Wednesday, March 31, 2021

CABARAN PEMERINTAHAN ANDALUSIA

 


SEJARAH AWAL PENYEBARAN ISLAM KE ANDALUSIA (Siri 4)


Musa bin Nushair seorang strategis yang mengambil kira banyak faktor sebelum meneruskan misi ke Andalusia. Semasa Islam sudah semakin kukuh di Afrika Utara baharulah penyusunan plan ke Andalusia menjadi keutamaannya. Menyeberangi Selat Gibraltar atau Jabal Gibraltar bukan satu tugas yang mudah untuk memasuki Andalusia


Antara faktor yang menjadi penghalang Musa bin Nushair ketika itu adalah tidak memiliki pasukan armada laut yang cukup untuk menyeberangi laut yang jaraknya 13 km. Malah mereka tidak mempunyai kepakaran dalam armada laut. Mereka perlu menyediakan kapal-kapal yang besar kerana selama ini mereka hanya memiliki kapal yang kecil sahaja


Selain itu sebelum meninggalkan wilayah yang dikuasai untuk memasuki Andalusia Musa bin Nushair perlu memastikan penganutnya memahami dan mengamalkan Islam serta mempunyai semangat jihad yang tinggi. Dengan mengabaikan perkara penting ini akan mengundang masalah yang besar seperti kata pepatah yang dikendong tercicir yang dikejar tidak dapat


Faktor seterusnya ialah kedudukan Andalusia yang mempunyai beberapa pulau yang dikuasai oleh golongan Nasrani. Pulau tersebut adalah Mallorca, Manucara dan Ibiza. Keselamtan mereka sebelum memasuki Andalusia perlu diberi perhatian agar tidak terperangkap ketika hampir memasukinya jika diserang dari penduduk ketiga-tiga pulau ini


Kaum Muslimin yang terdiri dari panglima yang hebat turut bertempiaran di wilayah-wilayah lain bagi misi menyampaikan dan mengukuhkan Islam. Maka untuk memasuki Andalusia perlu kepada kumpulan Muslimin yang besar dan cekap. Afrika Utara adalah wilayah yang luas, para pendakwah perlu masuk ke pelosok desa bagi menyampaikan dan juga mengajarkan Islam. Justeru itu masa banyak dihabiskan bagi membina umat Islam yang kukuh akidahnya serta pengamalan Islamnya


Pengaruh Nasrani agak kuat di sekitar Andalusia serta mereka mempunyai kelengkapan persenjataan. Jika Musa bin Nushair tidak cekap misi ini boleh gagal dan sukar untuk mengatur misi yang kedua. Oleh sebab itu strategi yang cekap perlu dirancang dengan teliti. Semangat untuk memasuki Andalusia sentiasa membara dalam jiwa Musa bin Nushair dan kaum Muslimin


Uthman bin Affan RA pernah berkata sebagaimana dicatat oleh Imam At-Tabari dan Ibnu Katsir,


“Konstantinopel hanya boleh dikuasai dari arah laut. Jika kamu dapat menguasai Andalusia nescaya kamu akan mendapat pahala sama seperti mereka yang menguasai Konstantinopel di akhir zaman”


Rujukan utama Bangkit dan Runtuhnya Andalusia, Tarikh At-Tabari, Tarikh Khulafa dan lain-lain

No comments:

Post a Comment