Monday, March 29, 2021

KISAH RASULULLAH SAW - Siri 45

 


اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِ مُحَمد


Kesederhanaan Rasulullah SAW


Kesederhanaan Rasulullah SAW dalam berpakaian sama dengan kesederhanaan Baginda SAW dalam hal makanan. Suatu hari, ada seorang wanita memberikan sehelai pakaian kepada Baginda SAW. Kebetulan saat itu Baginda SAW memang memerlukan pakaian. Namun, kemudian datang seorang lelaki yang meminta pakaian itu. Tanpa berfikir panjang, Rasulullah SAW pun memberikan pakaian itu. Pakaian Baginda SAW biasanya sehelai baju dalam dan baju luar yang terbuat dari wol, katun atau serat. Sesekali, Baginda SAW tidak menolak pakaian agak mewah yang dibuat dari tenunan Yaman jika ada acara yang mengkehendaki demikian. Alas kaki yang digunakan Rasulullah SAW juga amat sederhana. Tidak pernah Baginda SAW menggunakan kasut kecuali hadiah dari Najasy. Sungguh pun begitu, bukan bererti Rasulullah SAW menyiksa diri dengan semua kesederhanaan itu. Baginda SAW hanya menjaga diri agar tidak berlebih-lebihan


Allah SWT berfirman


وَظَلَّلْنَا عَلَيْكُمُ الْغَمَامَ وَأَنْزَلْنَا عَلَيْكُمُ الْمَنَّ وَالسَّلْوَىٰ ۖ كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ ۖ وَمَا ظَلَمُونَا وَلَٰكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ


Dan Kami naungi kamu dengan awan, dan Kami turunkan kepadamu manna dan salwa. Makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah Kami berikan kepadamu; dan tidaklah mereka menganiaya Kami; akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri 


Surah Al-Baqarah (2:57)


وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ


Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi, dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan 


Surah Al-Qasas (28:77)


Suatu ketika, Ali bin Abi Thalib RA bertanya tentang sunnah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW pun menjawab, "Makrifat (mendekatkan diri kepada Allah) adalah modalku, akal fikiran adalah sumber agamaku, cinta adalah pegangan hidupku, rindu adalah kenderaanku, berzikir kepada Allah adalah kawan karibku, keteguhan adalah perbendaharaanku, duka adalah kawanku, ilmu adalah senjataku, ketabahan adalah pakaianku, kerelaan adalah sasaranku, fakir adalah kebanggaanku, menahan diri adalah pekerjaanku, keyakinan adalah makananku, kejujuran adalah perantaraku, ketaatan adalah ukuranku, berjihad adalah perangaiku, dan hiburanku adalah solat"


Rantai Emas


Suatu ketika Rasulullah SAW melihat Fatimah Az-Zahra RA, puterinya, sedang memakai rantai emas. Rasulullah SAW bersabda, "Fatimah, gembirakah jika orang berkata, di tangan puteri Rasulullah ada seutas rantai dari api neraka?"


Fatimah RA kemudian menjual rantai itu dan wangnya digunakan untuk membebaskan seorang hamba 


Rasulullah SAW pun berkata, "Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan Fatimah dari api neraka"


Rasulullah SAW Belajar Bertani


Rasulullah SAW tidak meletakkan dirinya sebagai seorang raja, meskipun orang Anshar menginginkannnya. Seorang raja biasanya hanya menikmati harta dan makanan. Tidak demikian dengan Rasulullah SAW. Baginda SAW mewajibkan bagi dirinya sendiri bekerja agar dapat makan. Baginda SAW ikut belajar bertani, padahal saat itu usianya sudah di atas 53 tahun. Apalagi seperti kebanyakan orang Mekah, bertani adalah suatu pekerjaan baru yang masih asing bagi Baginda SAW. Rasulullah SAW juga menganjurkan agar kaum lelaki meringankan beban pekerjaan kaum wanita. Demikian pula sebaliknya, Baginda SAW juga menyarankan kaum wanita yang tidak sibuk dengan urusan rumah tangga, untuk turut membantu lelaki bekerja. Maka, banyaklah kaum wanita yang bekerja, termasuk mereka yang di Mekah dulu terbiasa hidup selesa di balik dinding rumahnya 


Asma binti Abu Bakar RA adalah contoh muslimah yang bekerja dengan tangannya sendiri. Dia tidak peduli walau pun ayahnya adalah saudagar kaya yang berjaya. Abu Bakar RA membawa seluruh kekayaannya saat berhijrah, tetapi beliau infakkan semuanya untuk diberikan kepada mereka yang tidak mampu bekerja. Rasulullah SAW segera mengimbau sahabat-sahabatnya yang mampu untuk mengikuti jejak Abu Bakar RA. Tidak layak rasanya jika ada muslim berpakaian mewah, sedangkan saudaranya keluar rumah dengan bajunya compang-camping. Malu rasanya jika ada muslim kenyang memakan daging dan roti, sedangkan saudara-saudaranya hanya mampu memakan kurma basah 


Kesejahteraan kaum muslimin pun meningkat dengan pasti. Apalagi setelah Rasulullah SAW meminta para saudagar kaya dari Muhajirin dan Anshar membeli tanah-tanah kosong untuk dijadikan tanah pertanian. Maka, sejumlah besar kaum Muhajirin pun mendapat pekerjaan. Akibatnya, hasil tanaman meningkat dan membanjiri pasar-pasar Madinah. Dengan cepat kaum Muhajirin sudah tidak lagi menjadi beban saudara-saudara Anshar mereka. Namun, ada kalangan yang tidak menyukai perubahan ini


"Jika dibiarkan begini, orang-orang miskin itu akan meremehkan kita! Bayangkan, Muhammad mengajarkan bahawa dalam tiap harta orang kaya ada hak orang miskin! Senang betul mereka!", demikian kata salah seorang yang tidak suka akan hal itu

No comments:

Post a Comment