tariq bin Ziyad untuk memimpin satu pasukan menuju ke Andalusia. Perwatakan yang dimiliki oleh Tariq bin Ziyad sangat luar biasa, dia merupakan seorang yang wara’, alim, mencintai jihad dan sanggup mati syahid dalam mempertahankan Islam. Ciri-ciri ini amat perlu bagi seorang pemimpin yang akan membawa satu pasukan tentera menyeberangi Selat Gibraltar atau Jabal Tariq


Tariq bin Ziyad menjadi pilihan Musa bin Nusair berbanding para pemimpin yang berketurunan Arab. Antara sebab utamanya adalah mudah bagi Tariq bin Ziyad memimpin pasukan tentera Barbar yang menghormatinya serta kemampuan menguasai bahasa mereka. Tariq bin Ziyad menguasai bahasa Arab dan Barbar manakala bangsa Barbar tidak boleh berbahasa Arab


Sebelum misi memasuki Andalusia dilaksanakan, Musa bin Nusair membuat persiapan yang rapi. Tugas utamanya adalah mengajarkan ilmu Islam kepada bangsa Barbar secara rasmi dan umum. Dia memberikan latihan dakwah yang lengkap agar mereka faham tujuan memasuki Andalusia adalah untuk menyeru kepada Islam bukan seperti para penjajah yang memasuki wilayah untuk menjarah hasil masyhul bumi yang dikuasai


Hakikat yang perlu difahami pada zaman tersebut memasuki wilayah adalah dengan tawaran Islam, memasuki wilayah dengan jaminan keselamatan atau peperangan. Hanya ada tiga pilihan sahaja untuk memasuki mana-mana wilayah mengikut sistem zaman pada masa tersebut. Para tentera diberi latihan untuk terus mempamerkan akhlak Islam agar menjadi contoh serta membuka pintu hati penduduk untuk menganut Islam sebagai agama yang benar


Sejarah juga telah menunjukkan penjajahan dalam mana-mana wilayah telah mengabaikan prinsip kemanusiaan, merampas, menindas dan membunuh para penduduk. Sedangkan Islam yang memasuki wilayah tidak melakukan sedemikian. Peperangan adalah pilihan terakhir, pembunuhan hanya terhadap tentera dan mereka yang memberontak sahaja


Oleh sebab itu misi memasuki Andalusia bukan misi penjarahan wilayah atau merampas hasil bumi. Misinya membawa obor Islam menyelamatkan dari kekufuran


Rujukan utama Bangkit dan Runtuhnya Andalusia, Tarikh At-Tabari, Tarikh Khulafa dan lain-lain

No comments:

Post a Comment